Saturday, June 19, 2021

Pembalakan ketika ini daripada kerajaan sebelumnya

 

ALOR SETAR: Aktiviti pembalakan yang berlaku di negeri Kedah sekarang adalah daripada kelulusan pentadbiran kerajaan sebelum ini, demikian kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Mat Yakim.

Menurutnya, sejak mengambil alih pentadbiran bermula 17 Mei tahun lalu, tidak ada satu pun kelulusan kawasan membalak yang baharu dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Apa yang dilihat sekarang sama ada kawasan balak ditebang atau lori-lori mengangkut balak di jalan raya, itu adalah ‘warisan’ daripada pentadbiran sebelum ini,” tulisnya dalam satu muat naik di media sosial peribadinya.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan oleh netizen mengenai kesahihan kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi belum pernah memberikan kelulusan pembalakan di mana-mana kawasan di negeri ini.

Ini berikutan tularnya foto papan tanda operasi balak memaparkan tarikh lesen 1 Jun 2020 di suatu kawasan di Sik, baru-baru ini.

Menjawab persoalan itu Muhamad berkata, netizen mungkin keliru atau tidak memahami proses kelulusan dalam pengeluaran balak. 

“Kelulusan yang pertama ialah kelulusan kawasan. Ini yang dimaksudkan dalam kenyataan Menteri Besar bahawa sejak petadbiran kerajaan berubah tampuk, tidak ada kelulusan kawasan baharu dikeluarkan atau diberikan kepada mana-mana pihak.

“Kelulusan yang kedua ialah lesen membalak atau dipanggil juga lesen tebangan. Lesen tebangan diberikan kepada operator pembalakan yang telahpun memiliki kawasan yang diluluskan untuk mereka membalak,” jelasnya.

Menurut Muhamad, kelulusan membalak atau lesen tebangan memang ada dikeluarkan oleh kerajaan negeri hari ini di kawasan yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

“Jika ada foto yang memaparkan tarikh lesen selepas 17 Mei 2020, itu adalah lesen untuk membalak atau menebang pokok, bukan kelulusan kawasan balak,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Muhamad berkata kerajaan tidak boleh tidak meluluskan pembalakan atau tebangan pokok di kawasan yang telahpun diberikan kelulusan kerana ini boleh mengundang implikasi undang-undang.

“Apabila sesuatu kawasan balak diberikan kelulusan, pihak yang mendapat konsesi itu akan memulakan proses dan mengeluarkan kos seperti pembayaran premium kepada kerajaan, penandaan pokok dan sempadan serta beberapa proses lain yang berkaitan.

“Dengan itu, apabila mereka memohon kelulusan untuk membalak dan katakanlah kerajaan atas alasan yang tertentu, tidak memberikan kebenaran, kerajaan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Dari segi jangka masa, Muhamad berkata, tempoh selama 18 tahun diperlukan untuk menghabiskan penebangan balak di kawasan-kawasan yang telah diluluskan bawah pentadbiran sebelum ini di seluruh Kedah.

“Ia membabitkan kawasan seluas 75,867 hektar. Mengikut peraturan catuan, penebangan balak di Kedah dihadkan pada 4,200 hektar sahaja dalam setahun. 

“Jadi Kerajaan Negeri sekarang hanya boleh memproses kelulusan tebangan untuk kawasan yang sudah diluluskan sahaja. Kalau ada kawasan baharu diluluskan, terpaksa tunggu 19 tahun lagi baru boleh tebang balak di kawasan itu,” ujarnya.

Muhamad mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tohmahan sesetengah pihak menuduh Menteri Besar tidak bercakap benar mengenai pemberian kelulusan membalak di negeri ini.

“Sama ada mereka yang tidak tahu fakta sebenar ataupun buat-buat tidak tahu untuk memfitnah Menteri Besar, itu hanya mereka sendiri yang tahu,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

2 comments:

Anonymous said...

Kalau yang mendatangkan hasil, kesalahan diletak pada pihak sebelumnya.. kini Kita yang berkuasa usahlah baling Batu sembunyi tangan gunakan kuasa yang Ada Untuk hentikan kalau membalak itu memberi mudarat pada negeri. Jangan letakkan kesalahan kelulusan kepada kerajaan sebelum, pada Masa sama xnak hentikan sebab boleh mengecap nikmat membalak. Tahniah kedah kerana menerima FDI 43 billion, cuma yang x seronoknya 42 billion datang dari satu syarikat.. ini sangat berisiko andainya syarikat ini menarik diri atau membatalkan projek.. tentulah FDI sebenar x sampai 1 billion.. Jangan seronok dgn angka

Anonymous said...

Sekurang kurangnya ada keyakinan pelabur dgn pas. Sehingga kini pas berjaya jadi contoh teladan dalam berpolitik. Bersih dari rasuah dan tidak guna kuasa utk kaut masuk poket sendiri. Tiada komisyen yg diambil oleh politisyen pas. Beza dgn politisyen dari parti lain yg tumpang semangkuk setiap sen dari projek kerajaan. Politisyen pas dapat beri petunjuk kepada rakyat cara berhemah bila berpolitik. Sejak merdeka pimpinan pas kekal dgn imej bersih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails