Thursday, September 09, 2021

Najib lapor polis terhadap LHDN

 

Najib membuat laporan polis terhadap LHDN di Balai Polis Sentul, hari ini. FOTO NSTP (Gambar arkib)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan dari ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

"Sudah tentu ini menggusarkan kerana tindakan itu lanjutan daripada arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan serta asas undang-undang.

"Malah, ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas tindakan itu menyalahgunakan kuasa," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa menerima maklumat mengenai denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap dirinya

Dakwanya, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan supaya penalti cukai diteruskan terhadapnya atas arahan ahli politik tertentu.

"Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya disiasat tiga kali sejak tahun 2018.

"Mereka sendiri akui, selepas tiga kali siasatan dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan dan tiada penalti cukai patut dikenakan.

"Tidak cukup dengan itu, arahan juga diterima oleh mereka untuk tidak membenarkan kes saya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan," katanya.

Najib berkata, beliau diarahkan membayar denda cukai tambahan membabitkan wang berjumlah RM2.6 bilion yang dikembalikan kepada penghantar, empat bulan selepas diterima.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi BH mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada Najib berhubung perkara itu, hari ini.

Bagaimanapun, Eng Lai berkata kertas siasatan belum dibuka kerana perlu meneliti laporan polis oleh Najib terlebih dahulu.

Katanya lagi, pihak polis masih memerlukan beberapa dokumen penting daripada Najib untuk menentukan klasifikasi kes selain laporan itu dirujuk kepada Bukit Aman terlebih dulu untuk arahan tindakan lanjut. (BH)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails