Tuesday, October 18, 2022

Sedia perubahan iklim? Paris, tunjuk perasaan. KASA siap.

Sumber Google

1. Adakah kita bersedia dengan perubahan iklim?

PERANAN seorang pemimpin secara amnya adalah mempertahankan kedaulatan negara demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua. Sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan, jika pilihan pemimpin itu di tangan rakyat segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan yang dipimpin olehnya haruslah juga bermanfaat sepenuhnya kepada rakyat.

Sejak pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober yang lepas, perkembangan politik negara semakin hangat dibicarakan hari demi hari.

Jelas bahawa tidak lama dari sekarang kita akan memilih dan mengangkat seorang lagi pemimpin yang bakal mengemudi pentadbiran dan mengorak strategi dalam memastikan pembangunan negara yang aman dan maju.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang memandang serius dan komited bukan hanya terhadap isu-isu seperti pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat tetapi memastikan kelestarian alam sekitar juga terpelihara. 

Keutamaan harus diberikan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara ke arah yang lebih mampan dan tidak terbatas dengan ukuran kemajuan yang berteraskan keluaran dalam negara kasar (KDNK) semata-mata.

Malah, pertumbuhan ekonomi negara haruslah saling menyokong perlindungan alam sekitar selari dengan Agenda 21 Persidangan Rio 1992 yang bermatlamat untuk menghentikan kerosakan kepada alam sekitar dengan menggalakkan pembangunan lestari.

Hal ini kerana kesan perubahan iklim semakin lama semakin ketara dan membimbangkan khususnya di negara Malaysia setelah mengalami beberapa kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, pencemaran udara dan air yang semakin kerap, peningkatan suhu yang melampau dan cuaca yang semakin tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Ia bukan hanya merosotkan kualiti alam sekitar malah menyebabkan penurunan kualiti hidup terutamanya disebabkan oleh peningkatan jurang sosioekonomi dan penurunan tahap kesihatan masyarakat Malaysia.

Antara caranya adalah dengan mengorak strategi transformasi ekonomi negara yang adil ke arah lebih lestari dengan memfokuskan kepada peralihan penggunaan tenaga tidak boleh diperbaharui kepada tenaga boleh diperbaharui dan menggiatkan lagi promosi pekerjaan hijau dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya bagi golongan belia.

Keterlibatan belia dalam isu alam sekitar

Golongan muda adalah golongan yang paling kurang menyumbang kepada perubahan iklim namun merekalah juga yang paling terdedah kepada kesan-kesan perubahan iklim. Kerajaan Malaysia haruslah memandang serius dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan belia dengan meningkatkan kapasiti anak-anak muda khususnya dalam advokasi dasar awam yang tertumpu pada isu-isu persekitaran dan iklim.

Selain itu, usaha harus dipergiatkan bagi memudahkan akses kepada maklumat dan info berkaitan alam sekitar dan dasar-dasar yang berkaitan supaya mereka menjadi lebih cakna dan mampu menyumbang secara bermakna kepada tindakan iklim di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dengan menggunakan platform-platform media secara atas talian mahupun bercetak dengan lebih efisien dan menyeluruh.

Seterusnya golongan belia juga haruslah diiktiraf sebagai rakan strategik kerajaan dalam proses pembuatan dasar dan proses mengambil keputusan yang mana bukan hanya mampu mendorong pihak kerajaan dalam mengambil tindakan iklim yang lebih bermakna tetapi melahirkan golongan muda yang lebih cakna dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim.

Perkara ini juga telah diketengahkan dalam Persidangan Youth4Climate 2022 yang diadakan seiring dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York pada bulan lepas yang telah saya sertai sebagai satu-satunya wakil belia Malaysia.

Persidangan ini yang bertemakan Powering Action atau ‘pemerkasaan tindakan’ menekankan 4 tema utama iaitu cita-cita pemacu belia, pemulihan mampan, penglibatan pelbagai pihak dan masyarakat cakna iklim.

Persidangan ini juga memberi ruang kepada aktivis-aktivis belia daripada seluruh dunia untuk bertukar pendapat, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai isu-isu dan inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh mereka untuk menangani perubahan iklim serta membuka peluang kepada mereka untuk bekerjasama dan membina sebuah komuniti belia global yang cakna tentang isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim.

Ia juga bagi menyokong penglibatan belia secara bermakna dalam tindakan iklim sekaligus memupuk sebuah ekosistem yang inklusif dalam proses mengambil keputusan bersama pemimpin negara mahupun dunia di pelbagai peringkat.

Dalam pada itu, sistem tadbir urus pengurusan alam sekitar perlu koheren, cekap dan responsif kepada keperluan semua kumpulan umur dan khususnya golongan muda dalam mereka bentuk penyelesaian tempatan yang partisipatif dan sistemik.

Hal ini kerana saya juga percaya bahawa dalam usaha untuk mengambil tindakan dalam isu perubahan iklim dan alam sekitar harus melibatkan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk golongan terpinggir seperti kumpulan belia dan masyarakat Orang Asli serta mengambil kira pandangan mereka supaya dapat mengambil keputusan yang lebih inklusif dan komprehensif.

Syabas kerajaan Malaysia

Tindakan kerajaan Malaysia baru-baru ini dalam menangani isu-isu alam sekitar haruslah dipuji. Antaranya pemindaan Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 dengan meningkatkan kadar hukuman bagi penjenayah alam sekitar, usaha untuk peningkatan kesiapsiagaan menangani bencana banjir dalam bentuk pemantapan sistem amaran, pembinaan infrastruktur air yang berdaya tahan terhadap bencana iklim, pembangunan Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional dengan meningkatkan kecekapan penggunaan dan pengurusan tenaga serta penggubalan rang undang-undang perubahan iklim.

Ini menunjukkan tahap keprihatinan kerajaan Malaysia yang tinggi terhadap isu alam sekitar dan perubahan iklim terutamanya dalam membina sebuah negara yang rendah karbon dan berdaya tahan melalui langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, saya berharap agar komitmen-komitmen kerajaan ini dilaksanakan dengan membangunkan strategi pemantauan kemajuan yang jelas dan transparen supaya sasaran hasil daripada perlaksanaan dasar dan projek ini dapat dicapai dengan cekap selain menggalakkan penyertaan aktif daripada masyarakat awam terutamanya pemain-pemain industri dan pihak-pihak berkepentingan yang menerajui tindakan iklim di peringkat akar umbi.

Selain itu, pembangunan dasar sahaja tidak mencukupi sekiranya masyarakat Malaysia tidak ada kesedaran dan ilmu tentang keperluan untuk memberi keutamaan kepada isu perubahan iklim dan kelestarian alam dan bahawasanya mereka juga mempunyai peranan yang sangat penting untuk mendukung matlamat kerajaan agar tidak menjadi umpama besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar.

Salah satu caranya adalah dengan meningkatkan literasi alam sekitar melalui pemantapan strategi pemindahan ilmu. Perkara ini dapat dilakukan dengan memaksimumkan kapasiti gedung-gedung ilmu di negara kita seperti institusi-institusi pendidikan untuk memainkan peranan yang aktif untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan prihatin terhadap alam sekitar sekali gus menjadi agen penyebar kesedaran di persekitaran mereka sendiri.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga haruslah menggiatkan lagi usaha untuk menggalakkan pusat-pusat ini melalui insentif kewangan dan kemudahan supaya meningkatkan kajian, inovasi dan projek komuniti yang lebih berfokuskan kepada pengurusan alam sekitar dan perubahan iklim.

Isu perubahan iklim makin parah

Laporan Penilaian Keenam Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menunjukkan bahawa pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti manusia bertanggungjawab untuk pemanasan suhu global kira-kira 1.1°C sejak akhir abad ke-19, dan mendapati bahawa purata suhu global dalam tempoh 20 tahun akan datang, dijangka mencapai atau melebihi 1.5°C.

Isu perubahan iklim yang semakin lama semakin parah ini haruslah diambil serius sama sepertimana kita bertindak untuk menangani wabak Covid-19 yang menghantui hidup masyarakat dunia sejak dua tahun yang lepas.

Dalam sebuah artikel penulisan Bill Gates yang diterbikan oleh The GatesNotes menyatakan bahawa impak daripada perubahan iklim mungkin boleh menjadi lebih teruk daripada wabak Covid-19 jika tidak ditangani dengan segera. Jika kita boleh melakukannya untuk menangani Covid-19, kita boleh melakukannya untuk perubahan iklim.

Oleh itu, menjelang Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27-UNFCCC) juga yang bakal berlangsung pada bulan November ini di Sharm El Sheikh, Mesir, saya menyeru kepada kerajaan Malaysia agar komited dalam mengutamakan keperluan menangani isu perubahan iklim dengan efisien dan menerapkannya dalam pembangunan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik secara menyeluruh.

Saya juga ingin menekankan bahawa tindakan yang progresif dan segera amatlah kritikal bagi mengehadkan impak perubahan iklim yang memberi tekanan bukan hanya kepada persekitaran tetapi juga kepada kesejahtaraan dan kemakmuran masyarakat Malaysia.

Saya berharap agar komitmen dapat diterjemahkan kepada perlaksanaan dengan memberi keutamaan kepada ketelusan dalam tadbir urus perubahan iklim serta penyertaan rakyat yang aktif dan inklusif untuk membina negara dan persekitaran yang mampan. Perubahan iklim adalah krisis global dan usaha untuk memitigasinya adalah tanggungjawab kita bersama! 



Mogesh Sababathy
Aktivis Belia Alam Sekitar
Pengasas Bersama Project Ocean Hope
Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM) – HARAKAHDAILY 17/10/2022

2. Puluhan ribu berarak tunjuk perasaan di Paris  

Orang ramai menyertai tunjuk perasaan di Paris pada 16 Okt 2022. (FOTO: EPE_EFE)

PARIS: Puluhan ribu penunjuk perasaan termasuk pemenang sastera Nobel Perancis yang baru dinobatkan, Annie Ernaux menyertai demonstrasi jalanan di Paris bagi menunjukkan kemarahan dan protes  besar-besaran terhadap kenaikan harga, kos sara hidup dalam usaha memberikan tekanan ke atas kerajaan Presiden Emmanuel Macron.

Saluran berita Perancis BFMTV memetik penganjur sebagai berkata bahawa kira-kira 140,000 orang berarak di beberapa jalan raya sekitar di ibu kota Perancis itu pada Ahad (16 Okt) waktu tempatan, lapor South China Morning Post.

“Kira-kira 30,000 orang telah terlibat dalam protes tunjuk perasaan  manakala kiraan yang ditugaskan oleh kolektif media Perancis, bilangan penunjuk perasaan mencecah 29,500 orang,” ujar satu kenyataan polis tempatan.

National Public Radio pula melaporkan ketika demonstrasi berlaku, terdapat beberapa vandalisme dilakukan seperti tong sampah dibakar dan mesin bank dipecahkan.

Dalam pada itu, Ernaux mengisytiharkan bantahan itu sebagai ‘suatu kejayaan besar’ sementara pihak penganjur melabelkannya sebagai ‘perarakan menentang kos sara hidup yang tinggi dan ketidakupayaan iklim’.

Di samping menyeru pelaburan besar-besaran terhadap krisis iklim, tambah laporan itu, penunjuk perasaan juga menuntut langkah kecemasan terhadap harga tinggi, termasuk pembekuan kos tenaga, barangan keperluan dan sewa, dan untuk cukai yang lebih besar bagi keuntungan durian runtuh.

Ahli parlimen dari parti sayap kiri France Insoumise (atau France Unbowed), Christophe Bex dalam pada itu melabelkan perarakan berkenaan sebagai ‘demonstrasi kekuatan untuk menunjukkan kepada seluruh dunia, segala kemungkinan boleh berlaku jika kita semua bersama dan semua bersatu’.

“Apa yang kami mahu ialah semua orang hidup secara aman dengan kuasa beli yang mereka ada sebelum ini,” kata Eric Doire, seorang  pesara pekerja kereta api yang terlibat adalam perarakan itu. 

Beberapa penunjuk perasaan dilihat memakai jaket pendarfluor kuning, simbol protes antikerajaan yang pernah digunakan dalam keganasan pada 2018 sehingga menggegarkan kerajaan Macron, lapor The News International pula.

Penentang Macron berharap untuk membina momentum yang dicipta oleh kebuntuan penapisan yang bermula pada akhir September lepas.

“Kami akan mengadakan tunjuk perasaan ini selama seminggu. Ia dimulakan dengan perarakan ini (pada Ahad) yang merupakan kejayaan besar,” kata ketua parti pembangkang berhaluan kiri Perancis, La France Insoumise, Jean-Luc Melenchon. – HARAKAHDAILY 17/10/2022

3. Keperluan negara fokus kepada musim banjir mendatang 

JABATAN Metereologi Malaysia atau MetMalaysia telah mengeluarkan jangkaan hujan lebat berterusan bermula November ini sehingga hujung bulan tersebut.

Kerisauan di peringkat Kementerian Alam Sekitar dan Air adalah persediaan agensi kerajaan dan rakyat dalam menghadapi bencana ini. Meskipun banjir adalah fenomena yang berlaku saban tahun, kesan kerosakan daripada bencana ini tidak boleh dipandang enteng.

KASA telah memulakan langkah jangka masa panjang bagi mengatasi implikasi dan perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya bencana banjir semenjak 2021. 

Antaranya melibatkan perancangan jangka masa pendek melibatkan 1,235 projek kerja kecemasan luar jangka dengan kos sebanyak RM145 juta di seluruh negara. 

Manakala Rancangan Tebatan Banjir dan Saliran Air berjumlah RM10.25 bilion merupakan langkah jangka masa panjang KASA dalam mendepani isu banjir yang berpanjangan.

Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini akan menyebabkan hujan berterusan yang berkemungkinan besar membawa kepada risiko banjir yang tinggi.

Tempoh hujung tahun ini merupakan tempoh genting yang perlu diambil 100 peratus perhatian dan langkah berjaga-jaga oleh semua pihak. Khususnya pada jangka masa tempoh pertengahan November sehingga Disember 2022.

Maka, segala perancangan aktiviti dan pergerakan rakyat Malaysia perlu disusun sebaiknya dengan mengambil kira risiko yang mungkin berlaku hal ini.

Oleh sebab itu, KASA menzahirkan komitmen kami dengan bertekad menyempurnakan segala persediaan jangka masa pendek serta memastikan perancangan jangka masa panjang adalah mengikut jadual yang ditetapkan. 

Kebajikan dan keselamatan rakyat adalah keutamaan KASA. Maka, KASA memandang tempoh hujung tahun ini perlu difokuskan sepenuhnya terhadap agenda kebajikan rakyat tanpa diganggu dengan perkara-perkara yang boleh merencatkan persediaan rapi ini.

UTHMAN CHE AZIZ – HARAKAHDAILY 17/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim; Sedia perubahan iklim?  Paris, tunjuk perasaan. Tapi, KASA siap, al-hamdulillah.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

2 comments:

Anonymous said...

Depa dok kata tghh x pandai buat kerja. Iyer ker.

Dah lama tghh pimpin pas. Kalau x pandai buat kerja, dah lama tewas masa pemilihan. Ganti presiden lain. Tapi x berlaku.

Maknanya tghh bijak buat kerja. Lagi pun kerjanya bersih dan tidak korup. Sangat disukai ahli.

Tak da sampul untuk beli undi. Undi datang kerana ahli mahu tghh pimpin parti.

Beza ngan parti lain. Ada sampul. Ada ugut. Ada pampasan. Siapa kaya, dia ketua.

Dlm pas, ketua dipilih kerana ilmunya. Kerana akhlaqnya. Kerana contoh untuk diikut.

Tapi parti lain x macam tu. Yg terpilih kerna kaya. Terpilih kerana pandai bercakap. Kerana sampul tebal.

Dlm parti lain, ada team dlm parti. Team dlm parti tiada dlm pas. Xda team A atau team B. Tak da kem A, takda kem B.

Tiada rebut jawatan. Yg bertanding kerana dicalonkan. Bukan tawar diri jadi calon.


Anonymous said...

Royal Pardon tetiba Tun cemas dalam kegelisahan

Isu Nazlan sebenarnya cetuskan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat Malaysia. Siasatan SPRM telah mendedahkan isu konflik kepentingan dan pelanggaran etika kehakiman ketika Nazlan menjadi hakim perbicaraan rasuah SRC di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ramai pihak kesal permohonan Datuk Seri Najib memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan mengenai tindakan yang sepatutnya diambil oleh hakim terbabit telah ditolak.

Rakyat Malaysia mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan ‘Kes Nazlan’ kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Situasi amat jelas menunjukkan Peguam Negara (AG) Idrus Harun bersikap lalai dalam siasatan sehingga menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mendapat perbicaraan yang adil.

SPRM merupakan agensi bebas dan berkecuali. Ia diketuai oleh seorang Ketua Pengarah yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di bawah Seksyen 3(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, atas nasihat Perdana Menteri Malaysia dan beliau dibantu oleh dua orang Timbalan Ketua Pengarah.

Alangkah baiknya jika Yang di-Pertuan Agong memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ke Istana Negara untuk mendapatkan maklumat secara langsung berkenaan Nazlan dan SRC.

Agong boleh memerintahkan Peguam Negara (AG) Idrus Harun untuk mendakwa Nazlan. Royal Pardon sebelum PRU 15.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails