Friday, April 01, 2022

Umat Islam puasa mulai Ahad ini

...

..

Ahli Jawatankuasa Falak melakukan cerapan anak bulan ramadan dengan menggunakan alat 'Theodolite' mengikut kaedah rukyah dan hisap bagi penentuan awal Ramadan di Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah melihat anak bulan melalui Steadolite pada Majlis Cerapan Rasmi Anak Bulan Ramadan Tahun 1443 Hijrah di Menara Kuala Lumpur hari ini. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ahad ini.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan itu turut menyatakan proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara.

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

Ramadan tahun ini disambut umat Islam dalam keadaan negara mengisytiharkan fasa peralihan ke endemik berkuat kuasa hari ini selepas lebih dua tahun melalui pandemik COVID-19.

Wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melihat anak bulan melalui Steadolite pada Majlis Cerapan Rasmi Anak Bulan Ramadan Tahun 1443 Hijrah di Menara Kuala Lumpur hari ini. - foto BERNAMA

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan melakukan cerapan anak bulan Ramadan bagi penentuan awal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto NSTP/Azhar Ramli

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails