Monday, February 03, 2020

Budak Sekolah Kendali ‘pesawat’, Juruterbang Tunjuk Jalan

Murid Tahun Enam SK Gong Nangka menerbangkan pesawat simulator milik sekolah yang dibina daripada barangan terpakai ketika ditemui baru-baru ini. — Foto Bernama Murid Tahun Enam SK Gong Nangka menerbangkan pesawat simulator milik sekolah yang dibina daripada barangan terpakai ketika ditemui baru-baru ini. — Foto Bernama
JOM KREATIF
Oang kampung, orang bandar semua boleh terbang tinggi, mampu gapai cita-cita jadi juruterbang


MARANG, 3 Feb — Orang kampung, orang bandar semua boleh terbang tinggi, mampu gapai cita-cita jadi juruterbang jika dapat maklumat tepat dan bukan sekadar ‘dengar cakap’.
Demikian perkongsian Kapten Mohd Hairul Sanot, yang juga juruterbang Malaysia Airlines (MAS) bagi mengurangkan kenyataan salah berkaitan kerjaya yang menjadi idaman ramai anak muda, malah ada yang menganggap ia hanya untuk mereka yang kaya sahaja.
Beliau yang bercakap di hadapan kira-kira 60 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka, di sini berkata masih banyak tanggapan yang kurang tepat dalam kalangan masyarakat mengenai seorang juruterbang termasuk dari segi kelayakan fizikal dan akademik.
“Saya sering mendengar luahan daripada orang ramai yang kecewa kerana tidak dapat menjadi juruterbang kerana mata yang rabun dan tidak memperoleh ‘deretan A’ dalam akademik sedangkan kelayakan asas adalah cemerlang dalam sekurang-kurangnya empat mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Empat mata pelajaran itu ialah Bahasa Malaysia, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains atau Fizik. Paling penting jaga kesihatan dan perlu tahu asas dunia penerbangan, seterusnya adalah memilih sekolah penerbangan yang sesuai dengan bajet kewangan sepanjang latihan atau berbentuk pembiayaan yang akan ditolak gaji apabila berkhidmat kelak,” katanya yang telah bersama MAS sejak 2007.
Sesi bersama juruterbang yang mempunyai pengalaman membawa pesawat Airbus 330, Boeing 737-400 dan Boeing 737-800 itu adalah program jalinan perkongsian profesional menerusi ‘Career Talk: Meet The Pilot’ anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Marang dengan kerjasama Bernama Biro Terengganu, baru-baru ini.
Ia adalah susulan tularnya laporan berita Bernama mengenai keunikan simulator hasil rekaan guru penyelaras kelab itu iaitu Syed Hasan Syukri Tuan Hadi pada 6 Jan lepas bagi mencipta suasana berada di dalam kokpit bagi meransang minat pelajar untuk menjadi juruterbang.
Mohd Hairul, yang telah berkhidmat selama 14 tahun dengan MAS, berkata beliau begitu teruja apabila membaca berita itu kerana tidak semua murid di negara ini bertuah dapat menyertai Kelab Aeronautik dan mempunyai simulator untuk sesi latihan ‘penerbangan’ mereka di sekolah.
“Apabila menerima undangan Ketua Biro Bernama Terengganu, Zalina Maizan Ngah untuk berkongsi pengalaman di SK Gong Nangka ini, saya terus bersetuju dengan harapan ia dapat meningkatkan motivasi murid terlibat agar dapat mencapai cita-cita mereka.
“Hasil pemerhatian saya, ahli Kelab Aeronautik di sekolah ini sangat berbakat besar kerana dapat ‘mengendalikan pesawat’ dengan baik dan telah memahami asas penerbangan semoga mereka berjaya bergelar seorang juruterbang satu hari nanti,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ahli Kelab Aeronautik SK Gong Nangka untuk memohon program juruterbang kadet di MAS atau mana-mana syarikat penerbangan berdasarkan iklan dari semasa ke semasa kerana kebiasaannya, mereka akan terus diserap sebagai juruterbang sebaik menamatkan latihan.
Mohd Hairul yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti kursus latihan penerbangan di Sydney Flight Training Centre, Australia sebelum menamatkan latihannya di Asia Pacific Flight Training di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2007.
Perkongsian Facebook Mohd Hairul juga pernah tular dalam media sosial apabila berkongsi tips untuk menjadi seorang juruterbang ketika drama bersiri Suri Hati Mr Pilot menjadi ‘fenomena’ di negara ini pada tahun 2016.
Sementara itu, Guru Besar SK Gong Nangka, Mohamad Samsuri Omar berkata program bicara kerjaya itu turut melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara yang kebanyakannya adalah bekas ahli Kelab Aeronautik di SK Gong Nangka ketika bersekolah rendah.
“Kami sangat berterima kasih kepada Bernama Biro Terengganu yang sudi membawa juruterbang MAS ini sebagai inspirasi murid agar terus melakar kecemerlangan dan mencapai impian mereka untuk memperoleh kerjaya dalam dunia penerbangan.
“Semoga suntikan semangat yang diberi dapat melonjakkan lagi prestasi mereka dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) seterusnya mengharumkan nama sekolah,” katanya. — Bernama.

Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 4
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik:  1 Hingga 3 E-Buku IH-10: Siri 1
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-53: Siri 2
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-68: Siri 3

E-Buku IH-103: Kisah-kisah Jom Kreatif (4)  E-Buku IH-103: Siri 4



Lihat sebelum ini..
Hasil carian imej untuk landak

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails