Thursday, January 09, 2020

Rompak, Bekas Peserta Realiti Hiburan Tv Didakwa..


BEKAS peserta program realiti hiburan, Jamaliah Saadun, 48, (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga emas di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. NSTP/Khairunisah Lokman
HALAMAN HIBURAN
Bekas peserta program realiti didakwa lakukan rompakan berkumpulan


AYER KEROH: Seorang wanita yang pernah menyertai program realiti hiburan televisyen, didakwa bersama dua rakannya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan pada bulan lalu.
Jamaliah Saadun, 48, bersama Mohd Idris Yasmir, 34, dan Muhammad Dhirar Raihan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama dengan niat melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta, iaitu rantai emas, wang tunai dan sebuah kereta dengan anggaran kerugian RM24,680 milik M Kesavan, 60.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Seri Emas 50, Taman Teluk Mas, jam 3 pagi 15 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan berikutan tiada penawaran jaminan bagi ketiga-tiga tertuduh.
Jamaliah dan Mohd Idris yang masing-masing menganggur serta bekerja sebagai pembantu katering itu tiada diwakili peguam bela, manakala Muhammad Dhirar diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.
Elesabet kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu pada prosiding berasingan, Jamaliah bersama seorang lagi rakan wanita, Madura Mahat, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak telefon bimbit dan mencederakan Muhammad Miskeen Kind Marhoom, 70, dengan menyeret mangsa menggunakan kereta di tepi Jalan Seri Mangga 8, Taman Seri Mangga, jam 11.25 pagi 18 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin, manakala kedua-dua tertuduh tiada diwakili peguam bela.
Bagaimanapun, Madura merayu jaminan atas alasan suami adalah orang kurang upaya (OKU) dan menanggung anak kecil.
Hakim Norma Ismail membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Perhatian:
[nasihattokguru.jpg]
Imbas Kembali, Nasihat (Allahyarham) Nik Aziz Kepada Remaja

KOTA BHARU - Golongan remaja tidak harus merasakan diri telah handal sehingga sanggup membelakangi peraturan dan hukum agama yang ditetapkan, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata sikap demikian bukan sahaja memusnahkan hidup remaja sendiri tetapi melampaui batas keimanan yang membawa kemurkaan Tuhan.

"Kalau anak lawan ibu bapa, murid lawan guru dan perompak telah melawan polis, ini menampakkan diri telah dianggap lebih handal daripada orang lain," katanya ketika berucap melancarkan Bulan Sembahyang di sini, malam tadi.

Nik Abdul Aziz berkata sebagai masyarakat beragama Islam, sifat merendah diri perlu ada dengan mengamalkan konsep tolong menolong antara satu sama lain.

Sikap mulia ini boleh membentuk masyarakat yang bersatu padu dan berbudi pekerti.

"Sekiranya kita anggap diri kita telah kuat, sedangkan ada yang lebih kuat daripada kita, iaitu Allah, bermakna kita harus sedar yang kita tidak kuat," katanya.

Sifat meninggi diri dengan menganggap diri lebih handal daripada orang lain ialah sifat terkutuk yang harus dihindari dalam masyarakat Islam.

Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub, Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan sembahyang dan melakukannya dengan betul serta tertib.

"Dengan melakukan solat seseorang itu akan terhindar daripada melakukan perkara mungkar yang boleh melemahkan umat Islam itu sendiri," katanya.- BERNAMA (Julai 2007)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails