Saturday, September 11, 2021

Pemegang visa pelancong boleh buat umrah

 

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan bahawa warga asing yang mengunjungi negara itu melalui visa pelancongan boleh melakukan ibadah umrah, selepas mendapatkan permit melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Kementerian itu menyatakan pemegang visa lawatan juga boleh mendapatkan permit umrah dengan melakukan proses pendaftaran menerusi aplikasi Eatmarna, lapor Saudi Gazette.

"Pembukaan akaun di Eatmarna hanya boleh dilakukan selepas individu itu mengemas kini status kesihatan vaksinasi mereka pada aplikasi Tawakkalna.

"Hanya mereka yang sudah lengkap vaksin COVID-19 atau selesai 14 hari selepas mengambil dos pertama vaksin atau pulih daripada jangkitan layak untuk mendapatkan visa Umrah," menurut kementerian itu.

Sebanyak 500 syarikat dan lebih 6,000 ejen asing umrah sudah mula menerima jemaah warga asing yang sudah lengkap vaksin sejak 9 Ogos lalu.

Mereka yang berminat boleh menempah pakej umrah dan membuat bayaran tempahan menerusi 30 platform elektronik yang disediakan di seluruh dunia.

Kementerian Haji dan Umrah baru-baru ini turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan satu mekanisme baru untuk mengeluarkan visa umrah sekali sahaja secara atas talian.

Kementerian itu juga mengesahkan kesediaannya untuk menerima seramai mungkin jemaah umrah mengikut kuota yang dipersetujui dengan beberapa negara Islam sebelum penularan pandemik COVID-19. - AGENSI

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails