Monday, November 02, 2020

Perancis: Renaissance hingga Islamofobia

 

DALAM dunia Dark Ages (kurun ke 4 hingga 14) menyaksikan betapa dunia Perancis sangat totok ke‘gereja’annya. Sistem feudal yang agak teruk dan Dogmatism yang dahsyat. Sehinggakan ia dikenali sebagai wilayah yang paling pekat tahap Kristiannya. 

Era kepekatan gereja ini hampir seiringan dengan zaman awal Abbasiah. Seiringan juga dengan zaman-zaman kegelapan Barat yang lain seperti England, Jerman dan sebagainya. 

Disebabkan itulah, Perancis antara negara yang lewat terkena tempias kebangkitan Barat yang dikenali sebagai Reinassance iaitu pada 1789. Bahkan istilah ini sendiri berasal daripada Bahasa Perancis. 

Sebelum era kemuncak Renaissance, sepertimana negara-negara Barat yang lain, munculnya tokoh falsafah Perancis yang cuba membawa kebangkitan negara itu.

(1) Antaranya René Descartes (1596-1650) yang dikenali sebagai Bapa Matematik Moden, merupakan tokoh utama dalam aliran fikiran Rasionalisme Eropah abad ke-17.

(2) François Marie Arouet yang dikenali sebagai Voltaire (1694-1778). Beliau banyak mengkritik dogma gereja dan institusi Perancis sehingga membentuk pemikiran Liberalism.

(3) Antara lain Jean Jacques Rousseau (1712-1778) yang boleh dikatakan banyak mempengaruhi masyarakat untuk bangkit menentang kekarutan gereja.

(4) Julien Offray de La Mettrie (1709-1751) yang dikenali sebagai seorang Atheism, dan banyak mengemukakan idea-idea Materialism. 

Sudah pastinya pertembungan pemikiran dan dogma gereja sangat serius di saat itu. Ini menyebabkan generasi pasca Renaissance sangat totok Sekularnya, pekat Liberalnya dan kuat Atheisnya.

Perancis pasca Renaissance mengalami revolusi industri, dan banyak mengepalai ketamadunan dan pemikiran. Ketika itu negara ini banyak melakukan Imperialism di seluruh dunia. Antara penjajah yang dikenali ialah Napoleon Bonaparte.

Antara negara yang dijajah oleh Perancis era ini ialah Algeria pada 1830. Bahkan negara ini dianggap sebahagian daripada Perancis. Orang-orang Perancis bebas menggunakan (merembat) tanah-tanah di Algeria.

‘Kecemerlangan’ Perancis dalam dunia Imperialisme ini berterusan sehinggalah ia dikenali sebagai wilayah terhebat selepas British yang ketika itu dikenali sebagai kuasa dunia (Pax Britannica).

Era Perang Dunia Pertama menyaksikan Perancis bersama British mengadakan Perjanjian Sykes Picot yang pada 1916 yang membawa kepada pendudukan Yahudi di Palestin dan banyak lagi.

Dalam sejarah kemunculan Kesatuan Eropah juga boleh dikatakan Perancis antara kepala utama. Bermula sejak Empayar Rom, Empayar Frankish Charlemagne, kekeluargaan Napoleon dan penaklukan Jerman era Perang Dunia Kedua.

Sebagai negara yang konon totok Sekularnya, Perancis telah mengisytiharkan undang-undang pemisahan antara agama dan pemerintahan pada 9 Disember 1905. 

Disebabkan Algeria dianggap sebahagian daripada Perancis, maka Perancis membina sebuah tempat ibadat (masjid) untuk orang-orang Algeria (Muslim) pada 1926. Sebelum itu orang-orang Islam di Perancis menggunakan rumah-rumah persendirian untuk aktiviti keagamaan.

Jorgen S Nielsen dalam bukunya yang bertajuk Muslim In Western Europe menceritakan sejarah kemasukan orang-orang Islam ke dalam Dunia Barat. Ia lebih khusus berlaku pasca Perang Dunia Kedua di mana beberapa Negara Islam tadi masih berada di bawah jajahan Perancis.

Selain Algeria, negara-negara yang dimaksudkan ialah Tunisia, Marocco dan sebagainya. Menjadi perkara biasa, Perancis mengimport masuk orang-orang dari negara-negara ini, atas tujuan keperluan mereka terhadap tenaga kerja (buruh). 

Ada yang menganggap Algeria bukanlah jajahan Perancis, akan tetapi menganggap Algeria sebahagian daripada Perancis. Maka orang-orang Algeria direkrut dalam bahagian ketenteraan Perancis selain daripada keperluan kepada tenaga buruh.

Pada 1954 berlakunya perang pembebasan Algeria daripada Perancis. Ringkas ceritanya, susulan daripada perang ini, dianggarkan 10 peratus orang Islam yang Pro-Perancis melarikan diri masuk ke negara itu pada 1962.

Orang-orang Islam yang mendiami Perancis mengekalkan Islam mereka, dari segi pengamalan dan sebagainya. Sehingga pada 1976, bilangan masjid dan rumah ibadat bertambah sedikit demi sedikit menjadi sebanyak 131 buah disebabkan kesedaran untuk beragama setelah sekian lama merasa kekosongan Sekular dan juga akhlak orang Islam yang mengekalkan Islam mereka.

Pada 1985 bilangan meningkat kepada 941 buah dan bancian ini menggambarkan bahawa Perancis paling tinggi kadar peningkatan pengaruh Islam berbanding negara-negara Barat yang lain.

Perkembangan ini akhirnya menggugat pemerintahan Perancis, penganut Katholik dan para pentaksub Sekular di negara itu. Antara siri pertembungan ini dilihat pasca 11 September 2001 apabila Barat digelapkan dengan fenomena Islamofobia.

Kemuncak pertembungan ini dilihat pada 2005 apabila terbitnya majalah Charlie Hedbo yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.W. Selepas daripada itu, berlakunya beberapa siri pertembungan. Sehingga 2015, sebanyak 63 kali serangan ke atas masjid-masjid di Perancis termasuk percubaan membakar masjid

Ia berlanjutan sehinggalah pada 16 Oktober 2020 apabila seorang guru di Paris menghina Nabi Muhammad S.A.W atas alasan kebebasan bersuara. Tindakan tersebut mengheret kepada pembunuhan guru itu. Kerajaan Perancis menyokong tindakan guru tersebut dan memberi anugerah kepadanya atas tindakan bodoh itu.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL– HARAKAHDAILY 30/10/2020

    No comments:

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails