Thursday, September 09, 2021

PAS sebagai pendamai hadapi PRU15 -Dr Riduan

 

“Sekiranya perpaduan tiga parti teras tersebut tidak menjadi kenyataan, peluang untuk Pakatan Harapan (PH) berkuasa semula cukup luas dan dibimbangi boleh mengulang peristiwa 9 Mei 2018."

KUALA LUMPUR: PAS tetap akan memainkan peranan sebagai pendamai bagi memastikan krisis Bersatu dan Umno dapat diminimumkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ruang perbincangan hendaklah diteruskan bagi merapat kembali jurang yang berlaku.

Katanya cara terbaik dicadangkan sekretariat Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) hendaklah memperkasakan program bersama sebagai usaha merapatkan hubungan, di samping dapat membantu rakyat.

“Di samping itu juga pimpinan MN dan PN menjuarai isu-isu penting membabitkan umat Islam di negara ini dan kaum-kaum lain dalam konteks masyarakat majmuk,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap hubungan tiga parti teras orang Melayu-Islam di negara ini iaitu PAS, Umno dan Bersatu perlu dipereratkan sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Dr Riduan juga berkata, usaha untuk membina kekuatan dan mengelakkan perpecahan antara parti terbabit perlu diadakan bagi memastikan jurang yang ada dapat dirapatkan.

“Sekiranya perpaduan tiga parti teras tersebut tidak menjadi kenyataan, peluang untuk Pakatan Harapan (PH) berkuasa semula cukup luas dan dibimbangi boleh mengulang peristiwa 9 Mei 2018.

“Lagi pun kita tahu yang menjadi pencatur kerajaan PH ialah DAP seperti yang berlaku 22 bulan ketika pakatan itu menguasai Putrajaya sebelum ini,” ujarnya.

Malah kata beliau banyak tragedi yang membimbangkan sebelum ini akan muncul semula apabila kekuatan parti dominan orang Melayu masih berpecah. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails