Friday, December 09, 2022

Lapor polis terhadap PM. Judi layak buat PH..

 

Wan Ahmad Fayhsal menunjukkan salinan laporan polis terhadap Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri

1. PN buat laporan polis terhadap PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tuduhan mengaitkan parti itu dengan pembiayaan daripada syarikat judi bertujuan untuk memusnahkan kredibiliti setiap Ahli Parlimen PN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PN tidak akan melindungi tindakan yang salah dan mengalu-alukan setiap siasatan yang ingin dilakukan pihak berkuasa.

"Saya sebagai seorang Ahli Parlimen menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa kita menerima dana daripada syarikat judi.

"Ini adalah permainan politik untuk membina persepsi seolah-olah kami menerima dana syarikat judi. Namun saya yakin rakyat tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana kepimpinan tertinggi PN termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah memberi kenyataan dan tiada apa yang boleh diselindungkan.

"Bukan sahaja mengenai judi tetapi isu dana RM600 bilion juga satu fitnah serta tohmahan yang serius," katanya selepas membuat laporan bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di Balai Polis Dang Wangi, di sini, berhubung dakwaan terbabit.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di pejabatnya di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan syarikat judi.

Bagaimanapun Muhyiddin kelmarin menyifatkan tuduhan Anwar bahawa PN menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai serius.

Menepis dakwaan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, tuduhan Anwar tidak disokong bukti kukuh selain sekadar andaian yang dibuat berdasarkan kempen meluas PN ketika PRU15.

Ditanya mengenai senarai dana, Wan Ahmad Fayhsal berkata, setakat ini PN tidak akan mendedahkan dana itu memandangkan tiada satu pun parti yang bertanding dalam PRU15 berbuat demikian.

"Bagaimanapun kita terbuka mengenai akta pendanaan politik jika ia dibentangkan di Parlimen dan jika ia menjadi perkara utama, saya sendiri akan sahut.

"Ia sepatutnya sudah diselesaikan sewaktu kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi tidak sempat," katanya.


2. Tauke dan syarikat judi hanya layak bersama PH 

HANYA akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada Perikatan Nasional (PN), sedangkan sahamnya jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih. Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih, kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke dan syarikat judi.

Adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas. Hal ini bermakna tauke judi itu sangat bodoh, walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH bagi menubuhkan kerajaan.

Apabila PAS memerintah Kelantan, maka diambil suatu langkah bagi menutup tempat perjudian yang diharamkan oleh Islam dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama. Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.

Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian. Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan juga.

Apabila kerajaan PAS Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasanya, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH, walaupun dalam perkara yang hanya berkait dengan hak umat Islam. Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu.

Pepatah Melayu ada menegaskan, “Kalau rumah berdinding kaca jangan dikacau rumah orang lain,  nanti kalau dibalas maka berkecailah dinding rumah kamu itu.”

Mereka juga boleh melakukan dengan cara menipu orang-orang yang sangat bodoh, khususnya melalui media yang boleh melariskan penipuan itu, laksana penjual ubat yang boleh menjual biji-biji tahi kambing, jika pandai mensyarahkannya maka boleh ditafsirkan menjadi majun yang laris dijual.

Zuhair bin Abi Salama, seorang pujangga Arab pada zaman sebelum Rasulullah SAW pernah menegaskan:

‌وَمَهْمَا ‌تَكُنْ ‌عِنْدَ ‌امْرِئٍ ‌مِنْ ‌خَليقةٍ … وَإِنْ خَالَهَا تَخْفَى عَلَى النَّاسِ تُعْلَمِ.

“Sekalipun seseorang itu mempunyai perangai yang disembunyikan kepada orang ramai, akhirnya ia akan tetap terdedah juga.”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Jumadal Ula 1444 / 7 Disember 2022 – HARAKAJDAILY 7/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lapor polis terhadap PM. Judi layak buat PH..

Hanya akal yang berpusing sahaja, boleh menerima tuduhan mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada Perikatan Nasional (PN).. Bukan mereka yang 'menghilangkan akal siuman' atau menugging kepala ke bawah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails