Friday, June 11, 2021

Lagi, Mabuk Punya Hal! Pemandu, 38 saman lampau..

 


Pemandu mabuk ada 38 saman lampau rempuh sekatan jalan raya

GEORGE TOWN: Pemandu mabuk dengan 38 saman trafik lampau yang memandu MPV Toyota Vellfire merempuh sekatan jalan raya perintah kawalan pergerakan (PKP) polis di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat sini malam tadi.

Ujian pernafasan terhadap lelaki berusia 56 tahun itu turut mendapati ia mengandungi kandungan alkohol lima kali ganda daripada had dibenarkan dengan tahap alkohol dalam darahnya dicatatkan adalah 400mg/100ml.

Mujur tidak ada individu yang cedera akibat kejadian pada 8.30 malam itu kerana 15 anggota polis yang bertugas berjaya mengelak kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, papan tanda polis, lampu beacon dan kon keselamatan lalu lintas rosak akibat rempuhan itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata pemeriksaan mendapati lelaki terbabit mempunyai 38 saman lalu lintas yang dikeluarkan terhadapnya, kebanyakannya kerana kesalahan memandu laju yang semuanya sudah dijelaskan.

Beliau berkata, lelaki itu kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut kerana memandu bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di Butterworth enam individu berusia antara 21 hingga 38 tahun yang menghadiri satu “pesta liar” ditangkap di sebuah rumah kerana melanggar SOP PKP.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata empat daripada mereka turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Noorzainy turut menjelaskan, sehingga kini sebanyak RM725,500 kompaun dikutip sejak 1 hingga 9 jun di mana RM330,000 daripadanya adalah nilai kompaun yang dikeluarkan kerana kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis.

Katanya, denda yang tinggi turut dikeluarkan terhadap syarikat yang beroperasi tanpa kebenaran. FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails