Monday, June 29, 2020

Pelarian Rohingya Minum Air Kencing Sendiri? Lagi Masalah 'Penghijrah'.


Pelarian Rohingya dakwa minum air kencing sendiri untuk terus hidup. Ada mayat mati di dalam bot dan terpaksa dibuang ke laut.

LHOKSEUMAWE (INDONESIA), 5 Zulkaedah 1441H, Ahad – Nasib malang menimpa pelarian Rohingya yang terdampar di laut apabila mendakwa mereka dipukul penyeludup, malah lebih teruk terpaksa meminum air kencing sendiri bagi meneruskan kehidupan sepanjang tempoh empat bulan.
Rabu lalu, mereka telah diselamatkan oleh nelayan Indonesia dan ditarik ke pantai oleh penduduk tempatan pada keesokannya.
Kira-kira 100 pelarian Rohingya yang ditemui kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.
Berkongsi pengalaman pahit, mereka turut mendakwa, ada di antara mereka yang mati dan terpaksa membuang mayat ke laut.
Dua daripada mangsa terselamat mendakwa, penyeludup yang diupah untuk mengangkut mereka telah bertindak memukul sebelum meninggalkan etnik Rohingya berkenaan di laut.
“Kami begitu menderita di dalam bot itu. Mereka menyeksa dan mencederakan kami. Malah, salah seorang daripada kami telah mati.
“Pada mulanya, ada makanan tetapi apabila ia sudah habis, mereka (penyeludup) memindahkan kami ke bot lain dan membiarkan kami hanyut di lautan,” kata Rashid Ahmad, 50, kepada pemberita di pusat tahanan imigresen di bandar Lhokseumawe di pantai utara Sumatera.
Seorang lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Habibullah mendakwa penyeludup memukul kesemua pelarian itu termasuk telinga dan kepalanya juga dicederakan.
Bagaimanapun, media antarabangsa masih belum dapat mengesahkan kesahihan kisah pelarian itu.
Pada masa sama, media melaporkan bahawa etnik terbabit telah memulakan perjalanan pada awal tahun ini, berhampiran sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh.- Agensi 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Saya (Ibnu Hasyim) ingin membuka sikit perbincangan mengenai apa yang disebut sebagai 'pendatang' atau 'penghijrah'. Mereka masih ramai tersadai di negara ini, bagaimana penyelesaiannya? Tidak salah kalau kita fikir-fikir sejenak secara ringkas untuk jangka pendek atau jangka panjang umat Islam...

Sebagai Muqaddimah..

Seperti yang selalu saya sebutkan, mari kita lihat sejarah Islam. Salah satu sebab yang membantu kebangkitan Islam dari lembah Mekah menjadi kuasa besar waktu itu ialah dengan tumbangnya 2 gergasi kuasa besar Rom dan Parsi. 

Iaitu pemimpinnya Muhammad bin Abdullah SAW berjaya mencantumkan 'Kumpulan Muhajirin' penghijrah dari Mekah ke Madinah dengan 'Kumpulan Ansar' penolong yang tinggal di Madinah, jadi bersaudara. Ilmu ini yang perlu ditelusuri dalam kontek masa kini, dunia tanpa sempadan hingga ke zaman Rasulullah SAW. Kerana hal itu termasuk kunci atau sumber kekuatan Islam pada masa itu. 

Apalagi dalam dunia globalisasi tanpa sempadan masa kini, aktiviti ekonomi dan dakwah boleh terus merentasi sempadan negara-negara. Bagaimana? Itu yang perlu dirancang dan difikirkan. Israel/AS telah memulainya pada tahun 1948 lagi. Pendatang haram Yahudi di tempatkan di Palestin, yang akhirnya mereka mengaku hak milik mereka dan terus memperluaskan tiada henti-henti sampai sekarang.  Itu cara jahat penjajah-penjajah.

Apa yang boleh kita buat sekarang?

Di Malaysia, boleh kita mulai dengan penghijrah-penghijrah yang ada di sini. Boleh bersama-sama beraktiviti melalui kegiatan ekonomi, perkahwinan, persekolahan dan sebagainya. Di Malaysia 'kebersatuan' melalui perkahwinan agak berjalan lancar, bahkan kadang-kadang penghijrah boleh memiliki kelayakan seperti warga asal. 

Di sekitar pasar besar Selayang contohnya, ramai pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan dimiliki oleh orang tempatan/'ansar' sedangkan pengoperasinya adalah pendatang/'penghijrah' dari negara lain. Gabungan 'ansar' dan 'muhajirin' ini amat penting diperkukuhkan, disokong oleh orang ramai, kerajaan atau NGO-NGO. 

Nama buruk mereka sebagai 'pendatang haram' perlu dibersihkan kepada sebutan 'penghijrah' yang dimuliakan, seperti di zaman Rasul SAW. Sifat perkauman kenegerian, seperti yang berlaku di negara-negara bangsa di dunia kini, perlu dibuang jauh-jauh. Mereka perlu dipilih, dididik dengan penghayatan 'cara hidup Islam', walau di bumi mana mereka berada.

Saya sendiri berpengalaman menjadi perunding memberi pekerjaan kepada pekerja dalam dan luar negara yang ingin berkerja di negara-negara yang memerlukan. Seperti di Australia, New Zealand, Korea, Saudi dan negara-negara Arab, Hong Kong atau lain-lain. Ianya agak ada peluang untuk mengurangkan penghijrah-penghijrah di negara ini.

Bagaimana? 

Selepas revolusi di Iran 1979, yang berjaya menghambat barua-barua Amerika Syarikat dari Iran, Iran membeli daging ternakan dari Australia. Iran mahu sembelih secara 'halal' ternakan yang dibelinya sendiri. Maka berlakulah pengambilan pekerja-pekarja dari Malaysia oleh Iran untuk berkerja di Australia. Sehingga masih wujud perkampungan dan perbandaran Melayu di sana.

(Sila lihat: Orang Melayu Katanning, Australia Barat. Bagaimana...)

Sekarang pun begitu, Australia masih tidak cukup pekerja untuk menampung keperluan perladangan di negaranya. Ertinya, 'pendatang haram' masih tetap ramai di sana. Jadi, masih ada peluang untuk menguruskan pekerjaan untuk orang yang ingin berkerja di Australia. 

Jadi apa langkah seterusnya? Sehingga menuju ke'padu'an Ansar-Muhajirin seperti zaman Nabi SAW, tetapi berlaku sekarang ini?

Insya Allah, perbincangan bersambung.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails