Tuesday, November 03, 2020

Pengundi 18, daftar pemilih automatik dilaksana Julai 2021

 


KUALA LUMPUR: Kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata kemas kini usaha pemerkasaan sistem demokrasi berkenaan dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai, tahun lalu.

"Sehubungan itu, jangkaan tarikh pelaksanaan adalah selewat-lewatnya pada Julai 2021," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung status pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih secara automatik.

Takiyuddin berkata persiapan dilaksanakan SPR meliputi penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan.

Selain itu, katanya, suruhanjaya berkenaan giat menyediakan prosedur operasi standard (SOP), sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan mengundi 18 tahun serta daftar pemilih secara automatik.

"Bagi maksud membantu SPR dalam menyediakan SOP daftar pemilih secara automatik, beberapa sesi libat urus bersama jabatan dan agensi kerajaan dijalankan.

"Antaranya seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara Malaysia, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah, Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"SPR juga mengadakan beberapa sesi libat urus bersama parti politik dari blok kerajaan dan pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masing-masing antara 3 Oktober hingga 3 Disember 2019.

"Kerjasama sedang dijalin antara SPR dan JPN melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas SPR dan JPN dalam persiapan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan urusan lain yang berkaitan," katanya. (BH)

1 comment:

Anonymous said...

lepaih ni promote sistem undi online plok ye SPR.

kovid19 lambat lagi habis tau, tidak2nya 1 penggal lagi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails