Friday, July 03, 2020

Anwar Menyanyi Lagu Sedih. Ini, Pasti Sayu, Bunyinya


HALAMAN HIBURAN
Bila Anwar menyanyi lagu Sangam ‘Dost Dost Na Raha’

SEMASA Anwar dipecat dan kemudiannya ditahan polis pada tahun 1998 ketika itu penulis masih belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. Pada masa itu juga penulis adalah salah seorang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UUM. Sebagai pemimpin pelajar ketika itu memang kami ada sedikit sebanyak terlibat dengan aktiviti reformasi.

Pada masa itu tidak ada media sosial dan Youtube. Kami mendapat maklumat melalui VCD ceramah yang dijual di pasaran. Salah satu antara VCD pidato Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pernah penulis tonton pada ketika itu ialah apabila Anwar meluahkan rasa sedih kerana kehilangan ramai kawan selepas dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Kawan-kawan yang bergantung kepada projek semasa saya masih menjadi Timbalan Perdana Menteri semuanya lari meninggalkan saya.” Kata Anwar dalam video itu dengan nada sedih. Kemudian Anwar menyanyikan lagu yang berjudul Dost Dost Na Raha sebuah lagu dalam filem Hindi lagenda ‘Sangam’ lakonan dan arahan Raj Kapoor yang diterbitkan pada tahun 1964.


Antara bait-bait awal lagu tersebut ialah :

Dost dost na raha
Pyar pyar na raha
Zindagi humein tera
Aitbaar na raha
Aitbaar na raha

Terjemahan:

Sahabatku kini bukan lagi sahabat
Kekasihku kini bukan lagi kekasih
Inilah nasibku
Aku sudah tidak percaya padamu lagi
Aku sudah tidak percaya padamu lagi


Bagai ‘dejavu’ Anwar nampaknya sekali lagi berhadapan dengan situasi yang sama. Anwar sekali lagi kehilangan orang-orang yang selama ini dia panggil sebagai sahabat.

Keengganan Mahathir untuk menerima jawatan Menteri Kanan ditawarkan Anwar sekiranya Mahathir bersetuju Anwar adalah Perdana Menteri jika PH Plus mengambil semula kerajaan telah menyebabkan mereka terpecah dua antara kem Mahathir dan kem Anwar. 

Namun yang menjadi ketakjuban penulis, pemimpin PAN dan DAP yang diketahui umum sebagai penyokong kuat Anwar tiba-tiba berubah menjadi penyokong kuat Mahathir pula.

Kenyataan berterus-terang Mahathir yang menyatakan bahawa Anwar memang tidak layak menjadi PM kerana dia ada ramai musuh dan segala yang Mahathir buat selama ini ‘hanya untuk membantu Anwar menjadi PM’ menjadi ungkapan yang benar-benar merendah-rendahkan kemampuan Anwar.

Namun kecenderungan pemimpin PAN dan DAP yang lebih memihak kepada Mahathir menimbulkan banyak tanda tanya. Ia telah menjadi semakin parah apabila penyokong dari kedua-dua pihak berbalas-balas kenyataan sehingga Penasihat Umum PAN, Dato’ Seri Ahmad Awang baru-baru ini telah menggesa penyokong Anwar dan Mahathir agar melakukan ‘genjatan senjata’ dan tidak mengeruhkan keadaan.

Dan yang terbaru Mahathir mencadangkan agar Dato’ Seri Shafie Apdal pula sebagai calon PM untuk PH jelas menambah penghinaan pada Anwar. Tidak pasti apa perasaan pemimpin PAN dan DAP apabila Mahathir bermain silap mata dengan mendakwa PAN dan DAP telah bersetuju ‘sebulat suara’ dengan cadangan tersebut pada hal mereka kemudian menafikan perkara itu. Tidakkah mereka berasa 
Mahathir cuba memperbodoh-bodohkan mereka?

Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Shafie Apdal
Sebenarnya sekiranya semua pemimpin PAN dan DAP bersama-sama dengan PKR mendesak supaya Mahathir bersetuju agar Anwar menjadi calon PM kerana mereka memiliki 91 kerusi maka Mahathir bersama-sama dengan serpihan Bersatu dan Warisan pun tidak ada pilihan lain.

Mahathir dan konconya sekarang hanya memiliki 13 kerusi iaitu lima kerusi bekas Bersatu dan lapan kerusi Warisan. Samada Mahathir terpaksa berpuashati sekadar menjadi Menteri Mentor atau mereka semua kekal sebagai pembangkang. 

Pemimpin-pemimpin PAN dan DAP telah bersahabat dengan Anwar semenjak era reformasi 1998. Selama lebih 20 tahun mereka bersahabat. Malah sebelum Anwar masuk Umno pada tahun 1982 pemimpin-pemimpin PAN yang ketika itu berada di dalam PAS pernah bersahabat dengan Anwar.

Sementara hubungan antara pemimpin-pemimpin PAN dan DAP ini dengan Mahathir sebelum ini adalah musuh politik sejak azali sehinggalah pada tahun 2017 apabila mereka mula berkawan. Garis masa persahabatan mereka hanya sekitar tiga tahun berbanding berpuluh-puluh tahun bermusuh. Selama ini mereka bermusuh dengan Mahathir selepas era reformasi sebahagian besarnya pun kerana Anwar.

Yang menakjubkan ialah bagaimana di saat Anwar bertelagah dengan Mahathir, pemimpin PAN dan DAP yang merupakan sahabat Anwar sejak 1998 tiba-tiba menyokong Mahathir yang mereka baru sahaja berkawan semenjak tahun 2017, yang sebelum itu adalah musuh ketat politik?

Walau pun Mahathir sudah tidak ada parti dan hanya bersama dengan empat lagi Ahli Parlimen bekas Bersatu dan lapan orang Ahli Parlimen Warisan namun Mahathir kelihatan sangat tegap kerana sokongan dari PAN dan DAP ini.

Sekarang ini sekiranya PH Plus tidak berjaya membentuk kerajaan kerana gagal mencapai persetujuan siapa akan jadi PM maka kesalahan itu akan terpikul di bahu Anwar. Ia bukan salah Mahathir tidak mahu menerima Anwar sebagai PM. Itu naratif yang berjaya di bina Mahathir.

Semua ini tidak akan berlaku sekiranya DAP dan PAN tetap berada di belakang Anwar. Namun ia tidak berlaku sebegitu. Baru dua tahun mereka berkawan, Mahathir telah mengambil sahabat-sahabat Anwar ini yang pernah memusuhi dirinya dahulu kerana membela Anwar yang telah dia aniayai. 

Sahabat-sahabat Anwar ini adalah mereka yang sebelum ini menjadi musuh Mahathir lebih lama dari Anwar bermusuh dengan Mahathir sendiri. Apa agaknya ‘nasi tangas’ yang telah diberi oleh Mahathir kepada pemimpin-pemimpin DAP dan PAN sehinggakan secara tidak masuk akal tiba-tiba mereka lebih kasmaran dan menyayangi Mahathir berbanding Anwar?

Nampaknya Mahathir telah benar-benar berjaya meletakkan Anwar di tapak kakinya. Orang-orang yang Anwar panggil sahabat dahulu dari DAP dan PAN pula ibarat ‘algojo’ yang membantu mengheret Anwar untuk diletakkan di tapak kaki Mahathir. Anwar kali ini benar-benar dihina lebih teruk daripada apa yang dilakukan Mahathir pada tahun 1998 dahulu. 

Jika dahulu Anwar dihina Mahathir tetapi ada sahabat-sahabat Anwar yang membantu mempertahankannya. Kali ini Mahathir menghina Anwar sekali lagi, namun kali ini sahabat-sahabatnya yang dahulu mempertahankannya dari Mahathir kini telah pun bersekongkol dengan Mahathir. Bila Anwar menoleh ke belakang rupanya dia sudah jauh ditinggalkan sahabat-sahabatnya. 

Mungkin Anwar sekali lagi akan menyanyikan lagu Dost Dost Na Raha. Pasti sayu bunyinya.
IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Unit Berita Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka – HARAKAHDAILY 2/7/2020
Hibur Hibur Sikit
Video: Dost Dost Na Raha | Sangam | Raj Kapoor | Vyjayanthimala | Bollywood Classic Songs | Mukesh

Video: Aku Yang Dulu...🤞 | Ustaz Akhil Hayy

1 comment:

Anonymous said...

Nampaknya tiga pemimpin dinosaur tua yang sedang menyanyi lagu Bollywood yang sangat sedih kerana gagal menjadi pemimpin negara kerana di checkmate oleh abang Din.

Tepuk ......

Ha ha ha ha ha ha ha ha

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails