Wednesday, October 19, 2022

Guan Eng, rasuah & PH..

 


1. Sekat bukti perbicaraan, Guan Eng fail mohon prosiding hina mahkamah terhadap pendakwaan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pendakwaan kerana menyekat bukti dalam perbicaraan kes rasuahnya.

Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, didakwa gagal memberi nombor rujukan laporan forensik kepada saksi kelapan dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof, seperti diarahkan mahkamah.

Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo, ketika pemeriksaan balas terhadap Wan Mohd Firdaus, berkata laporan itu membabitkan salinan digital perbualan WhatsApp antara Pengarah Consortium Zenith Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Katanya, salinan WhatsApp itu yang dikemukakan ketika perbicaraan kes menipu dihadapi Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini, boleh membuktikan RM2 juta yang diberi kod nama 'coklat' tidak diberikan kepada Guan Eng.

Gobind: Kamu sebagai saksi mempunyai akses penuh kepada pendakwaan dan Wan Shaharuddin?

Wan Mohd Firdaus: Betul.

Gobind: Mereka (pendakwaan) sudah tentu tahu kes mana (salinan WhatsApp) yang dirujuk?

Wan Mohd Firdaus: Tidak pasti.

Gobind: Tidak tanya mereka ke?

Wan Mohd Firdaus: Sudah tanya.

Gobind: Apa jawapannya?

Wan Mohd Firdaus: Maklumat diberi hanya tarikh laporan itu.

Gobind kemudian memaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, yang berada dalam pasukan pendakwaan kes Guan Eng, turut mengendali kes Gnanaraja.

"Ia satu perkara memalukan apabila pendakwaan tidak boleh memberi maklumat berhubung laporan sama yang dikemukakan ketika perbicaraan ahli perniagaan itu," katanya pada prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, hari ini.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad, sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, mencadangkan pembelaan membuat permohonan baharu berhubung laporan forensik itu, bagi mempercepatkan proses perbicaraan dan tidak membuang masa mahkamah.

Katanya, laporan itu boleh disertakan dengan tiga lagi permohonan membabitkan salinan kenyataan Zarul Ahmad kepada SPRM, imej laporan forensik dan perbualan telefon.

"Pembelaan boleh membuat permohonan terhadap semua eksibit baharu itu dan tidak perlu lagi permohonan pada masa akan datang.

"Senaraikan sekali peruntukan undang-undang dalam penulisan afidavit permohonan. Kita akan hujah secara bersekali.

"Kes Gnanaraja di mahkamah juga sudah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), saya tak terbabit kes itu maka tidak boleh sahkan mengenai keberadaan laporan forensik itu," katanya.

Perbicaraan bersambung 23 November ini, manakala tarikh pendengaran prosiding menghina mahkamah akan ditetapkan selepas pembelaan memfailkan permohonan itu dalam tempoh tiga minggu ini. (BH)


2. Pemimpin DAP juga terpalit dakwaan kes rasuah

KOTA BHARU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menghala tuduhan pemimpin Umno sahaja yang terbabit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Sedangkan ada pemimpin utama mereka terbabit dengan kes mahkamah berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Presiden Misi Kembara Dakwah (MKD) Mohd Khalid Mat Zari (gambar di atas sekali) berkata, pemimpin PH tidak bioleh menghala serangan mereka kepada Umno dan BN sahaja berkaitan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, sedangkan ada pemimpin PH diheret ke mahkamah berkaitan tuduhan rasuah ketika menjadi ketua kerajaan negeri.

“Kita masih ingat lagi ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, pemimpin PH menghentam Umno dan BN habis-habisan dengan dakwaan terbabit rasuah.

“Akhirnya tumbanglah kerajaan BN selepas mentadbir negara lebih 60 tahun. PH menjadikan senjata rasuah dan penyelewengan menyerang Umno dan BN,” katanya di sini.

Bagaimanapun kata beliau ada pemimpin PH sendiri diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Mohd Khalid berkata, pemimpin PH tidak boleh lagi menggunakan peluru rasuah dan seleweng kuasa kepada pihak lain, memandangkan pemimpin mereka juga berdepan isu serupa.

“PH sebelum ini diakui hebat menggunaan senjata dan modal rasuah dan salah guna kuasa bagi menyerang musuh mereka.

“Namun malangnya kehebatan PH seakan bayangan palsu yang hanya memukau telinga pengundi sebelum ini. Namun hakikat mereka terpalit sama.

“Maknanya pemimpin PH dan Umno dua kali lima terjebak dengan rasuah ketika memiliki kuasa,” katanya.

Sedangkan kata beliau pemimpin PAS bebas isu tersebut biarpun mentadbir Kelantan 32 tahun sejak Oktober 1990. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Guan Eng, rasuah & PH.. 

Kini semua yang dikait dan dipalitkan dengan najis rasuah sudah dianggap biasa, tiada malu lagi, walaupun mereka pemimpin dianggap besar. Sepatutnya mereka merasa malu apabila terpalit najis rasuah!


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails