Thursday, March 11, 2021

Texas buka sepenuhnya perintah sekatan

 

Pemerintah Texas memansuhkan pemakaian pelitup muka dan had kapisiti restoran dan perniagaan lain. Namun, ada juga yang mengekalkan peraturan sebelumnya bagi memutuskan rangkaian pandemik COVID-19. - Foto AFP

HOUSTON: Texas memansuhkan perintah pemakaian pelitup muka dan had kapasiti restoran dan perniagaan lain walaupun pakar memberikan amaran bahawa kelonggaran sekatan seratus peratus akan memburukkan lagi penyebaran COVID-19.

Texas adalah negeri kelima di Amerika Syarikat (AS) yang membatalkan perintah pemakaian pelitup muka berikutan pelaksanaan program vaksinasi dan penurunan kadar jangkitan COVID-19 secara mendadak sejak Januari walaupun jumlah kes masih tinggi.

"Sekarang masanya untuk membuka Texas seratus peratus," kata Gabenor, Greg Abbott ketika dia mengumumkan rancangan untuk melonggarkan sekatan minggu lalu.

Tindakan itu dilakukan ketika kempen imunisasi semakin mencapai momentum, dengan 62 juta orang setakat ini menerima satu atau lebih dos iaitu sekitar 19 peratus populasi dewasa dan Alaska menjadi negeri pertama yang memberikan suntikan vaksin kepada individu berumur 16 tahun ke atas.

Di pusat bandar Houston, sebahagian besar orang ramai terus memakai pelitup muka mereka walaupun ada kelonggaran baharu.

Ahli perniagaan Omar Abu-Shaaban menyatakan langkah itu sebagai bermotifkan politik.

"Saya rasa beliau tidak memikirkan kesihatan orang," katanya

Bagaimanapun, Kade Phillips, 22 tahun, memberitahu AFP bahawa dia menyokong keputusan itu.

"Saya rasa ada baiknya setiap orang dapat membuat pilihan sendiri dan apa yang mereka pilih untuk badan mereka," katanya.

Rangkaian kedai runcit menyatakan bahawa mereka akan menyimpan pesanan pelitup muka, sementara bandar masih menguatkuasakan pemakaian pelitup muka di bangunan majlis perbandaran dan ia turut terpakai di bangunan Persekutuan.

Sokongan terhadap pemakaian pelitup muka terbahagi mengikut garis politik, dengan orang di kawasan yang lebih konservatif dan di luar bandar di negara itu lebih cenderung melihatnya sebagai penghinaan terhadap kebebasan peribadi.

Peter Hotez, seorang profesor di Baylor College of Medicine, berkata dia khuatir akan tindakan itu kerana Texas mempunyai satu daripada kadar vaksinasi terendah dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 daripada varian baharu yang bermula di Britain.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails