Sunday, October 16, 2022

Masjid di Jerman, burqa di Switzerland, mahkamah Maryland, AS.

 

Masjid Pusat Cologne, di daerah Ehrenfeld ini merupakan masjid terbesar di Jerman. (FOTO: AFP)

1. Masjid terbesar di Jerman pertama kali laung azan Jumaat

BERLIN: Masjid terbesar di Jerman buat pertama kalinya akan membenarkan laungan azan pada esok (Jumaat, 14 Okt) waktu tempatan, selepas pihak berkuasa bandar di Cologne memberi kebenaran untuk projek perintis, di bawah had yang ketat. 

Masjid Pusat Cologne, sebuah bangunan megah di daerah Ehrenfeld di barat bandar itu, akan dibenarkan melaungkan satu azan melalui pembesar suara sehingga lima minit pada hari Jumaat, antara tengah hari dan jam 3 petang; dengan tahap bunyi tidak boleh melebihi 60 desibel, lapor Kuwait Times.

Perjanjian itu, yang merupakan sebahagian daripada projek perintis dua tahun itu akan ditandatangani secara rasmi oleh pegawai Cologne pada hari ini (Khamis, 13 Okt) waktu tempatan.

Masjid di beberapa bandar di Jerman sudah lama diberi kuasa untuk menyiarkan azan, tetapi bandar Cologne hanya meluluskannya mulai awal Oktober lalu. Di negara-negara majoriti Islam, muazin menyeru orang beriman untuk menunaikan solat lima waktu sehari.

“Kami sangat gembira. Ini kerana azan buat orang ramai adalah tanda bahawa umat Islam berada di rumah di sini,” kata Abdurrahman Atasoy, Setiausaha Agung Pertubuhan Ditib Turki-Islam (Ditib) yang mengendalikan masjid itu kepada media tempatan, lapor Morocco World News

Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker berkata, membenarkan azan adalah sebagai ‘tanda penghormatan’ kepada orang Islam yang mendiami bandar itu.

Statistik menunjukkan bahawa bilangan orang Islam yang tinggal di Jerman meningkat daripada 3.3 juta kepada hampir 5 juta antara 2010 dan 2016, mewakili 6.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Jerman.

Pusat Penyelidikan Pew berkata bahawa imigrasi telah menjadi faktor utama dalam pertumbuhan penduduk Islam di Jerman.

Projek itu bukan tanpa kontroversi, terutamanya kerana penglibatan Ditib, yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan menguruskan lebih 900 masjid di Jerman.

Pengkritik bagaimanapun menuduh pertubuhan itu mengintip penentang Turki yang tinggal di Jerman. Erdogan sendiri pergi ke Cologne pada 2018 untuk merasmikan Masjid Pusat, mencetuskan perhimpunan beribu-ribu penunjuk perasaan pro dan anti-kerajaan. -HARAKAHDAILY 14/10/2022


2. Denda RM4,700: Larangan pakai burqa di Switzerland 

Kerajaan Switzerland nekad memperkenalkan rang undang-undang larangan memakai burga di negara itu. (FOTO: AFP)

ZURICH: Kerajaan Switzerland akan mengenakan denda sehingga CHF1,000 (RM4700) bagi setiap individu yang melanggar larangan menutup muka dengan memakai burqa di tempat awam di negara itu.

Perkara ini merupakan sebahagian daripada rang undang-undang yang dihantar ke parlimen pada Rabu (12 okt) waktu tempatan untuk melaksanakan ‘larangan burqa’ yang dicadangkan oleh sayap kanan kerajaan negara itu yang memenangi kemenangan tipis dalam referendum pada tahun lepas, lapor Swiss Info

Walaupun dikenali sebagai ‘larangan burqa’, undang-undang itu kelak terpakai kepada peminat bola sepak bertopeng dan juga wanita Islam yang memakai niqab.

Perancangan untuk mengenakan hukuman denda sehingga CHF10,000 sebelum ini telah digugurkan selepas rundingan diadakan, kerana ia dianggap agak keterlaluan. 

Kerajaan Switzerland berkata bahawa pelaksanaan larangan burga akan dilakukan melalui undang-undang baharu dan bukannya dengan meminda kanun keseksaan, seperti yang dicadangkan pada asalnya kerana langkah berkenaan lebih sesuai untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara itu. 

Menurut laporan Al Jazeera, larangan yang dicadangkan itu juga dikenali sebagai ‘larangan burqa’ yang disokong oleh 51.2 peratus pengundi, tetapi pada masa itu dikritik sebagai bermotifkan Islamofobia dan seksis.

“Larangan menutup muka bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam. Hukuman bukan keutamaan,” kata kenyataan pejabat kerajaan Switzerland dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, beberapa pertubuhan Islam telah menentang larangan burqa ini.

“Melabuhkan kod pakaian dalam perlembagaan bukanlah perjuangan pembebasan untuk wanita tetapi satu langkah kembali ke masa lalu.

 “Nilai Swiss berkecuali, toleransi dan perdamaian telah dialami dalam perdebatan itu,” ujar kenyataan Persekutuan Pertubuhan Islam di Switzerland.

Umat Islam membentuk lima peratus daripada penduduk Switzerland yang berjumlah 8.6 juta orang, dengan kebanyakannya berasal dari Turki, Bosnia dan Herzegovina dan Kosovo.

Menurut anggaran Universiti Lucerne, hanya kira-kira 30 wanita memakai niqab di negara tersebut. 

Switzerland adalah salah satu daripada lima negara di mana penutup muka diharamkan. Perancis mengharamkan pemakaian tudung muka penuh di khalayak ramai pada 2011, manakala Denmark, Austria, Belanda dan Bulgaria mengharamkan sepenuhnya atau sebahagian daripada penutup muka dalam khalayak ramai.

Amnesty International pula melabelkan larangan menutup muka kerajaan Switzerland itu sebagai ‘dasar berbahaya’ yang melanggar hak wanita, termasuk kebebasan bersuara dan beragama. -HARAKAHDAILY 14/10/2022


3. Mahkamah gugur pertuduhan terhadap Adnan Syed   

Adnan Syed kini dibebaskan daripada pertuduhan dan sabit kesalahan membunuh teman wanitanya, Hae Min Lee 23 tahun lalu. (Foto Reuters)

BALTIMORE: Pendakwa raya negeri Maryland, Amerika Syarikat menggugurkan pertuduhan terhadap Adnan Syed yang didakwa sebelum ini sabit kesalahan pembunuhan Hae Min Lee pada 1999, selepas bukti DNA menyokong bahawa lelaki Muslim itu tidak bersalah.

Pejabat peguam negeri Baltimore City mengesahkan perkara itu pada Selasa (11 Okt) waktu tempatan, lapor NBC News.

Tuduhan itu digugurkan kira-kira tiga minggu selepas sabitan pembunuhan Syed dibatalkan dan kes itu mendapat perhatian umum pada tahun 2014 selepas ia disiarkan menerusi podcast, Serial.

Peguam Negara Baltimore City, Marilyn Mosby berkata pada sidang akhbar bahawa beliau menggugurkan kes itu selepas pusingan kedua ujian DNA sentuhan item yang tidak pernah diuji sebelum ini.

“Pegawai menguji skirt, pantyhose, kasut dan jaket milik Lee, dan campuran DNA pelbagai penyumbang yang sama ditemui pada kedua-dua kasut gadis itu, dan ujian kemudian tidak menemui DNA Syed pada kesemua bahan bukti berkenaan,” jelas Mosby.

Beliau menegaskan bahawa ujian DNA sentuhan item berkenaan, yang menganalisis sel kulit yang ditinggalkan di tempat kejadian telah digunakan sejak 2003; dan kes itu pada asalnya dibawa untuk pendakwaan pada 1999, yang mana pada ketika itu, kemajuan dalam teknologi berkenaan telah dibenarkan untuk diguna pakai dalam kes-kes jenayah.

“Pejabat saya menerima notis keputusan ini pada Jumaat minggu lepas dan pada pagi ini (11 Okt), saya sendiri menghubungi peguam mangsa untuk memaklumkan kepada keluarga mendiang Lee tentang penemuan bukti ujian DNA berkenaan. Justeru saya membuat keputusan untuk menggugurkan kes itu.

“Kami cuba menunggu pengesahan notis sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan secara terbuka, tetapi pada ketika ini kami masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak peguam,”katanya.

Menurut AP News, Mosby berkata walaupun pentadbirannya tidak bertanggungjawab untuk kesakitan yang ditimbulkan ke atas keluarga Lee atau untuk sabitan salah Syed, sebagai wakil institusi, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengakui dan memohon maaf kepada keluarga Lee dan Syed.

Mosby berkata lagi, Syed kini sepatutnya dilepaskan daripada tahanan di rumah dan dia mesti menjalani proses pensijilan yang dimulakan oleh peguamnya untuk menganggapnya tidak bersalah.

“Kes ini sudah selesai. Tiada lagi rayuan yang diperlukan,” ujar Mosby pada sidang akhbar.

“Pejabat saya akan terus menggunakan setiap sumber yang ada untuk mendakwa sesiapa yang bertanggungjawab atas kematian Hae Min Lee,” katanya.

Peguam Syed, Erica Suter dalam pada itu meraikan perkembangan terbaharu kes anak guamnya itu, sambil menyatakan bahawa Syed belum bersedia untuk bercakap kepada media secara terbuka.

“Hari ini merupakan hari yang Adnan Syed dan orang tersayangnya telah nantikan selama 23 tahun.

“Hasil ujian DNA mengecualikan Adnan dan mengesahkan apa yang Adnan dan penyokongnya sentiasa tahu bahawa Adnan Syed tidak bersalah dan Pendakwaraya Maryland telah menggugurkan pertuduhan. Adnan Syed kini bebas,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hayim: Masjid di Jerman, burqa di Switzerland, mahkamah Maryland, AS. Orang Islam kena tahu hal ehwal Islam.. 

Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails