Tuesday, June 30, 2020

Perlembagaan benarkan usul tamat jawatan Speaker, Timbalan






KUALA LUMPUR: Usul dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat untuk menamatkan khidmat Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming tidak bertentangan dengan Perlembagaan.
Walaupun usul berkenaan boleh menimbulkan persepsi ia satu bentuk campur tangan pihak Eksekutif, Perlembagaan membenarkannya menerusi Perkara 57 (2)(c), iaitu 'Jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan untuk Yang di-Pertua mengosongkan jawatannya.
Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - Foto NSTP Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - Foto NSTP
Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata apabila Dewan Rakyat menerima usul berkenaan, ia akan dibentang ketika Dewan bersidang semula pada bulan Julai ini.
"Apa yang dikatakan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Tidak timbul isu campur tangan eksekutif," katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Mohamad Ariff mengesahkan menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat ditamatkan termasuk Kor Ming sebagai Timbalan Speaker.
Kata Mohamad Ariff, kedua-dua usul yang diterima itu mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut mengesahkan usul itu dibawa Perdana Menteri dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang Jumaat lalu (26 Jun).
Nik Ahmad Kamal yang juga Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pembangkang berhak mempersoalkan keputusan Dewan Rakyat di mahkamah seperti dalam krisis politik Perak 2009.
"Walaupun kes berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN), peruntukan Perlembagaan Perak lebih kurang sama dengan Perkara 57 Perlembagaan," katanya.
Pandangan sama turut diperakui Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datin Prof Dr Faridah Jalil yang menyifatkan usul berkenaan sejajar dengan Perlembagaan.
Katanya, tanggapan Perdana Menteri sebagai Ketua Eksekutif campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa juga bersifat subjektif kerana Perdana Menteri juga seorang Ahli Parlimen yang berhak mengemukakan usul di Dewan Rakyat.
"Memang Perdana Menteri memerlukan sokonan daripada Speaker tetapi tidaklah sampai mengawal Speaker. Konsep pengasingan kuasa mesti dipelihara.
"Namun, peruntukan Perlembagaan tidak menyatakan perlu ada alasan atau sebab untuk membawa usul menamatkan khidmat Speaker. Memadai Dewan Rakyat yang membuat ketetapan," katanya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails