Wednesday, July 01, 2020

B/Bendahari UMNO Tak Jadi Sertai PKR Kembali Kepada UMNO...


Salleh Said Keruak Pohon Sertai UMNO Semula – Bung Mokhtar


Bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah memohon untuk menyertai semula UMNO dua minggu lepas lapor Bernama memetik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurut Bung Mokhtar, “Umno sudah pun menerima permohonan (Salleh) secara rasmi dan saya telah memanjangkannya (permohonan) itu kepada Majlis Tertinggi Umno untuk dipertimbangkan dan diperhalusi …(sedang dalam) proses diberi pertimbangan dan kelulusan.
“Umno Sabah terbuka iaitu kita membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli dan pemimpin daripada mana-mana parti termasuk daripada Umno dahulu yang ingin kembali (menyertai Umno semula), kita terima,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Kinabalu, hari ini.
Terdahulu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menerusi catatan dalam blog beliau sallehsaid.com memaklumkan bahawa beliau telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR.
Beliau mengambil keputusan itu pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.
Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah meninggalkan parti pada Disember 2018.
UMNO mempunyai sejarah panjang sebagai sebuah parti yang sentiasa menerima semula pemimpin dan ahli parti yang meninggalkannya atas sebab-sebab tertentu.
Dr Mahathir dipecat pada 1969, diterima semula sebagai ahli UMNO dan kemudian diangkat sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada 1981.
Dalam era 1980 dan 90-an, sebahagian pemimpin UMNO tidak diterima dalam UMNO (baru) telah menubuhkan Semangat 46, menentang UMNO dalam pilihan raya UMUM 1990 dan 1995. Namun pada 1999, UMNO menerima semula Tengku Razaliegh Hamzah, Tan Sri Shahrir Samad, Tan Sri Rais Yatim, dan ramai lagi.
Sebahagian mereka terus menjadi wakil rakyat kepada Barisan Nasional dan dilantik menjadi Menteri beberapa penggal.
Pada 1998 nama seperti Ezam Mohd Noor, Lokman Nor Adam, Zahid Md Arip telah menyertai gerakan keadilan Anwar Ibrahim. Mereka kemudiannya diterima semula dalam UMNO pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Mahathir sekali lagi meninggalkan UMNO pada 2007 sebelum diterima semula keanggotaan pada 2009.
UMNO juga kini menerima tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri walaupun beliau antara tokoh mengalahkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu. (S.TV)

1 comment:

Anonymous said...

Cukup cukuplah termakan oleh agenda dap. Bertaut yg penting. Jangan gila kuasa dan jawatan. Biarkan atok tua dan atok muda berperang untuk kuasa peribadi. Dapat kuasa tapi terpaksa jual maruah dan jual hak warga bumi, istilahnya khianat pada bumiputera dan islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails