Tuesday, October 19, 2021

Selamat Datang Sistem Jenayah Islam! Kami Rakyat Setuju Kamu, Prof!

 

Kelantan perlu autonomi laksana Undang-undang Jenayah Islam

RAKYAT Kelantan telah lama bersedia untuk menerima pelaksanaan Undang-undang Jenayah berteraskan Islam, yang termasuk hudud dan qisas. 

Kesediaan rakyat Kelantan itu dibuktikan melalui sokongan yang diberikan dalam Pilihan Raya Umum kepada parti yang secara terang-terangan menyatakan hasrat untuk melaksanakannya.

Hasrat Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam atau disebut sebagai hudud dinyatakan pada tahun 1992 dan direalisasikan melalui kelulusan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Rakyat Kelantan yang mengetahui hasrat berkenaan secara berterusan memilih kesinambungan pentadbiran Kelantan dalam enam Pilihan Raya Umum iaitu pada tahun 1995, 1999, 2004, 2008, 2013, dan 2018. 

Dalam konteks demokrasi, mandat yang diberikan ini turut membawa maksud satu pernyataan sokongan majoriti rakyat Kelantan terhadap usaha pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam atau hudud.

Perkataan hudud gemar digunakan bagi mewakili maksud undang-undang jenayah berteraskan prinsip Islam. Kadangkala ia digunakan kerana perkataan hudud lebih ringkas dan mudah disebut. Namun ada juga yang menggunakannya sebagai satu cara untuk menimbulkan ketakutan dan imej negatif terhadap undang-undang jenayah berteraskan prinsip Islam.

Hudud adalah undang-undang bagi enam kesalahan iaitu merompak, mencuri, murtad, zina, qazaf (menuduh seseorang melakukan zina tanpa saksi) dan minum arak. Ia dinamakan hudud kerana kesalahan serta hukumannya ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan Hadis. Hudud juga merujuk kepada perkataan ‘hududullah’ iaitu had atau ketetapan yang ditentukan oleh Allah.

Hudud hanyalah sebahagian dari keseluruhan undang-undang jenayah berteraskan prinsip Islam yang turut mengandungi aspek qisas dan takzir. Undang-undang jenayah berteraskan prinsip Islam juga meliputi aspek penguatkuasaan, prosedur mahkamah dan undang-undang keterangan.  

Berbalik kepada usaha pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam di Kelantan, dari sudut hak demokrasi, rakyat Kelantan perlu diberikan hak untuk menerima pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam. Demokrasi adalah satu sistem politik yang memberikan hak dan suara kepada rakyat dalam pemerintahan negara. Menyekat peluang rakyat Kelantan menerima hukum jenayah Islam, adalah satu bentuk sekatan ke atas hak demokratik rakyat Kelantan.

Bahkan dalam konteks hak mengamalkan agama sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, rakyat Kelantan perlu diberikan hak untuk diadili berasaskan Undang-undang Jenayah Islam. 

Islam adalah agama yang lengkap yang bukan sahaja mengandungi elemen ibadah, keluarga dan akhlak, tetapi mempunyai peraturan berkaitan urusniaga, politik dan jenayah. Orang Islam berhak untuk mengamalkan keseluruhan agamanya. Tidak beramal dengan agama dikira berdosa. Menghalang penganut agama Islam untuk mengamalkan agamanya adalah salah dari sudut hak kebebasan beragama.

Seorang yang dituduh mencuri misalnya berhak mengamalkan agamanya untuk diadili mengikut Undang-undang Islam. Seorang hakim di Mahkamah Syariah, mempunyai hak dan kewajipan untuk beramal dengan Undang-undang Islam sebagaimana yang ada dalam al-Quran. Jika hakim berkenaan mendapati seseorang melakukan kesalahan minum arak, maka hakim berkenaan berhak dan berkewajipan melaksanakan agamanya dengan menjatuhi hukuman yang sesuai dengan prinsip Islam. Undang-undang yang ada hari ini menghalang beliau untuk mengamalkan agamanya sendiri.

Mungkin ada yang menimbulkan soal keseragaman undang-undang antara satu negeri dengan negeri yang lain. Dalam hal ini dicadangkan agar Negeri Kelantan diberikan autonomi rasmi dari sudut pelaksanaan undang-undang jenayah. Caranya ialah dengan menjadikan enakmen-enakmen berkaitan Undang-undang Jenayah Syariah termasuk elemen prosedur dan keterangannya berkuatkuasa di Kelantan mengatasi Undang-undang Persekutuan dalam perkara yang sama. Manakala, Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah dan mana-mana undang-undang yang berkaitan hanya berkuatkuasa selagi tidak bercanggah dengan enakmen-enakmen berkenaan.

Oleh kerana soal autonomi ini adalah satu soal yang besar, maka pandangan rakyat Kelantan secara keseluruhan wajar diperolehi terlebih dahulu. Antara caranya ialah dengan melaksanakan satu referendum bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan menyatakan sokongan atau bantahan terhadap cadangan memberikan autonomi kepada Kelantan dalam undang-undang jenayah.

Perlembagaan Persekutuan tidak menyediakan mekanisme referendum dalam proses membuat keputusan, namun ia bukanlah satu amalan yang asing dalam sistem demokrasi, termasuklah dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ala-Wesminster. Kerajaan United Kingdom misalnya mengadakan referendum pada tahun 2016 untuk menentukan statusnya dalam Kesatuan Eropah. 

Jadi dalam soal untuk memberikan autonomi kepada Kelantan bagi pelaksanaan undang-undang jenayah, referendum adalah pilihan yang sangat baik. Selain daripada ia memberikan hak demokratik dan hak mengamalkan agama kepada rakyat Kelantan, ia juga dapat memadamkan tohmahan bahawa pelaksanaan Undang-undang Islam bertentangan dengan aspirasi rakyat. 

Selain itu proses pelaksanaan referendum yang melibatkan aktiviti penerangan dan dialog juga adalah satu proses pendidikan berkaitan kebaikan Undang-undang Jenayah Islam bukan sahaja untuk rakyat Kelantan bahkan untuk seluruh rakyat Malaysia. Ia boleh membuka dinamika baru dalam wacana berkaitan pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam yang disebut sebagai hudud itu.

Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam perlu dilihat secara jujur bukan sahaja dari perspektif kewajipan beragama, bahkan juga dari aspek demokrasi dan hak asasi. Para pendukung demokrasi dan hak asasi sewajarnya berlaku adil dalam memilih isu dalam perjuangan yang dilaungkan. Memberikan gambaran buruk kepada Undang-undang Islam tanpa meneliti secara ilmiah elemen keindahan dan kebaikannya adalah satu tindakan yang songsang. Diharapkan semua pihak boleh bekerjasama dan berlapang dada bagi memastikan wujud keadilan termasuklah dalam soal pelaksanaan undang-undang jenayah bagi rakyat Malaysia

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah dan penyelidik di Pusat Polisi Perdana, 
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, 
Universiti Teknologi Malaysia, 
Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 18/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1139212551/posts/10219492833728360/

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Selamat Datang 'Sistem Jenayah Islam' ke Malaysia! Kami rakyat, alu-alukan dan setuju cadangan kamu Prof! Mungkin sampailah masa Islam berdaulat di negara sendiri, tidak diinjak-injak. Allahu Akbar!

2 comments:

Anonymous said...

Atok dulu nak istihar dharurat jika tgna buat undang2 Islam ni kat kelantan. Atok mengkhianati agama nya sendiri dan lebih memihak kpd liberal.

Unknown said...

Insy Allah akan terlaksana. Sama2 kita diakan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails