Tuesday, November 03, 2020

Berdasarkan perbincangan bersama M/Kewangan..

 

Pemuda PAS kemuka 6 cadangan untuk Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengemukakan enam cadangan untuk kerajaan mempertimbangkan di dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

Menurut Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, antara cadangan yang dilontarkan termasuklah membenarkan pengeluaran wang daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada had-had tertentu.

Kata Ahmad Fadhli, berdasarkan perbincangan bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, maklum balas yang diterima beliau adalah 45 peratus daripada pencarum KWSP memiliki jumlah simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun 1 KWSP.

Selain itu, DPPM turut mencadangkan kerajaan memberi tumpuan khusus kepada program ‘upskilling’ terutamanya melibatkan belia dan anak muda.

Justeru itu, kata Ahmad Fadhli, kementerian-kementerian pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) wajar diberi peruntukan tambahan untuk memperkasakan bidang kemahiran.

Di samping itu, DPPM turut mencadangkan kerajaan memperkasakan pembangunan usahawan digital memandangkan kebanyakan syarikat-syarikat yang ditubuhkan selepas pandemik Covid-19 melanda, melibatkan usahawan digital.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, sehingga ke hari ini, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan di dalam pakej PRIHATIN, PRIHATIN 2.0 dan PENJANA untuk pembangunan usahawan digital.

Beliau pada masa sama, turut memohon kerajaan persekutuan memberi tumpuan khusus kepada Kelantan terutamanya membabitkan projek-projek yang sepatutnya telah dimulakan sejak sekian lama.

Antaranya, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembesaran lebuh raya Gua Musang-Kota Bharu, termasuk menyediakan dana khusus bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air di Kelantan.

Tidak lupa perkara yang telah lama dinanti rakyat Kelantan, Ahmad Fadhli turut membangkitkan perihal royalti minyak yang wajar diterima oleh Kelantan.

“Saya cadangkan supaya Menteri Kewangan dapat mengumumkan jumlah yang benar-benar akan diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia kepada Kelantan sebagai bayaran royalti minyak,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad lalu.

Akhir sekali, beliau turut mengutarakan masalah umum yang menjadi bualan masyarakat luar bandar, iaitu mengusahakan naik taraf capaian internet.

“Pembangunan infrastruktur dan capaian internet yang menjadi isu besar di kalangan masyarakat luar bandar. Perlu ada suntikan khusus untuk meningkatkan tahap capaian internet terutamanya pada ketika mahasiswa terpaksa belajar dalam talian seperti hari ini,” ujarnya.

Kata Ahmad Fadhli, beliau amat menghargai kesediaan Tengku Zafrul yang sudi mendengar cadangan-cadangan yang telah dikemukakannya bersama Ahli-ahli Parlimen PAS yang lain. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

Hibur Hibur Sikit:

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails