Monday, September 21, 2020

Ajaran sesat 'Rasul Melayu' kembali aktif

 

(GAMBAR fail) Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam, mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan terhadap lelaki yang mendakwa dirinya 'rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, 59, selepas mahkamah menolak rayuannya. FOTO arkib NSTP

Shah Alam: 'Rasul Melayu' yang kembali aktif menyebarkan ajaran yang difatwakan diharamkan pada 1991 ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza, di sini, malam tadi.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Abdul Kahar Ahmad ditahan di sebuah rumah di Kemensah, Ulu Klang selepas empat tahun dibebaskan.

"Dia bersama 16 pengikutnya yang berumur lingkungan 14 hingga 70 tahun ditahan di tiga rumah di Kemensah di Ulu Klang, Sungai Long di Kajang dan Keramat, Kuala Lumpur dalam satu Operasi Khas Penguatkuasaan JAIS ke atas kumpulan itu.

"Penahanan itu susulan risikan dan maklumat orang awam yang banyak membantu menyalurkan maklumat sejak beberapa bulan lalu sehingga JAIS berjaya menahannya malam tadi.

"Dia dipercayai mengamalkan Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad yang difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Mesra Media 2020 di SACC di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, melalui risikan dan maklumat awam yang diterima oleh JAIS, ajaran ini dipercayai kembali aktif dengan modus operandi baru.

"Mereka menggunakan kumpulan WhatsApp dan kumpulan Facebook untuk berinteraksi dengan pengikut, berkongsi pandangan dan sebarkan ajaran," katanya.

Beliau berkata, mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Doktrin Palsu); Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu) dan Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).

"Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa); Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Percubaan).

"Dalam operasi itu, JAIS turut menyita buku-buku, telefon bimbit, komputer riba, Al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran," katanya.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan lapan perempuan dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut.

"Dalam kumpulan WhatsApp itu ada kira-kira 97 orang, yang ditahan 17, jadi JAIS sedang mengesan saki baki ahli kumpulan ajaran sesat ini.

"JAIS juga sedang menyiasat, memperhalusi dan memperincikan 17 lagi kumpulan ajaran sesat termasuk beberapa ajaran sesat yang baru," katanya.

Pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat, sementara pada Mei 2016 dia dibebaskan. (Mymetro)


1 comment:

Anonymous said...

Puak Dajjal Action Party dan hamba abdi liberal mereka menyokong semua bentuk ajaran sesat seperti Komunisme, Syiah, Qadiani, rasul palsu, ayahpan dll untuk menyesatkan umat Islam.

Bahkan mereka sendiri adalah musuh Islam yang pernah menghina ajaran Islam dan menafikan hak umat Islam secara terbuka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails