Wednesday, March 30, 2022

Muay Thai: Pelajar tahfiz mangsa buli jadi jaguh..


SUKAN

1. Pelajar tahfiz mangsa buli kini jaguh Muay Thai 

Kluang: Pernah menjadi mangsa buli, Muhammad Iqmal Ersha Syafirol Dila, 16, bangkit menebus maruah diri dengan menceburi sukan Muay Thai hingga berjaya memenangi pingat emas dalam kejohanan yang disertai.

Meskipun baru dua bulan menceburi sukan itu, Muhammad Iqmal menewaskan lawannya untuk memenangi pingat emas kategori senior dalam Kejohanan Amatur Muay Thai Negeri Johor di Kompleks Sukan Negeri Johor pada Sabtu lalu.

Pada pertandingan itu, Muhammad Iqmal yang sepatutnya menandingi kategori junior dipindahkan kepada kategori senior kerana faktor ketinggiannya yang mencecah 182 sentimeter dengan berat 99 kilogram.

Dia bagaimanapun perlu melalui dua lagi peringkat pemilihan sebelum terpilih menjadi atlet mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.

Muhammad Iqmal yang juga pelajar tahfiz berkata, dia berazam untuk mewakili Johor ke SUKMA dan bertanding ke peringkat lebih tinggi satu hari nanti.

"Saya pernah menjadi mangsa buli tahun lalu apabila ditumbuk pelajar senior ketika sedang tidur pada jam 2 pagi.

"Dia bertanyakan saya ada membuat salah apa dan menyuruh saya berdiri sambil berulang kali menumbuk dada.

"Itu bukan kali pertama saya kena buli dan selepas kejadian saya bertukar ke sekolah baharu dan timbul hasrat mahu belajar Muay Thai daripada ayah. Bermula dari situlah saya menceburi sukan ini," katanya ketika ditemui di Kelab Evolution Combat Muay Thai di Taman Idaman sini.

Hadir sama, pengasas dan jurulatih Muhammad Iqmal, Mohamad Al Ikhsan Abd Jalil.

Muhammad Iqmal berkata, dia tidak menyimpan dendam kepada individu yang membulinya namun mengingatkan kaki buli supaya berhenti membuat kerja tidak berfaedah itu.

"Saya berterima kasih sebenarnya kepada pembuli terbabit kerana kejadian itu saya belajar ilmu Muay Thai.

"Saya harap mangsa buli tidak berdiam diri dan belajar ilmu mempertahankan diri selain tidak pula menyalahgunakan ilmu yang diperolehi itu," katanya.

Muhammad Iqmal berkata, dia konsisten melakukan latihan Muay Thai dan menghafaz al-Quran kira-kira satu jam setiap hari selepas Maghrib.

Kejadian buli yang berlaku ke atas remaja itu sehingga mengalami kecederaan di dada serta trauma dan menerima sebagai pesakit luar di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom itu pernah disiarkan akhbar pada Disember lalu. (Mymetro- 29 Mac 2022)

2. Muay Thai sasar satu emas di Vietnam  


Kota Bharu: Dua tahun tanpa latihan dan sebarang kejohanan disebabkan pandemik Covid-19, misi membawa pulang pingat emas dalam Sukan Sea Vietnam tetap disasarkan untuk sukan Muay Thai.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata, sasaran pingat emas diletakkan di bahu atlit Muay Thai dari Kelantan, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, 17, yang baharu muncul juara remaja dunia di Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok.

Muhammad Shahnaz berkata, setakat ini pihaknya belum pernah gagal daripada kejayaan sasaran pingat namun disebabkan kekangan sepanjang pandemik baru-baru ini, mereka hanya mampu memberi jaminan akan membuat yang terbaik.

"Sepanjang pandemik Covid-19, banyak program tergendala, latihan tidak dapat dilakukan dan kita sedar ia akan timbul kesan terhadap persembahan atlet daripada semua kekangan ini.

"Bagaimanapun memandangkan kini kekangan sudah semakin dilonggarkan, kami akan 'catch up' balik semua program dan latihan yang tergendala untuk meningkatkan semula prestasi atlet menjelang Sukan Sea di Vietnam nanti," katanya kepada pemberita di sini.

Muhammad Shahnaz berkata, sasaran satu pingat emas itu dibuat berikutan Vietnam selaku tuan rumah mengeluarkan beberapa kategori pertandingan yang dirasakan Malaysia mampu menjuarai pertandingan.

Bagaimanapun, pihaknya terpaksa menukar strategi lain dengan memfokuskan atlit remaja lelaki itu yang juga anak emas Muay Thai Kelantan untuk membawa pulang pingat emas bagi kategori 54 kilogram (kg).

"Sekarang, Aliff sudah berada di Bangkok, Thailand untuk menjalani latihan dan sebaik sempadan negara dibuka awal April nanti, seramai 16 lagi atlit Muay Thai akan dihantar ke sana," katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam Kejohanan Muay Thai Kebangsaan 2022 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini. (Mymetro 21 Mac)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan sejak di zaman Rasulullah SAW memimpin Mekah-Madinah lagi, terdapat pertandingan main pedang, memanah, menunggang kuda, berenang, gusti dan lain-lain, bahkan ada yang dipertandingkan di masjid. 

Maka sukan di Malaysia masakini amatlah wajar di'patuh syariat'kan, ianya akan menjadi 'ibadat', berpahala di dunia dan akhirat. Begitulah hebatnya Islam, ad-dien yang merangkumi way of life.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails