Wednesday, May 02, 2007

Sejarah PAS 1: Muqaddimah Kesinambungan





















(Kartun dari akhbar 'Majlis' 5 Jan 1948, menunjukkan bahtera U.M.N.O. memintas sampan² P.K.M.M, C.J.A, PUTERA dan M.D.U. menuju ke pelabuhan
Federation of Malaya.)
IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 1

-->
PAS adalah singkatan dari Parti Islam Se Malaysia. Perjuangan PAS adalah kesinambungan dari perjuangan para Rasul dan Nabi-nabi. Bermula dari Adam AS (Alaihi Wassallam) hingga ke Nabi terakhir Muhammad SAW (Sallallahu Alaihi Wasallam). Disambung oleh khalifah-khalifah Ar-Rasyidin Abu Bakar RA (Radiyallahu An), Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Khalifah-khalifah Bani Umayah, Bani Abasiah dan yang terakhir sekali kerajaan Uthmaniah di Turki.

Maka ulama-ulama pewaris para Nabi memegang amanah dan meneruskan perjuangan tersebut. Perjuangan PAS yang bertolak dari kalimat ‘La Ilaha Illallah’ secara seluruhannya berdasarkan kepada Al-Qur’an, As-sunnah dan tokoh-tokoh Khulafa Ar-Rasyidin.

As-syahid Sayyid Qutb, dalam bukunya ‘Mu’allim Fit-thariq’ menyebutkan:

“... Tamaddun insan akan terjadi apabila hakimiah yang tertinggi dalam masyarakat itu diletakkan kepada Allah SWT (Subhanahu Wa Taala) semata-mata, tanpa wujudnya pengabdian atau ketaatan kepada selain daripadaNya.”

Di sinilah titik-titik pertemuan dalam perjuangan antara PAS dengan gerakan-gerakan Islam lain. Sehingga golongan-golongan beraliran seperti ini sering dicop atau dilebelkan ‘fundamentalis’. Contohnya, gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia dan lain-lain. Begitu juga fahaman Islam melalui gerakan pembaharuan Islam sejagat dengan arus menentang dan membebaskan diri dari penjajahan barat ke atas negara umat Islam.

Antaranya adalah ulama tiga serangkai Syed Jamaliddin Al-Afghani dan muridnya Syeikh Muhammad Abduh, serta Syed Rasyid Ridha di Asia Barat. Gerakan mereka melalui majalah ‘Al-Manar’ diterbitkan di Kaherah yang mengandungi makalah islah dalam bidang agama dan sosial. Begitu juga majalah ‘Al-Urwatul Wuthqa’ diterbitkan di Paris, yang banyak membincangkan isu-isu penjajahan. Gerakan islah mereka juga telah berjaya mendapat tempat di hati pelajar-pelajar Melayu di Timur Tengah, terutamanya dari Universiti Al-Azhar.

Pelajar-pelajar tersebut termasuk dari Indonesia telah menubuhkan persatuan dan menerbitkan akhbar ‘Seruan Al-Azhar’. Pengaruh ulama tiga serangkai tersebut mula merembas masuk ke Tanah Melayu pada awal kurun ke 20 berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Angkatan pembaharuan ini telah muncul tahun 1906, dengan menerbitkan majalah ‘Al-Imam’ di Singapura. Tahun 1926 terbit pula majalah ‘Al-Ikhwan’.
Tahun 1925 akhbar ‘Edaran Zaman’ dan ‘Saudara’ pada tahun 1928. Semuanya terbit di Pulau Pinang. Angkatan tersebut dipimpin oleh Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas Taha.

Mereka berpendapat antaranya:

“Kelemahan umat Islam itu adalah disebabkan oleh penganut-penganutnya tidak mengikuti ajaran-ajaran Islam yang betul, sebagaimana terkandung di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith.”

Bukan itu sahaja, golongan reformasi ini telah berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam yang merdeka. Mereka juga dikatakan berjaya mencetuskan revolusi intelektual di kalangan masyarakat Melayu yang akhirnya menubuhkan beberapa kesatuan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.

Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British. Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun, semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941-1945.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau disebut juga Malay Nationalist Party (MNF). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Haji Muhammad. Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu.

PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah. PKMM telah berjaya perluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya. Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM. MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan.

N.J.Funston menyebutkan, tujuan utama penubuhan MATA adalah untuk mengekalkan pengawalan hal ehwal Islam oleh mana-mana pihak. Di dalam persidangannya, telah diisytiharkan tentang pemisahan hal-hal agama dari dikawal oleh mana-mana negeri secara persendirian. Mereka berpendapat, sultan-sultan tidak cekap membuat keputusan dalam hal-hal agama. Kongres telah mendesak supaya kuasa yang berkaitan dengan agama diserahkan kepada MATA . N.J.Funston. -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.

Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan ‘Hizbul Muslimin’ pada 14 Mac 1948, di Sekolah Agama Al-Ihya As-Syarif, Gunung Semanggul Perak. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama. Maka lahirlah sebuah parti Islam pertama di negara ini!

Matlamat utama ditubuhkan:

1.Untuk mencapai kemerdekaan.
2.Membina sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam.
3.Untuk mendirikan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Bagi mencapai ketiga-tiga matlamat ini, Hizbul Muslimin telah mengemukakan 7 lagi objektif.

1.Untuk menimbulkan prinsip kesedaran politik di kalangan orang-orang Islam di Malaya.
2.Untuk menyatupadukan umat Islam di bawah satu ideologi.
3.Untuk menyokong kebebasan cetak, bersidang dan bersuara.
4.Untuk menambah jumlah sekolah dan menyediakan jenis pendidikan menurut keinginan masyarakat pada waktu itu.
5.Untuk mempertingkatkan akhlak orang-orang Melayu.
6.Secara amnya, untuk menjaga kebajikan dan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.
7.Tambahan pula ia sedia berkerjasama dengan parti-parti politik dan pergerakan Islam dari luar negeri.

Hizbul Muslimin atau Hamim dipimpin oleh antaranya:

1.Ketua Umum – Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.
2.Naibnya - Ir.Haji Ariffin Alias dari Johor Bahru.
3.Setiausaha - Ustaz Uthman Hamzah.
4.Cik Gu Muhammad Daud Jamil dari Kelantan.
5. 4 orang wakil:
a.Ustaz Yahaya bin Abdullah selaku ketua.
b.Ustaz Harun Fahmi Taib.
c.Ustaz Baharudin Latif.
d.Ustaz Uthman Hamzah.

Dalam pendiriannya, Hizbul Muslimin menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO. Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.

Rupanya penyekatan, penekanan dan pengempangan ke atas arus kebangkitan Islam yang tidak dapat dibendung itu, secara tidak langsung membantu dan menambahkan lagi semangat untuk wujudnya parti Islam yang lain. Keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS seterusnya.

Ada juga ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlu dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin, kerana mereka telah menggarap sebahagian besar dari ground work yang melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS. Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinannya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif.

Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam PAS, dan pernah berkhidmat sepenuh masa hingga ke akhir hayat dengan PAS. Begitu juga Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi. Juga dikatakan besar kemungkinan Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).

Pegerakan reformasi ini dikatakan amat berpengaruh dalam masyarakat dan boleh menggugat pihak penjajah British pada waktu itu dan masa mendatang. Tuduhan ‘bahaya dari gunung’ atau ‘Red Islamic Partyoleh Datuk Onn Jaafar tokoh UMNO, parti yang dibenarkan dan dibelai oleh penjajah waktu itu, adalah sebagai buktinya.
Apalagi bila kita melihat kepada kepada ‘janji Allah’ pada firman-firman di bawah ini...

-‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’ Surah Al-Mujadalah ayat 22.
-‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.
-‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.
-‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.’ At-taubah ayat 32 & 33.

Maka bertambah lagi semangat ulama-ulama tersebut untuk menubuhkan parti Islam.

Rujukan:
1..N.J.Funston. Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.
2..Sayyid Qutb, ‘Mu’allim Fit-thariq’
3..Hasil dari interbiaw penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.

Tambahan I

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir Ulama Dari Gunung (1907-1974)
By Kayacipta Oktober28, 2008.
NEGERI bumi timah ini sememangnya tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama yang berketrampilan. Malahan kewibawaan mereka menjangkau ke seantero Nusantara sekaligus melewati ke seluruh dunia Melayu. Nama-nama mereka begitu harum di langit zaman dan meniti setiap bibir pengikutnya sejak zaman berzaman. Begitu jualah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang amat sinonim dengan Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti Islam yang pertama tertubuh di Tanah Melayu.

Menurut Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dalam Mastika, November 1973, nama Hizbul Muslimin itu telah dipinjam daripada pertubuhan politik di Mesir yang dalam bahasa Inggeris disebut The Muslim Brotherhood. Penubuhan Hamim dirangka oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama-sama Dr. Burhanuddin Al-Helmi, alim ulama serta cendikiawan Islam di Maahad El Ehya’ Al Shariff (MAEAS), Gunung Semanggol Perak pada 14 Mei 1948 yang telah dihadiri seramai 5,000 orang. (Dr. Burhanuddin sebenarnya pernah berkhidmat di MAEAS mengajar ilmu politik Islam).

Sejarah mencatatkan, Hamim mendapat sambutan hebat daripada golongan kebangsaan berhaluan kiri yang terdiri guru-guru dan pelajar sekolah pondok seluruh tanah air. Namun begitu sejarah Hamim sebenarnya tidak panjang seperti MAEAS. Justeru itu, Ustaz Abu Bakar Baqir bukan sahaja sinonim dengan Hamim tetapi lebih tertonjol bersama kecermerlangan MAEAS. Beliau bersama pemimpin Semanggol, Haji Abdul Rahman Mahmud telah mendirikan MAEAS pada tahun 1934 di atas tanah milik bapanya bagi menggantikan pondok Al Rahmaniah yang telah uzur.

Pondok yang terkenal itu menawarkan lima mata pelajaran penting seperti Ilmu teras (tauhid, tassawuf, fiqh, tafsir, hadis): Ilmu alat (nahu arab, sarf, balaghah); Ilmu pelengkap (sejarah Islam, logika, hisab, ilmu alam, al-tibb, bahasa Inggeris, kesusasteraan Melayu, tatanegara, sejarah umum, pidato umum, seni-khat) dan ilmu pertukangan yang diajar untuk pelajar putera sahaja. MAEAS ialah sebuah sekolah agama rakyat yang cukup berjasa. Ia melahirkan ramai pemimpin, antaranya Allahyarham Tan Sri Muhammad Asri Muda, bekas Menteri Besar Kelantan.

Pengasasnya pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikirullah. Kisah hidupnya tidak banyak ditulis orang. Namun begitu sumber yang dikumpulkan oleh Nabir Haji Abdullah dan risalah benar susunan Muhammad Asri (terbitan jamaah Pimpinan Umum Hizbul Muslimin) ada menyatakan bantahan terhadap penangkapan Ustaz Abu Bakar Baqir sekitar tempoh 1948-1952. Latar belakang beliau dimuatkan di dalam tulisan tersebut.

Berasal

Susur-galurnya berasal dari daerah Kendal Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke 19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar pernah tinggal di Klang, Selangor dan kemudian berhijrah ke Kuala Kurau, Perak. Hasil usahanya, beliau meninggalkan tanah pusaka yang luas kepada anaknya, Mohd. Said iaitu bapa Ustaz Abu Bakar Baqir.
Mohd. Said cukup mementingkan pendidikan agama. Beliau mengasuh anak-anaknya; Muhaiyuddin, Abu Bakar, Abdullah, Aishah, Saodah dan Hafsah dalam suasana didikan Islam yang amat mendalam dan menerapkan Islam sebagai ad-deen. Ustaz Abu Bakar Baqir lahir di Gunung Semanggol, Perak pada 1907. Ketika usianya enam tahun, anak kelima dari enam beradik ini belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardu ain dan Al-Quran.

Kemudian, dia menuntut di Madrasah Al Rahmaniah, Semanggol yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Jame’ Al-Azhar Mesir dan Masjid Al-Haram Makkah selama 15 tahun. Kira-kira enam tahun Ustaz Abu Bakar di pondok itu (1919-1924) mengaji fiqh, tauhid, tafsir, Al Quran dan hadis serta tatabahasa Arab.

Kepala Telaah

Di pondok ini, Ustaz Abu Bakar dilantik sebagai kepala telaah, (mengikut tradisi, jawatan itu tidak mampu disandang kecuali mereka yang mencapai tahap kelayakan akademik tertentu). Sebenarnya, pelantikan itu menunjukkan pengiktirafan Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim kepadanya. Dan pengiktirafan inilah yang mendorong Ustaz Abu Bakar menjadi pendidik di samping menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok itu. Menerusi unit ini Ustaz Abu Bakar bersama rakan-rakanya berlatih berdebat pada setiap malam Jumaat.

Minatnya untuk mendalami politik Islam kian bercambah apabila beberapa rakan, antaranya Ustaz Abdul Halim Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Score (kerana dia pemain bola sepak) sering berdebat mengkaji kemurnian Islam berbanding komunisme, kapitalisme dan faham politik yang lain. Minat itu sentiasa dipupuk dan kian melebar ke arah menyemaikan semangat cintakan watan apabila beliau mengadakan hubungan dengan penuntut-penuntut Melayu di sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Perhubungan dua hala itu bertujuan menubuhkan sekolah-sekolah agama Islam dan mencari ikhtiar mengembling tenaga untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Antara yang berhubung rapat dengannya; Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Fadhullah Shuhaimi (Singapura)’ Ahmad Mahir (Kelantan); Ahmad Fuad Hassan (Kuala Kangsar); Ismail Hamzah (kemudian Mufti-Kuala Kangsar); Haji Arshad (Bagan Datoh); Abdul Hadi Kamil (Sabak Bernam) dan Haji Hassan Yunus (Bekas Menteri Besar Johor 1959-1967).

Mengikut jejak

Pada tahun 1931 apabila Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim berpindah ke Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana menunaikan jemputan Almarhum Sultan Iskandar Shah (1918-1938) menjadi guru, beliau ikut serta sebagai pelajar pula. Di Madrasah Idrisiah dia sempat menuntut selama tiga tahun (1931-1933). Dia cukup disayangi gurunya, Haji Abdullah Pak Yim. Justeru, dia ditauliahkan sebagai guru sambil belajar iaitu pada separuh masa pertama setiap hari menjadi murid, separuh masa lagi menjadi pendidik dengan gaji RM 30.00 sebulan.

Pada tahun 1934 Ustaz Abu Bakar Baqir meletakkan jawatan dan pulang ke Gunung Semanggol. Kepulangan ini kerana dijemput oleh gurunya yang pertama iaitu pengasas Madrasah Al Rahmaniah, Haji Abdul Rahman Mahmud yang juga bakal bapa mertuanya. Setelah setahun kembali menetap di bumi kelahiranya, pada tahun 1935 dia berkahwian dengan Fatimah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh anak.

Kegiatan Ustaz Abu Bakar Baqir tidak hanya tertumpu kepada politik tetapi melebar ke arena ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Namun begitu, bidang pendidikanlah yang paling menonjol. Beliau bukan sekadar ulama tetapi dikenali sebagai tokoh pendidik yang berkalibar, Pelantikannya sebagai pengerusi badan kebajikan dan pendidikan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) serta pernah merangka dasar pendidikan nasional membuktikan keupayaan beliau di bidang tersebut.

Dalam persidangan di MAEAS pada 15 November 1947, beliau dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bertujuan menyeragamkan sukatan pelajaran sekolah agama rakyat di Tanah Melayu. Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan ia dikelolakan oleh Syeikh Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Rabb Al Tamimi, MAEAS telah dijadikan contoh kepada sekolah agama rakyat di tanah air ketika itu.

Dalam bidang ekonomi dan kebajikan pula, Ustaz Abu Bakar mengetuai Persatuan Al Ehya Al Syarif sehingga akhir hayatnya (didaftarkan dibawah Undang-Undang Kompeni dan Syarikat pada 1940) mengusahakan tiga projek; kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik. Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol, Kubu Gajah dengan bayaran RM1 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Stesen ini kini telah diambil-alih oleh Tenaga Nasional Berhad.

Dalam menggerakkan ekonomi, beliau pernah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menarik minat orang Melayu mengusaha dan menggunakan barang buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak. Usaha beliau berhasil apabila beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu didirikan di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai tapak permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan.

Dalam bidang politik pula, beliau akrab dengan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al Helmi. Dia cukup serasi dengan Dr Burhanuddin. Ini dapat dilihat beberapa agenda penting MAEAS, Dr Burhanuddin turut sama sebagai penggerak utama. Umpamanya, persidangan Ekonomi-Agama SeMalaya yang berlangsung pada 22-24 Mac 1947, sekaligus mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu (PEPERMAS) dan MATA.

Seperti Dr Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Baqir turut menerima padah kerana menentang penjajah Inggeris. Dia dipenjara pada 29 Julai 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudian (1952). Seiring itu, Hamim turut menerima nasib yang sama-berkubur apabila Ketua Umumnya terpenjara. Setelah dibebaskan, Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah atas sifatnya sebagai seorang ulama.

Beliau juga pernah dilantik berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru pada tahun 1975 setelah meninggal dunia. Sesungguhnya, ‘ulama dari gunung’ ini telah meninggalkan selaut jasa, segunung intan untuk bangsanya, sudahpun berpulang ke alam baqa ketika berusia 67 tahun kerana sakit tua pada tanggal 14 Julai 1974 dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Gunung Semanggol.
– Al Fatihah buat Allahyarham ..oleh Zabidin Hj Ismail  (IH)

1 comment:

Anonymous said...

Suatu penulisan sejarah oleh individu yang amat tinggi nilainya.

Syabas Dr Haji Mohd Hasyim..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails