Thursday, March 31, 2022

X denda Nikah Thai. Al-hamdulillah, tahniah & syabas Perlis.

 

Selatan Thailand seperti Narathiwat menjadi penempatan kebanyakan penduduk Islam dan tumpuan rakyat Malaysia yang ingin berpoligami di luar kariah. - Foto hiasan AFP

Perlis tak denda pasangan nikah di Thailand

KANGAR: Pasangan yang bernikah di Thailand dan ingin mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Perlis, tidak akan dikenakan denda, namun mereka perlu mengemuka dokumen lengkap.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis, Ruzaini Rais, berkata pasangan terbabit perlu mendapatkan sijil pengesahan perkahwinan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand, bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan mereka di negeri ini.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pernikahan di Thailand dan pasangan tidak mendapatkan sijil pengesahan berkenaan, permohonan bagi mendaftarkan pernikahan itu dianggap tidak lengkap dan menyukarkan proses selanjutnya.

"Ramai pasangan yang berkahwin di sana tidak mendapatkan sijil pengesahan ini kerana syarat ditetapkan kerajaan Thailand pihak terbabit perlu bermalam sehari di sana, sebelum diberikan dokumen itu.

"Bila pasangan itu tidak mendapatkan sijil pengesahan pernikahan, ia menyukarkan mereka untuk mendaftarkan pernikahan di Perlis," katanya kepada pemberita di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Terdahulu, sewaktu sesi soal jawab lisan, Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) bertanyakan Rozaimi mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi mempermudah proses untuk pasangan yang bernikah di Thailand, mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri ini.

Menurut Mohd Ridzuan, terdapat banyak kes pasangan tidak mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini, sehingga menyebabkan anak-anak turut terkesan, antaranya tidak dapat mendaftar persekolahan.

Dalam pada itu, Rozaimi berkata mahkamah syariah di Perlis juga tidak mewajibkan pihak yang ingin berpoligami untuk memaklumkan perkahwinan mereka kepada isteri pertama, namun maklumat yang dikemuka itu seharusnya lengkap.

"Jika maklumat tidak lengkap dan meragukan, mahkamah syariah akan memanggil isteri pertama bagi mendapat pengesahan," katanya. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, tahniah dan syabas Perlis. Negeri-negeri lain dalam Malaysia pun patut buat begitu.

(i) Memudahkan proses perkahwinan di negara Thai seolah-olah bantu bina masjid yang digalakkan dalam Islam.

(ii) Beri sijil pengesahan perkahwinan.

(iii) Permudah proses pasangan bernikah di Thailand, mendaftarkan semula di negaraini.

(iv) Mahkamah syariah di Perlis juga tidak mewajibkan pihak yang ingin berpoligami untuk memaklumkan perkahwinan mereka kepada isteri pertama.

(v) Jika maklumat tidak lengkap dan meragukan, mahkamah syariah akan memanggil isteri pertama bagi mendapat pengesahan.

Sekian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails