Friday, March 13, 2009

Sejarah PAS 28: Kerajaan Campuran Suatu Pengalaman Penting.





IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 28



BERBAGAI pendapat telah dikemukakan tentang penyertaan PAS dalam parti pemerintah. Ada yang berpandangan kerana desakan darurat selepas peristiwa 13 Mei dan pemerintahan MAGERAN, di mana ‘musuh’ telah menunjukkan kesediaan untuk berdamai, maka Islam juga bersedia menyambut perdamaian. Ada juga yang mengatakan kerana kemenangan PAS dalam PRU 1969 memperoleh 12 kerusi Parlimen menyebabkan UMNO memujuk menyertai kerajaan campuran.

Tidak kurang juga yang menuduh sikap oporcunis pemimpin-pemimpin PAS pada waktu itu, yang mendapati pengaruh mereka semakin hari semakin terhimpit. Kesanggupan PAS mempertahankan kedudukannya sudah menjadi semakin tipis. Walaupun Kelantan telah berjaya mengembangkan sayapnya di peringkat nasional tetapi PERIKATAN telah menggigit pengaruh PAS negeri itu sedikit demi sedikit.

Sifat takut dan malu kalah telah menjangkiti PAS dan daya juang pimpinannya menjadi kian dipersoalkan. Pimpinan PAS terutamanya di Kelantan pada waktu itu telah agak lama berkuasa dan tidak sanggup untuk memikirkan bagi menghadapi keadaan jika kuasa itu hilang daripada mereka. Ada juga yang beranggapan, kemasukan PAS dalam BN adalah satu penyesuaian antara politik Tun Abdul Razak dengan pemimpin PAS yang perjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Ini juga bermakna PAS diseret masuk dan cuba menyesuaikan diri dengan UMNO sejak tahun1974, di mana pengaruh baru telah menguasai keadaan. Pengaruh yang menyebabkan lahir kegiatan menyingkir satu persatu pemimpin UMNO lama, hingga timbul istilah ‘order baru’ dan ‘order lama’ dalam UMNO. Dengan terbongkarnya rahsia Abdul Samad Ismail (atau tuduhan komunis 3 Abdul iaitu Abdul Samad Ismail, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid), nyata sekali projek kerajaan campuran tersebut merupakan projek golongan kiri Melayu yang menyerapi UMNO (sebagai teras PERIKATAN) ke arah sistem ‘satu parti’.

Walaupun begitu mereka tidak berjaya mengheret, apa yang disebut ‘golongan kiri Cina’ seperti DAP untuk menyertainya. Wujudnya BN dikatakan juga sebagai satu percubaan untuk mengurangkan percakaran politik, walaupun ianya bukan jawapan kepada problem Malaysia yang rumit itu. Kerana masing-masing masih assobiah dengan kaum masing-masing dan mengamalkan pragmatik sebagai cara penyelesaian.

Tetapi dalam ucapan dasar Datuk Mohd Asri dalam Muktamar PAS ke 22 ‘Sikap Kita Sekarang’ di Dewan Bahasa Dan Pustaka pada 4 Ogos 1976, beliau menjelaskan 3 faktor menyebabkan PAS memasuki kerjasama politik dan gabungan dengan PERIKATAN atau BN:

Pertama: Faktor politik yang menentukan survival bangsa Melayu dan Bumiputera sesudah insiden 13 Mei 1969, di samping perpaduan yang mesti diwujudkan dari segai keselamatan negara.

Kedua: Faedah langsung yang akan diperolehi oleh PAS setelah ianya mempunyai kedudukan sebagai parti pendokong kerajaan, termasuk penyertaan ahli-ahli PAS menduduki kerusi legislative eksekutif kerajaan, badan-badan berkanun dan sebagainya yang ada hubungan dengan kerajaan.

Ketiga: Menjadi adeal dalam perjuangan PAS ialah penerapan nilai-nilai Islam melalui kerajaan yang didokongi dalam ertikata bahawa kemasukan PAS dalam BN sekali-kali tidak menghalang PAS memperjuangkan cita-cita Islam dalam politik negara.

Faktor-faktor inilah yang menjadi nilai sejauh mana keteguhan PAS memegang prinsip perjuangan dan konsekuensinya sejak dari mula yang telah dilandaskan atas dasar Islam. Oleh itu adalah menjadi suatu pengalaman politik yang penting bagi sebuah jamaah Islam dengan ‘ijtihad politik’nya untuk menyertai kerajaan yang dikuasai oleh nasionalis sekular. Penyertaan jamaah Islam tidak sama dengan individu-individu Islam, walaupun ia berasal dari jamaah Islam.

Di Malaysia, mulanya penyertaan PAS dalam kerajaan campuran PAS-PERIKATAN telah mewujudkan suasana politik baru yang tenang dan tenteram di kalangan orang-orang Melayu. Tidak banyak politiking. UMNO mendapat status quo sebagai parti mengetuai suatu barisan politik nasional yang tidak lagi dicabar. Oleh itu untuk mengukuhkan status quo ini, UMNO mencadangkan penubuhan BN disetujui oleh Datuk Mohd Asri, bagi menggantikan kerajaan campuran PAS-PERIKATAN yang direstui PAS sebelumnya.

Dalam PRU selepas pembentukan BN tahun 1974, parti itu menang dengan mudah. Banyak kawasan menang tanpa bertanding. Yang bertanding pun hanya dari DAP dan Bebas. Kerusi PAS ditambah dari 12 kerusi Parlimen tahun 1969 kepada 14 bagi tahun 1974. Kumpulan Islam di luar kerajaan yang minat berpolitik pada masa itu ialah ABIM yang ditubuhkan pada Ogos 1971. Sikapnya ialah menentang penyertaan PAS dalam BN dan menyokong beberapa calon Bebas di Kelantan bagi melawan calon-calon PAS.

Penyertaan PAS dalam BN juga dikatakan atas isu penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Isu ini juga dikemukakan sebagai asas penyertaan gerakan Ikhwan Muslimin di Sudan dalam kerajaan Jaafar Numeiri. Bahkan inilah juga alas an penyertaan beberapa kumpulan Islam di Pakistan dan lain-lain. Penyertaan PAS dalam kerajaan BN memang mempunyai kesan tertentu. Walaupun tidak dapat dinafikan persaingan UMNO-PAS tetap wujud, berlaku di balik tabir tetapi tidak terdedah.

Menurut seorang ahli Biro Agama UMNO pada masa itu, katanya:

Apa yang saya saksikan ialah wujud suatu percubaan untuk mencadangkan program-program Islam antara PAS dan Biro agama UMNO. Kerana perlumbaan ini saya kira beberapa institusi Islam dapat diwujudkan dengan cepat, seperti Maktab Perguruan Islam, Yayasan Dakwah Islam, perlumbaan menubuhkan Bank Islam yang ditaja oleh PAS dalam BN dan penglibatan Tunku Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung OIC. Sebagai anggota Biro Agama UMNO, saya sendiri hadir dalam pertemuan dengan Dr Ahmad Al-Naggar, dan saya tahu pertemuan pemimpin-pemimpin PAS seperti Abu Bakar Hamzah dengan Dr Taufiq Al-Syawi. Tetapi usaha ini terhenti dengan penyingkiran PAS dari BN dan telah dihidupkan semula menjelang pilihan raya 1082.”

Selain dari itu, beberapa kebajikan jangka panjang boleh diperolehi dalam Kerajaan Campuran tersebut. Penyertaan PAS dapat membuka ruang untuk memperkenal dan menyebarkan pengaruh PAS ke pusat-pusat pengajian tinggi. Faktor ini menyebabkan PAS mendapat sambutan dan memperolehi ahli-ahli yang committed di kalangan mahasiswa-mahasiswa, sesuai dengan cita-cita Datuk Asri yang ingin menarik golongan intelek dan melahirkan kepimpinan intelek.

Demikianlah antara pandangan dan pengalaman penting PAS, sebelum dan semasa dalam Kerajaan Campuran. Tetapi perkahwinan PAS-BN itu tidak kekal lama.. Kenapa?

Tambahan:
Biodata Ringkas Tan Sri Datuk Haji Mohd Asri bin Haji Muda


Tan Sri Datuk Haji Mohd Asri bin Haji Muda (10 Oktober 1923 - 28 Ogos 1992) merupakan bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kehidupan Awal:

Beliau dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang agama, bahasa Melayu dan Inggeris di Sekolah Majlis Ugama Islam, Kota Bharu. Beliau juga menerima pendidkan tidak formal di Pondok Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Pada tahun 1947, beliau mengajar di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak sebagai guru agama.

Politik:

Beliau mula dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1959 hingga 1963. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dari tahun 1964 sehingga tahun 1972. Kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah dari 1 Januari 1973 hingga 9 November 1977. Kemudian pada 14 November 1977 PAS telah dipecat sebagai parti komponen Barisan Nasional.

Beliau mula dilantik sebagai Yang Di-Pertua atau Presiden PAS pada 1971 setelah kematian Dr Burhanuddin Helmi dalam tahanan. Mohd Asri adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974. Tetapi dalam tempoh tersebut beliau dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan pada 23 Oktober 1982 atas desakan golongan dalam parti yang menggelar diri mereka "Kebangkitan Ulama".

Pada 23 Februari 1983, beliau meletakkan jawatan sebagai ahli PAS dan menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada 24 Mac 1983. Kemudian pada 2 Julai 1983, beliau dilantik sebagai Presiden HAMIM sebelum meletakkan jawatan pada 17 November 1988 dan menyertai UMNO pada 22 November 1988. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1991. Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992 di Pusat Perubatan Tawakal pada 4.20 petang akibat sakit jantung.

Keluarga:

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Sakinah Syeikh Juned pada 15 Ogos 1948 dan mempunyai 9 orang anak; 2 orang lelaki dan 7 orang perempuan iaitu; Noor Dianauli, Husni Zaim, Ratna Inzah, Mutia Sabihah, Naliyah, Khalidah, Nasibah, Najah dan Mohd Taqiuddin. Tiada ahli keluarga Tan Sri Asri yang mengikuti jejak langkah beliau di dalam politik.

(Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas)

Sila ikuti sejarah PAS dari awal dalam http://www.ibnuhasyim.com

1.. Wednesday, May 2, 2007 Sejarah PAS 1: Muqaddimah Kesinambungan 2..Wednesday, May 2, 2007 Sejarah PAS 2: Siasah Ulama 3..Friday, May 4, 2007 Sejarah PAS 3: Tikaman Tersirat. 4..Friday, May 4, 2007 Sejarah PAS 4: Nama & Rahsia Siasah5..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 5: PAS Bebas Lepas. 6..Sunday, August 52007 Sejarah PAS 6: Bersama Kebangkitan Islam 7..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 7: Di Bawah Dr Abbas 8..Sunday, August 5, 2007 Sejarah PAS 8: Bermula Dengan Tangan Terbuka

6 comments:

Anonymous said...

Bapak Ibnu Hashim,

Saya suka artikel ini. Bapak sesuai untuk mencerita tentang PAS.

Bapak pernah menghasilkan sebuah buku berkonsep sejarah berkenaan PAS. Saya ada beli 20 tahun dahulu. Tetapi buku itu telah hilang.

Generasi baru saya beranggapan perlu digarap dengan sejarah PAS.

Bapak analisa seperti berikut "nyata sekali projek kerajaan campuran tersebut merupakan projek golongan kiri Melayu yang menyerapi UMNO (sebagai teras PERIKATAN) ke arah sistem ‘satu parti’."

Pakatan PAS-UMNO adalah satu "perkahwinan politik" yang telah gagal.

Jika formula ini telah terbukti gagal masih ada ruang "rujuk kembali" membina semula mahligai impian?

Ibnu Hasyim said...

Pada saya trend Kerajaan Campuran, sekarang disebut Kerjaan Perpaduan sudah mulai terbayang antara BN dan PAS, tetapi belum jelas bersama PR..
Muqaddimahnya kerjasama menangani masalah ekonomi..

Kita sama-sama lihat..

Anonymous said...

Tuan, kalau tak silap TS D Asri lahir di Perak, Kota Baru juga nama tempatnya.

Ibnu Hasyim said...

Saya akan cek balik mengenai kelahiran DM Asri.. T.kasih komen anda.

Karim said...

Salam..saudara ibnu Hasyim..nak tanya beberapa soklan..pernahkah saudara membaca buku hasil karya Abu Bakar Hamzah seorang ahli politik malaysia satu masa dahulu bertajuk Quo Vadis PAS:polimek spontan Abu Bakar Hamzah dan Ibnu Muslim?siapakah gerangan Ibnu Muslim sebenarnya?saya ada membuat sedikit kajian mengenai buku Quo Vadis PAS tetapi setakat ini tidak dapat mengenali siapakah Ibnu Muslim sebenarnya...harap dapat membantu..

Ibnu Hasyim said...

Ibnu Muslim adalah Pak Hussan Yaakup, sebelum meninggal sering menulis dalam Harakah. Orang lama perjuangan kiri pernah ditahan di bawah ISA, menyertai PAS kira-kira tahun 80an. Menulis beberapa buah buku.

Termasuk kawan saya yang sarat dengan berpengalaman politik pembangkang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails