Monday, March 08, 2021

Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) akan dilancarkan -Siti Zailah

 

Siti Zailah jumpa PDRM susulan isteri dibunuh suami

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengadakan perjumpaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), ACP Siti Kamsiah Hassan di atas kesudian meluangkan masa pada perjumpaan itu.

“Ekoran kes kematian Isteri yang telah dibunuh oleh suaminya dan juga isu-isu yang berkaitan keganasan rumah tangga, saya telah berjumpa dengan pihak PDRM untuk mengetahui punca untuk disusuli dengan tindakan pihak kami.

“Insya-Allah pihak Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menjaga anak-anak mangsa,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.

Katanya, ahli keluarga mangsa juga akan diberikan bantuan khidmat sokongan kaunseling dan pskilogi mengikut keperluan.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang wanita maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lepas.

Menurut polis, dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut sebelum suspek berumur 43 tahun itu, menembak isterinya dan kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.

Mayat isterinya berumur 38 tahun itu kemudiannya dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar, iaitu kira-kira 10 kilometer jaraknya dari rumah untuk ditanam.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pihak kementerian juga akan melancarkan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) sebagai rakan strategik pihak berkuasa dan kementerian dalam memastikan wanita sentiasa selamat dan dilindungi.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau terlibat dalam sebarang jenayah keganasan rumah tangga agar menghubungi pihak polis dengan segera atau Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 0192615999 untuk mendapatkan bantuan dan sokongan. – HARAKAHDAILY 8/3/2021


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails