Sunday, December 13, 2009

Ekonomi , Jika PAS Perintah Pahang -Tuan Ibrahim Tuan Man



KUANTAN: Dis 09. Membasmi ketidakcekapan dan penyelewengan, memperkukuh peranan pemantauan dalam pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan serta pada masa yang sama berusaha meningkatkan hasil negeri merupakan komitmen PAS Pahang jika diberi peluang mentadbir, kata Pesuruhjayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berucap pada penutupan Seminar Ekonomi anjuran Badan Perhubungan PAS Pahang, 6 Disember lalu itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata kebolehan dan daya saing rakyat juga akan dipertingkat selain mengenalpasti sumber dan kegiatan baru ekonomi negeri bagi mengurangkan pergantungan dana kepada kerajaan pusat.

Seminar sehari bertema ‘Masa Depan Ekonomi Pahang Dalam Gagasan Pakatan Rakyat’ di Hotel Sri Malaysia, Kuantan itu bertujuan mencari alternatif kepada prestasi buruk ekonomi negeri Pahang berikutan kedudukan kewangannya yang defisit sejak 12 tahun lalu.

”Setelah menyemak beberapa instrumen ekonomi yang dibentangkan oleh beberapa agensi kerajaan dan maklumat bukan kerajaan, PAS negeri Pahang melahirkan kekecewaan terhadap prestasi buruk ekonomi negeri yang berpanjangan hasil daripada kelemahan urus tadbir dan amalan rasuah yang berterusan yang menyebabkan kedudukan ekonomi negeri hilang daya tahan dan daya saing”.

“Kedudukan kewangan yang defisit selama 12 tahun berturut-turut merupakan petunjuk jelas bahawa kerajaan gagal merencana pertumbuhan ekonomi yang mampu mengimbangi keperluan sebenar ekonomi negeri yang mana ekonomi Pahang kini masih bergantung sumber-sumber tradisional”.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan insiden-insiden yang membabitkan salah laku pengurusan sama ada berbentuk rasuah atau pun pembaziran dalam melaksanakan projek akibat kesilapan perancangan dan pengurusan berkualiti”.

Menurut Tuan Ibrahim, menyedari hal ini maka menjadi tanggungjawab sosial bagi PAS Negeri Pahang menganjurkan seminar Masa Depan Ekonomi Pahang Dalam Gagasan Pakatan Rakyat bagi menawarkan idea, cadangan dan perancangan alternatif yang lebih baik sebagaimana yang ditunjukkan semua negeri Pakatan Rakyat yang telah diiktiraf dalam laporan Ketua Audit Negara.

“Jika PAS memerintah, kita akan membasmi kegiatan pembalakan haram, meningkatkan hasil negeri dan menjamin aktiviti pemuliharaan hutan dilakukan secara berterusan. PAS juga akan meningkatkan kecekapan sistem pengutipan cukai hasil negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan yang telus, amanah, bersistematik dan pendekatan yang fleksibel serta kreatif’.

”Selain itu, usaha jangka panjang seperti mengekal dan meningkat komitmen dalam memajukan industri asas tani dan kegiatan ekonomi hilirannya bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri supaya sentiasa berdaya saing turut dilaksanakan”.

Menurutnya, PAS akan memperkukuh peranan pemantauan pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan kerajaan melalui pengukuhan penyertaan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pembuat keputusan dan pelaksanaan dasar ekonomi negeri. Seiring dengan itu, penghayatan K-Ekonomi akan diberi perhatian serius dalam meningkat kebolehan dan daya saing rakyat melalui penyediaan prasarana dan iklim pengurusan berasaskan bakat dan meritokrasi.

“Sebagai contoh, pelantikan pegawai mengikut kebolehan dan sumbangan, juga memperluas aktiviti dan ruang diskusi perdebatan dan pemupukan budaya ilmu dalam kalangan rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus komited kepada usaha membasmi ketidakcekapan, penyelewengan, pembaziran dan ketirisan dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan dasar serta pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri.

Beliau berkata, usaha meneroka dan mengenal pasti sumber dan kegiatan baru ekonomi negeri akan mengurangkan pergantungan pada dana dan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu lagi berterusan menjadi sebuah negeri miskin, meminjam wang daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya berusaha menjadi sebuah negeri yang menyumbang kepada pembangunan negara,” kata beliau yang juga Naib Presiden PAS. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails