Thursday, June 17, 2021

Anak Kuantan harap tuah di China, Filem Cereka Terbaik.

 

Pengarah, Tan Chui Mui turut menggalas watak utama dalam filem Barbarian Invasion menembusi pencalonan kategori Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai Ke-24 sejak Jumaat lalu.

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih membanggakan apabila satu lagi naskhah anak tempatan, Barbarian Invasion arahan Tan Chui Mui, menembusi pencalonan kategori Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) Ke-24 sejak Jumaat lalu.

Filem cereka ketiga garapan Chui Mui itu bersaing dengan 12 filem antarabangsa bagi merebut trofi utama, Golden Goblet Award.

Antara judul filem yang berentap adalah Amateurs, The Chanting Willows dan Manchurian Tiger. Pemenang trofi Golden Goblet Award dijangka diumumkan, Sabtu ini.

Filem yang turut menampilkan Chui Mui menggalas watak utama bersama Pete Teo, Bront Palarae, James Lee dan Zhiny Ooi itu, membuka tirai tayangan perdana SIFF24, selama dua hari iaitu Ahad lalu dan esok.

Lebih membanggakan, Chui Mui yang berasal dari Kuantan, Pahang, tidak menyangka tiket bagi menonton tayangan perdana Barbarian Invasion laris seperti pisang goreng panas.

"Saya terima mesej daripada teman, Huang Lu yang memberitahu tiket untuk dua sesi tayangan habis terjual.

"Disebabkan pandemik COVID-19, saya dan kumpulan produksi tidak boleh 'terbang' ke China untuk bertemu penonton. Apatah lagi, proses kemasukan ke negara itu sekarang ketat," katanya kepada BH Online.

Chui Mui menganggap pencalonan pada SIFF24 sebagai kebanggaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

Memegang watak utama sebagai Moon Lee juga memberi cabaran dan keseronokan baharu buat dirinya.

"Ini suatu pengalaman baharu biarpun saya pernah berlakon dalam filem pendek dan cereka sebelum ini. Cuma, kali ini, mengarah dan berlakon, kali pertama dilakukan... Sangat mencabar.

"Saya sebenarnya suka mencabar diri, sejak kecil lagi," katanya.

Barbarian Invasion bukanlah percubaan pertama Chui Mui melakar nama dalam dunia perfileman dan festival antarabangsa.

Filem pertama arahannya, Love Conquers All yang dihasilkan pada 2006 pernah mencuri perhatian ramai.

Malah, filem pendek dihasilkan iaitu Everyday Everyday, Company Of Mushrooms dan A Tree In Tanjung Malim juga diiktiraf di beberapa festival filem antarabangsa.

Filem cereka ketiga, Barbarian Invasion garapan Tan Chui Mui turut bersaing dengan 12 filem antarabangsa bagi merebut trofi utama, Golden Goblet Award.

"Karya saya pernah menang dalam kategori New Currents Award dan Fipresci Prize pada Festival Filem Antarabangsa Busan Ke-11 pada 2006.

"Saya juga meraih VPRO Tiger Award pada Festival Filem Antarabangsa Rotterdam, Netherlands pada 2007.

"Sebenarnya, saya ada banyak projek filem yang belum dapat dilunaskan antaranya Imperial Exam dan All About Yuyu," katanya.

Chui Mui berkata, projek Barbarian Invasions diumumkan pada edisi ke-22 SIFF.

"Dua tahun selepas pengumumannya, filem ini ditayangkan pada edisi ke-24 festival ini. Saya anggap ini sebagai pengakhiran yang baik. Saya lebih memikirkan maklum balas penonton terhadap karya ini," katanya.

Tambah Chui Mui, filem berkenaan dibiayai atas inisiatif China's Heaven Pictures dan Hong Kong International Film Festival Society.

"Filem ini dibikin di bawah inisiatif digelar 'Back To Basic (B2B) : A Love Supreme'. Melalui projek ini, enam sutradara dari Asia termasuk saya dipelawa untuk berkarya.

"Filem Barbarian Invasion dihasilkan dengan bajet terbatas. Namun, ia bukan penghalang saya untuk berkarya," katanya.

Penggambaran filem Barbarian Invasion dilakukan selama dua bulan sejak Julai lalu di Kemaman, Terengganu dengan kos pembikinan RM643,000.

Ditanya bila filem aksi terbitan Da Huang Pictures itu akan ditayangkan di pawagam tempatan, penolong penerbit, Chua Jing Xuan belum dapat memberi jawapan pasti.

"Dengan situasi semasa pandemik COVID-19 dan operasi pawagam ditutup, sukar untuk saya beritahu bila Barbarian Invasion boleh ditonton rakyat Malaysia.

"Namun, saya berharap pandemik ini akan cepat pergi meninggalkan kita. Jadi, lagi cepat saya dan penerbit merancang tayangannya di Malaysia," katanya.

Barbarian Invasion disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD).

SIFF24 menerima penyertaan 4,443 filem dari 113 negara di seluruh dunia. Kategori Golden Goblet Award dihakimi penggiat industri seni filem terkenal antarabangsa seperti Huang Jianxin, Anthony Chen, Marco Muller dan Natacha Devillers. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails