Saturday, October 22, 2022

Pecah DAP parah! Tambah X tanding PRU 15.. & Tommy kapal layar

 


1. Beberapa muka lama DAP tak bertanding PRU15?  -1Media.My

Sebilangan ahli Parlimen DAP yang sudah dikenali di kawasan mereka sejak beberapa penggal kini mungkin tidak akan menjadi calon pada pilihan raya akan datang, MalaysiaNow difahamkan daripada sumber dalaman parti.

Nama-nama pemimpin yang disebut termasuk Pang Hok Liong (Labis), Tony Pua (Damansara), Charles Santiago (Klang) dan Wong Ling Biu (Sarikei).

Mereka akan menyertai veteran parti Lim Kit Siang (Iskandar Puteri), yang menyuarakan persaraannya daripada politik pada Mac lalu, selain Ong Kian Ming (Bangi), yang berkata pada Mei beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mahu berehat daripada berada di barisan hadapan politik.

Satu sumber yang tidak mahu dinamakan berkata, "sekurang-kurangnya beberapa” akan digugurkan atau tidak akan menawarkan diri mereka sebagai calon pada PRU15 yang akan diadakan pada 19 November.

“Ada yang membuat keputusan dengan rela hati, dan ada yang diputuskan oleh parti,” kata sumber itu.

Perkara itu menjadi perbahasan apabila ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal, Kasthuri Patto mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusinya pada PRU15.

Beliau berkata ia adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin baru dalam DAP, menepis khabar angin yang mengatakan akan digugurkan sebagai calon.

"Kepimpinan parti memujuk saya untuk memikirkan semula keputusan ini, tetapi selepas berfikir panjang, saya berpegang dengan keputusan saya dan mendapat sokongan penuh serta restu pimpinan parti yang benar-benar saya hargai," katanya.

"Terdapat khabar angin mengatakan saya digugurkan, namun ini tidak berlaku kerana saya sendiri berundur atas kerelaan sendiri."

Cakap-cakap mengenai perubahan dalam barisan calon turut hangat diperkatakan awal bulan ini, di mana laporan mengatakan DAP Selangor mahu menggantikan Santiago dengan Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Santiago, yang menjadi ahli Parlimen Klang sejak Mac 2008, tidak pernah memberi sebarang ulasan mengenai dakwaan tersebut, walaupun berkata tidak merancang untuk mengosongkan kerusi itu.

Sementara itu, Pua yang memenangi kerusi Damansara pada PRU 2018, menyingkirkan Ho Kwok Xheng dari MCA dengan majoriti 106,903 undi.

Sebelumnya, beliau merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dari Mac 2008 hingga Mei 2018.

Manakala Wong memenangi kerusi Parlimen Sarikei pada PRU14, menewaskan Huang Tiong Sii dari Barisan Nasional-SUPP.

Bagaimanapun, menurut sumber parti itu, beliau juga turut berada dalam "senarai yang tidak akan bertanding".

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini membayangkan tidak semua ahli Parlimen partinya di negeri itu akan dipilih untuk mempertahankan kerusi, sambil berkata mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang semasa memegang jawatan itu akan "digugurkan".

Terdapat enam ahli Parlimen DAP di Sarawak: Chong (Stampin), Wong (Sarikei), Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Oscar Ling (Sibu) dan Mordi Bimol (Mas Gading).

Sementara itu, kerusi Labis, dianggap sebagai kubu kuat BN-MCA sejak 1986.

Ia dimenangi dua kali oleh Chua Tee Yong dari MCA pada pilihan raya 2008 dan 2013.

Chua kemudiannya dikalahkan oleh Pang pada 2018 dengan majoriti tipis sebanyak 3,408 undi.


2. Pasukan petugas persoal peranan Tommy Thomas dalam penjualan kapal layar mewah Equanimity 

Kapal layar mewah Equanimity. - Foto fail NSTP

PETALING JAYA: Keputusan menerima tawaran AS$126 juta daripada Genting Malaysia Bhd bagi pembelian kapal layar mewah Equanimity dilihat dibuat 'secara sepihak' oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Ia terkandung dalam laporan pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy bertajuk "My Story: Justice in the Wilderness" berkata, bekas Peguam Negara itu "dengan segera menerima" tawaran Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk kapal layar yang sebelum ini dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Laporan itu berkata, perkara berkenaan dilakukan tanpa merujuk kepada pemilik sah kapal ketika itu, Kumpulan 1MDB dan pemegang saham utamanya, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

"Tiada juga rujukan dibuat kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), badan yang mengendalikan harta dirampas berhubung jenayah kewangan.

"Secara signifikan, penerimaan tawaran Genting itu tidak dibuat dengan syarat apabila diluluskan oleh Mahkamah Laksamana kerana ia penjualan kehakiman yang memerlukan pengesahan mahkamah itu.

"Berdasarkan apa yang tertulis, nampaknya penerimaan tawaran Genting sebanyak AS$126 juta itu ialah keputusan sepihak yang dibuat oleh Thomas sendiri," kata pasukan petugas itu dalam laporannya.

Sehubungan itu, pasukan petugas berkenaan menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada Tommy, sebagai Peguam Negara, mempunyai kuasa untuk menerima tawaran Genting tanpa merujuk perkara itu kepada 1MDB dan MOF Inc untuk kelulusan, atau NFCC.

NFCC, katanya, ditubuhkan untuk menguruskan pengembalian aset 1MDB.

Laporan pasukan petugas itu mulai malam tadi boleh diakses orang awam melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Orang ramai boleh mengakses laporan dalam bahasa Inggeris yang mengandungi 225 muka surat itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu mengumumkan kerajaan menyahklasifikasikan dan akan mendedahkan laporan siasatan ke atas dakwaan dalam buku berkenaan.

Pihak berkuasa juga dicadangkan agar menyiasat jika terdapat kaitan antara penjualan Equanimity kepada Genting dengan penarikan balik permohonan semakan kehakiman terhadap Menteri Kewangan berhubung pembatalan insentif cukai bagi syarikat itu.

Pasukan petugas itu berkata, Genting sedang berusaha untuk membatalkan keputusan Menteri Kewangan (sebelum ini) yang memansuhkan insentif cukai dalam surat bertarikh 17 Disember 2014, dan deklarasi bahawa insentif itu hendaklah dikembalikan.

"Menteri kewangan, melalui Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Genting dan telah menyediakan afidavit membangkang.

"Bagaimanapun, apabila penjualan Equanimity kepada Genting diluluskan oleh mahkamah, permohonan (semakan kehakiman) oleh Genting ditarik balik.

"(Sementara itu,) menteri kewangan dalam surat bertarikh 4 Julai 2019, bersetuju untuk mengembalikan keputusan asal menteri kewangan (sebelum ini), di mana insentif pelaburan boleh dituntut atas semua pendapatan Genting yang dinyatakan diperoleh daripada satu sumber."

Pasukan petugas itu berkata, pengembalian semula insentif cukai kepada Genting akan mengakibatkan Putrajaya kehilangan hasil dan syarikat itu memperoleh keuntungan kewangan yang sepadan. (BH)


3. Ribuan rakyat Kelantan solat hajat pertahan kerajaan PAS 

KOTA BHARU: Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV sendat dengan ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat bagi mempertahankam kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

Solat hajat diimamkan Penasihat Persatuan Pondok Kelantan Sheikh Wazir Che Awang dan bacaan doa diketuai Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Program itu diadakan sempena sambutan 32 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diadakan bermula Rabu sehingga esok.

Sheikh Wazir berkata, umat Islam hendaklah bersatu padu dan melupakan perpecahan hanya kerana kepentingan peribadi.

“Perpecahan umat Islam dibimbangi akan diambil kesempatan pihak lain yang sudah lama mahu memecahkan perpaduan umat Islam.

“Oleh itu kami meminta parti-parti orang Islam hendaklah bersatu bagi mempertahankan Islam,” katanya ketika berucap pada Himpunan Penyatuan sempena program tersebut malam ini.

Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Lebih 10,000 rakyat Kelantan hadir pada program biarpun dalam keadaan hujan lebat sebaik sahaja selesai solat hajat. – HARAKAHDAILY 21/10/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimPecah DAP semakin parah! Tambah X tanding PRU 15.. & masalah Tommy kapal layar.

Maka kembalilah kita kepada perjuangan menyuruh buat baik dan meolak mungkar. Menolak parti pembawa mungkar dengan mengundi PAS. 

Mari bersama-sama ribuan rakyat Kelantan 'solat hajat' pertahan kerajaan PAS, walaupun kita solat di tempat kita sendiri.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails