Friday, March 13, 2009

DAP Tolak Kerajaan Campuran.. Lim Guan Eng










By Asyok Kumar

DAP sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan pusat berhubung aspek ekonomi, tetapi tidak dalam aspek kerajaan campuran, buat masa ini. Demikian kenyataan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng di pejabatnya di Pulau Pinang seperti yang disiarkan dalam Mstar Online hari ini.

“Dalam aspek kerajaan campuran, saya rasa bagi DAP tiada (kerjasama) tetapi untuk bekerjasama dengan BN bagi memulihkan dan menyelamatkan ekonomi, kita sedia bekerjasama," katanya.

Lim Guan Eng juga mahu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memberi penjelasan kepada majlis kepimpinan tertinggi pakatan DAP-PAS-PKR berhubung cadangan pembentukan kerajaan campuran di negara ini. Lim berkata perkara itu memerlukan penjelasan yang lebih terperinci bagi memastikan maksud sebenar berhubung kenyataan yang dibuat Abdul Hadi itu.

"Kita tidak tahu apa yang beliau (Abdul Hadi) maksudkan, jadi lebih baik kita dapat secara langsung daripada beliau kerana kalau hanya bergantung dengan apa yang dilaporkan (media) mungkin tidak begitu tepat," katanya kepada pemberita.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini, yang mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang membentuk sebuah kerajaan campuran. (AK)

1 comment:

Anonymous said...

Pihak media mungkin mengatakan bahawa DAP dan Nik Aziz menolak kerajaan campuran yang dicadangkan oleh Hadi Awang.

Tetapi, kita perlu memikirkan isu ini secara mendalam. Saya rasa bukanlah DAP dan Nik Aziz enggan membentuk kerajaan canpuran bersama BN. Cuma, mereka meragui niat dan keikhlasan BN sekiranya kerajaan ini benar-benar terbentuk.

Sejarah telah membuktikan bagaimana PAS ditendang keluar dari UMNO pada satu ketika dahulu. Pada hari ini pun kita lihat sesetengah isu walaupun dianggap remeh tetapi masih belum terselesai. Contohnya, Ketuanan Melayu, PPSMI, pembentukan kerajaan Islam sepenuhnya, politik wang dan lain-lain lagi.

Sesetengah pihak lebih gemar mengetengahkan Ketuanan Rakyat dan yang lain-lain ingin mengekalkan Ketuanan Melayu. Hal seumpama ini turut berlaku dalam isu-isu seperti PPSMI dan pembentukan kerajaan Islam sepenuhnya. Terdapat pihak-pihak yang sama ada bersetuju atau tidak dengan pelaksanaan perkara-perkara sedemikian.

Persoalan lain yang perlu dijawab ialah "adakah media arus perdana akan dikembirikan?" Hal ini kerana, kemungkinan besar hanya media pengampu kerajaan sahaja yang dibenarkan beroperasi. Dalam hal ini suara orang yang cuba mengkritik apa yang dilakukan kerajaan seperti Raja Petra Kamaluddin akan disekat.

Persoalan seterusnya, adakah terdapat pihak-pihak yang mampu memberi kritikan membina kepada pihak kerajaan? Pada hari ini, barisan pembangkang masih dapat berbuat demikian. Apakah kita akan mengambil model dari Kongres Kebangsaan China di mana pihak pemerintah menentukan kata putus bagi semua dasar tanpa perlu mengambil kira kritikan yang dilakukan oleh pihak lain?

Kemungkinan besar, pada zaman Nabi Muhammad tidak terdapat barisan pembangkang sebagaimana yang ada dalam Sistem Parlimen Westminster hari ini. Saya percaya model pemerintahan Nabi Muhammad adalah sesuai diamalkan sepanjang zaman.

Tetapi adakah Malaysia sudah bersedia ke arah model pemerintahan Nabi Muhammad? Adakah juga integriti pemimpin-pemimpin kita layak disamakan dengan pemimpin-pemimpin Islam pada zaman nabi?

Kita dengar pemimpin UMNO bermain politik wang. Tetapi pernahkah pemimpin PAS dikaitkan dengan politik sedemikian. Hal ini juga perlu diambil kira.

Akhir kata, sama-samalah kita renung mengenai prospek negara untuk membentuk kerajaan campuran.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails