Sunday, June 13, 2021

Serlah YDP Agong prihatin rakyat. -Dr Kamarul Zaman.

 

Panggil menghadap ketua parti politik serlah YDPA prihatin

SECARA tiba-tiba dunia politik negara yang agak sunyi sejak beberapa bulan kebelakangan ini kembali mendapat perhatian bila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengambil inisiatif untuk memanggil menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara secara bergilir-gilir mulai pagi Rabu lalu.

Pelbagai spekulasi mula bertiup kencang ekoran peristiwa ini, paling menarik adalah kenyataan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, yang dilapor mengandaikan kemungkinan akan berlaku satu pembentukan kerajaan baru selepas majlis menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara dengan Yang di-Pertuan Agong ini.

Begitupun, spekulasi ini nampak tersasar bila ketua-ketua parti-parti politik utama negara yang telah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, khususnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa isu pembentukan kerajaan baharu tidak menjadi bahan perbincangan antara mereka dengan Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai tujuan sebenar majlis menghadap tersebut dibuat, petunjuk mengenainya terdapat di dalam kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, mengenai penganjuran Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini.

Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dibuat atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong adalah berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh Darurat maka ia menunjukkan bahawa majlis menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara juga mempunyai tujuan yang sama.

Semua ini menjadi petunjuk nyata bahawa Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti sangkaan sesetengah pihak, sangat prihatin dengan penularan wabak COVID-19 dan bukan setakat menzahirkannya di dalam kenyataan malah menterjemahkannya di dalam tindakan Baginda juga sehingga ke tahap membincangkannya dengan Raja-raja Melayu. 

Kesediaan Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara, khususnya dari kalangan parti-parti politik pembangkang, juga adalah indikasi jelas bahawa Istana Negara kekal relevan sebagai payung rakyat yang berada di atas politik dan yang sentiasa bersedia mendengar segala keluhan rakyat jelata.

Sesungguhnya inisiatif Yang di-Pertuan Agong ini adalah satu tindakan terpuji yang membuktikan bahawa Baginda bukanlah Raja kepada kaum, penganut agama atau golongan tertentu sahaja tetapi Baginda adalah Raja kepada semua golongan rakyat, dengan peranan semak imbang penting kepada badan eksekutif yang dijalankan.

Tidak hairanlah maka setelah selesai menghadap Baginda ketua-ketua parti-parti politik utama negara menyatakan penghormatan dan kekaguman mereka ke atas kesediaan Yang di-Pertuan Agong berlapang dada mendengar dan mencatatkan semua pandangan yang mereka kemukakan sebagai mewakili pendirian parti-parti mereka.

Masa sama, adalah kurang manis dan berada di luar daripada tata susila yang lazim untuk mana-mana individu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong mendedahkan dengan terperinci segala butiran percakapan dan titah yang dikeluarkan di dalam majlis tersebut ke khalayak umum kerana kesemua ini sepatutnya menjadi satu rahsia.

Begitupun, inilah yang dilakukan oleh Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendedahkan butiran cadangan beliau dan titah Yang di-Pertuan Agong kepada beliau, khususnya yang menyentuh cadangan beliau supaya diwujudkan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara.

Mengikut cadangan Tun Dr Mahathir, MAGERAN perlu ditubuhkan bagi membolehkan masalah-masalah yang dihadapi oleh negara sekarang seperti masalah wabak COVID-19, masalah ekonomi dan masalah politik diselesaikan sepertimana masalah-masalah yang dihadapi oleh negara selepas Peristiwa 13 Mei 1969 diselesaikan olehnya.

Lebih jauh lagi, Tun Dr Mahathir juga mencadangkan diri beliau untuk mengetuai MAGERAN ini di atas asas bahawa para pemimpin dalam parti beliau, PEJUANG, telah membincangkan dengan mendalam masalah-masalah ini serta mereka dikatakan tahu cara-cara untuk menyelesaikannya tetapi sukar melaksanakannya kerana tidak ada kuasa.

Menariknya, apabila ditanya oleh wartawan apa reaksi Yang di-Pertuan Agong ke atas cadangan beliau supaya ditubuhkan MAGERAN ini, Tun Dr Mahathir menjawab bahawa Baginda tidak menyatakan ‘tidak’ kepadanya tetapi bahawa sebarang cadangan mengenainya mestilah datang daripada kerajaan yang sedang memerintah sekarang. 

Titah Yang di-Pertuan Agong ini, jika benar, membuktikan kebijaksanaan Baginda selaku seorang Raja Berperlembagaan sekali gus menafikan pandangan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan seperti Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Dr Zulqarnain Lukman bahawa MAGERAN boleh ditubuhkan walaupun tanpa cadangan daripada kerajaan.

Masa sama, cadangan Tun Dr Mahathir ini membuktikan betapa kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad, sehari sebelumnya mengenai usaha pihak tertentu supaya ditubuhkan MAGERAN ini dan mengenai betapa ia tidak perlu adalah sesuatu yang wajar dan bertepatan dengan, malah sebenarnya mendahului, masa.

Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Dr Marzuki, usaha menubuhkan MAGERAN ini adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan negara daripada krisis yang sedang kita hadapi pada masa ini, termasuk melalui beberapa mekanisme khusus yang telah sedia ada untuk menangani wabak COVID-19.

Selain perbezaan ketara suasana sekarang dengan suasana selepas Peristiwa 13 Mei 1969, perlu diingati bahawa, walaupun berada di bawah MAGERAN pada waktu itu, Seksyen 2(2) Ordinan No. 2 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969 tetap memperuntukkan bahawa Pengarah MAGERAN hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat Perdana Menteri.

Oleh itu, penubuhan MAGERAN sekarang sememangnya tidak perlu kerana, selain sudah mempunyai beberapa mekanisme khusus, dengan kuasa masih di tangan Perdana Menteri, ia hanya akan mengendalakan perancangan kerana jika ia wujud pastilah banyak masa akan terbuang sedangkan yang diperlukan sekarang adalah kecepatan dalam bertindak.

Lebih penting lagi, cadangan penubuhan MAGERAN ini sebenarnya membuktikan dua perkara besar dalam dunia politik negara sahaja, iaitu betapa parti-parti pembangkang sebenarnya amat bercelaru sekali dan betapa Tun Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang, seperti yang pernah dihuraikan oleh Dr Khoo Boo Teik, dipenuhi dengan paradoks.

Ini kerana cadangan penubuhan MAGERAN ini ditentang oleh beberapa pemimpin pembangkang, yang didahului oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu, diikuti penonjolan mengenai kontradiksi Tun Dr Mahathir yang pada satu masa mahu Darurat ditamatkan tetapi pada masa lain mahu pula MAGERAN, yang bererti penerusan Darurat, ditubuhkan.

Inisiatif Yang di-Pertuan Agong adalah terbaik, dan selaku seorang negarawan Tun Dr Mahathir sepatutnya menggunakan ruang menghadap Baginda bukan untuk cuba mendapatkan kembali kuasa kepada diri beliau tetapi beliau sepatutnya menggunakannya untuk berkongsi dengan Baginda cara-cara untuk menyelesaikan masalah-masalah yang beliau ada.

Pada akhirnya, tradisi merujuk kepada rakyat, sama ada melalui Ahli-ahli Parlimen atau melalui ketua-ketua parti-parti politik utama negara, serta tradisi melaksanakan musyawarah dengan Raja-raja Melayu yang ditunjukkan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak syak lagi akan menjadikan institusi ini kekal disanjungi dan dijadikan pengharapan oleh rakyat.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)
Setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (CENDEKIAWAN) – HARAKAHDAILY 12/6/2021

4 comments:

Anonymous said...

Atok ni dah tak sesuai memimpin. Mungkin dia punya idea yg bernas, tapi kuat merajuk bila ada sedikit contrast. Dan hilang waras dan agak gila2 bila buat keputusan. Tanpa pertimbangan dan perbincangan, setiap keputusan adalah 100% dari otaknya sendiri. Zamannya sudah tidak selari dgn zaman rakyat. Perubahan sudah ketara sejak berlaku 22 bulan yg mencemaskan. Lagi pun atok boleh berubah keputusan beberapa kali dlm sehari. Tiada istiqamah. Jelas tiada hala tuju, dan rakyat sudah muak dgn karektor seperti ini. Tabiat paling ketara suka menyalahkan org lain, bila dia gagal berfungsi.

Anonymous said...

Atok ni bapak segala bapak dlm bab kencing. Wawasan 2020, bila tiba masanya gagal langsung. Sepatutnya hasil yg dinikmati seperti dlm objektif, tapi hampas. Atok pandai merangka tapi tak pandai melaksanakan. Sekarang minta nak jadi pm lagi. Entah apa agendanya. Mungkin ada agenda nak kaut hasil negara masuk poketnya dan keluarganya.

Anonymous said...

licik Jho Low lagi suma pemimpin Melayu ken bodohkan oleh Jho Low... bangsa Jho Low tepuk tangan tengok pemimpin melayu londeh melondeh bercakaran... dah nak mati dan sakarat kena bodoh oleh Jho Low.

Jho Low ketawa terbahak sambil kata Lu olang Melayu Gidoh smpi Mampos tapi Gua Enjoyyyyy...!!!


Period

Anonymous said...

Pemimpin yg boleh diperbodohkan oleh licik jho low wajar ditolak oleh rakyat. Jadikan ini pengajaran paling berguna. Dan jangan berlaku lagi dlm masa terdekat dan akan datang. Pemimpin sekarang yg sedang diperbodohkan oleh yg seangkatan dgn pelicik masih ada. Dan ramai mereka berada dalam kelompok khadam. Liciknya mini zionist dapic hingga tidak segan silu khadam2 menghina dan memfitnah politikus islam. Yg hebat di kalangan khadam pun terpesona dgn politik kuasa yg diterapkan oleh mini zionist dlm minda presiden parti liberal dan presiden parti kuali. Berdayaupayalah presiden parti liberal utk mengucarkacirkan ketenteraman skrg agar kerusi pm jadi miliknya. Dengan falsafah agongnya musuh boleh jadi kawan, menunjukkan betapa tidak bermoralnya pemimpin ini. Menghalalkan yg buruk dan jahat demi mencapai cita2nya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails