Sunday, December 13, 2009

Royalti Minyak: Tuntutan ADUN BN Pahang Rasional -Husam Musa

Apa MB Pahang buat tu?

KUANTAN DIS 09. KERAJAAN Negeri Pahang boleh mendapatkan royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan jika sempadan laut dengan negeri Terengganu yang digunapakai Petronas sekarang diukur dan diperbetulkan semula.

Exco Kanan Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa berkata, jika ukur semula sempadan tersebut dilakukan beliau yakin tiga telaga minyak diusahakan Petronas yang terletak dalam perairan Terengganu sekarang sebenarnya dalam kawasan Pahang.

Mengulas gesaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Pahang dalam persidangan dewan baru-baru ini yang menuntut royalti minyak daripada kerajaan persekutuan, beliau berkata tuntutan tersebut ada rasionalnya kerana sempadan laut antara negeri-negeri yang digunapakai oleh Petronas pada masa ini belum pernah disahkan.

“Pahang berhak dapat royalti minyak tetapi kena menuntut dilakukan pengesahan semula sempadan laut antara Pahang dengan Terengganu kerana sempadan yang digunapakai sekarang tidak sah dan tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana peruntukan undang-undang dan ia hanya satu imiginasi Petronas semata-mata”.

“Sebab itu (kita lihat dalam peta) sempadan laut Terengganu begitu menyerong naik ke atas sehingga semua telaga minyak terletak dalam Terengganu dan bergaris lurus terus ke Sabah. Ukur dan betulkan semula sempadan Pahang dan Terengganu iaitu naikkan sedikit dalam lima darjah”.

“Jika pembetulan ini dilakukan ada tiga telaga automatik terletak dalam negeri Pahang iaitu Telaga Malong, Telaga Sotong dan Telaga Tanding. Dengan itu secara automatik Pahang akan dapat royalti. Kini Perdana Menteri kita dari Pahang jadi inilah masanya untuk perbetulkan semula sempadan laut di antara Pahang dan Terengganu”.

“Sempadan laut ini masih boleh dirundingkan kerana sempadan ini tidak pernah disahkan mana-mana undang-undang. Sebab itu jangan anggap isu tuntut royalti ini isu Kelantan semata-mata malah Pahang juga mestilah bersuara ke atas haknya,” katanya.

Tambah Husam lagi, jika sempadan laut Pahang-Terengganu sudah diperbetulkan, sempadan Kelantan juga akan dibetulkan semula dan tiga telaga minyak iaitu Telaga Bintang, Telaga Lowit dan Telaga Jasmin akan masuk ke dalam perairan Kelantan.

Husam memberitahu demikian semasa berucap merasmikan Seminar Ekonomi anjuran Badan Perhubungan PAS Pahang, 6 Disember lalu di Hotel Sri Malaysia, Kuantan. Seminar sehari itu bertema ‘Masa Depan Ekonomi Pahang Dalam Gagasan Pakatan Rakyat’ dan dihadiri kira-kira 150 peserta dari kalangan pimpinan PAS, PKR, DAP, NGO dan profesional serta pelbagai latar belakang.

Mengenai keingkaran Kerajaan Persekutuan yang enggan menjelaskan royalti kepada Kelantan, Husam berkata kesannya memburukkan ekonomi negara sendiri kerana pelabur luar takut dengan tindakan kerajaan sendiri yang melanggar undang-undang.

“Pengasas Petronas sendiri Tengku Razaleigh Hamzah telah menulis dalam blognya mengatakan Kerajaan Malaysia melanggari perjanjian Akta Petroleum 1974 dan 1975 dengan menafikan agihan royalti. Pandangan beliau telah dipetik oleh majalah-majalah ekonomi dunia sehingga memburukkan reputasi Petronas sendiri pada pandangan dunia kerana dilihat membelakangkan rule of law”.

“Hanya semata-mata untuk menghalang Kelantan dapat royalti… pada hal kalau diberikan hak itu kepada Kelantan pelabur (akan lebih yakin dan) akan datang sekali gus FDI negara meningkat akan datang. Tetapi mereka melupakan FDI ini dan mereka lebih mementingkan hasad dengki politik”.

Husam selanjutnya menyatakan sistem yang korup telah menyebabkan kegagalan kerajaan BN membela nasib rakyat walaupun memiliki banyak wang royalti.

“Royalti Terengganu dari 1990 hingga 2008 berjumlah kira-kira RM18 bilion. Tetapi jumlah sebesar itu masih tak boleh ubah nasib rakyat Terengganu hanya berjumlah 600 ribu. Kedudukan mereka masih di tempat kedua miskin lebih miskin daripada rakyat Kelantan. Ini membuktikan BN tak mampu tadbir negara. Sampai hari ini kita lihat nelayan Terengganu masih menggunakan bot-bot kecil”.

“Nilai royalti Kelantan kurang lebih RM800 juta setahun, kalau tunggakan selama lima tahun beerti RM4 bilion. Jika Negeri kelantan mendapat RM2 bilion sahaja kita yakin kerajaan negeri melalui segala programnya mampu membuatkan rakyat Malaysia mengundi Pakatan Rakyat”.

Kata Husam, mereka tidak mahu memberi royalti kerana kekuatan Pakatan rakyat ialah gabungan spiritual dan fizikal untuk menyusun masyarakat yang sejahtera dalam negara dan membebaskan rakyat dan ini dianggap mengancam hegemoni mereka selama ini.

Bagi terus mendesak tuntutan royalti, Husam berkata kerajaan Kelantan akan mengadakan road-show di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Kuching dengan Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz dan Tengku Razaleigh akan duduk sepentas dan berharap ratusan ribu rakyat dapat hadir mendapatkan maklumat sebenar. (AK)

2 comments:

Anonymous said...

pahang ini kalau ada berpuloh-puloh telaga minyak pun takda duit jugak duit hantar kat london berjuta tiap tahun buat pelaburan

Anonymous said...

hahhaha husam buat per hang cakap gitu, nnt ada kemaruk lak, dan bila dah kemaruk tuh royalti tu akan dibuat melabur mcm anon 8:44 kata laa, kesian lagi ler rakyat

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails