Monday, June 07, 2021

Lagi! Agih 10,000 komputer riba, bukan k'jaan kedekut

 

Pemuda PAS Sabah sambut baik agihan komputer

SANDAKAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyambut baik keprihatinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengagihkan 10,000 komputer riba kepada pelajar dalam kategori miskin tegar melalui Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

Ketua Penerangannya, Mustaman Mustain berkata, keputusan yang melibatkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM amat tepat pada masanya memandangkan situasi ekonomi rakyat yang meruncing kini.

Tambahnya, tindakan prihatin itu membuktikan kerajaan pimpinan Hajiji tidak meminggirkan golongan rakyat yang menghadapi ‘tekanan’ kos sara hidup lebih-lebih lagi dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Langkah proaktif ini sekali gus menunjukkan Kerajaan Negeri Sabah bukan sahaja bersungguh-sungguh untuk memerangi penularan wabak Covid-19 di negeri ini, malah turut memberi perhatian yang serius terhadap isu kebajikan khususnya kepada para pelajar untuk meneruskan pembelajaran melalui kaedah PdPR dengan lebih kondusif,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, perkara itu semestinya akan menerima reaksi yang positif daripada rakyat umumnya khususnya penerima yang terlibat memandangkan ia menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat.

Sehubungan itu, ujarnya Dewan Pemuda PAS negeri juga menyarankan agar kerajaan negeri memberi insentif tambahan kepada rakyat khususnya golongan B40, M40, peniaga dan pekerja ekoran pelaksanaan PKP yang menyebabkan pendapatan rakyat terjejas.

Tambahnya, usaha itu dilihat mampu mengurangkan beban golongan yang terjejas memandangkan rakyat yang terlibat rata-rata tidak dapat memperoleh pendapatan yang sama seperti hari-hari biasa kerana perlu duduk di rumah bagi membendung penularan Covid-19.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan seluruh ahli kabinet Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dalam menghadapi wabak Covid-19 ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Buktikan kerajaan lain lebih prihatin dari kerajaaan yang ada sekarang? Jangan cakap kosong..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails