Saturday, June 12, 2021

Keputusan darurat ikut Perlembagaan - Takiyuddin

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan mengikut semua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara di dalam membuat sebarang keputusan berkaitan darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong Baginda, tidak seharusnya timbul.

"Menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

"Ia selepas mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, perkara itu selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat di waktu yang getir ini dengan lebih efektif.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan media sebagai berkata sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada yang dapat menghalang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.

Noor Hisham turut dilaporkan berkata bahawa kini hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos depan perlu diteruskan atau tidak.

Menurut Takiyuddin, semua pihak maklum bahawa Proklamasi Darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri.

Katanya, tindakan itu selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan atas asas tanggungjawab utama dan khusus kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini terus dipelihara. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails