Saturday, January 11, 2020

Lagi PH, Nelayan Ditindas’ Kerana Penguatkuasa.


PENGUATKUASAAN yang tempang disifatkan para nelayan berpunca dari penyelewengan tanggungjawab oleh pihak berkuasa berkaitan hingga memberi kesan kepada kegiatan mereka dan sumber laut negara.

Akibatnya, sebagaimana hempasan gelombang laut dan angin yang membadai, seperti itulah sekalian nelayan menempuh hidup dalam mencari rezeki mereka di samudera luas. Malangnya, mereka terpaksa berdepan pihak nelayan lain yang juga berkepentingan dan rakus mengaut hasil laut.
 Yusof Md Zin
Kamaruddin Saad
 Malangnya itu pula bertimpa-timpa seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, apabila pihak berwajib yang sepatutnya membela kebajikan dan memelihara kelestarian laut dan hasilnya pula bertindak sebaliknya. Mereka mengekang kuasa terhadap nelayan-nelayan ikan bilis, tetapi membiarkan tindakan melanggar perundangan berlaku.
Akhirnya tidak terbendung lagi syak dalam kalangan nelayan, betapa pihak berkuasa bersikap secara tidak adil dan tidak bertanggungjawab sedemikian kerana telah dipengaruhi oleh sogokan seperti rasuah atau seumpamanya. Luahan tersebut dinyatakan sendiri mereka yang menuntut perhatian dan tindakan agar ia ditangani.
 Azhar Aziz
Menurut Kamaruddin Saad, 62 dari Seberang Kota, Kuala Kedah, tindakan bot besar menangkap hasil laut di Zon A perikanan merupakan satu bentuk ‘pencerobohan’. Akibatnya ujar beliau, sumber laut menjadi teramat kurang berikutan pembenihan ikan turut dikaut ketika kegiatan penangkapan ikan dilakukan.
“Akta Perikanan ada, bukan tak ada (mengenai had-had kawasan tangkapan mengikut kategori lesen bot). Tapi isunya pelaksanaan oleh (pihak) (Agensi) Penguatkuasaan Maritim (Malaysia) dan (Jabatan) Perikanan.
“Tapi saya rasa depa (mereka) ni makan rasuah. Hat (Pihak) nelayan besaq (besar) tu pulak depa pakai (khidmat) tonto. Bot depa ada lampu 80,000 kilowatt cahaya, memang bunuh benih ikan,” luahnya yang telah menjadi nelayan sejak berusia 17 tahun.
Bagi Azhar Aziz, 52 yang telah 35 tahun menjadi nelayan, mahu pihak berkuasa mengkaji pengambilan nelayan asing sebagai krew pekerja di atas bot yang dilesenkan di negara ini. Menurutnya, pengambilan nelayan asing bekerja di perairan negara sebenarnya turut membawa masalah di daratan.
Beliau yang menetap di Seberang Kampung Baru, Kuala Kedah menyifatkan penggunaan awak-awak dan para tekong asing telah melanggar zon-zon perikanan ditetapkan. Namun kesalinya, mereka tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa Maritim mahupun Perikanan, sebaliknya nelayan kecil tempatan Melayu-Bumiputera seperti beliau sering berdepan tindakan.
Sehubungan itu, beliau juga menggesa agar urusan lesen dipermudahkan oleh pihak Jabatan Perikanan untuk nelayan pantai. Kerana maklumnya, nelayan kecil sepertinya sering ditahan oleh pihak Maritim menyebabkan usaha pencarian rezeki mereka di laut terbantut, sedangkan mereka memohon lesen.
“Kami sebelum ni ada hantar permohonan lesen, tapi ada juga yang sampai hari ni tak lulus lagi. Jadi saya nak tanya la, apa status permohonan tu? Dulu ada juga timbang rasa, tapi hairan sejak-sejak ni macam tolak semua (permohonan).
“Jadi saya tak faham la, konsep apa yang digunakan (untuk meluluskan permohonan)? Itu belum lagi isu sara hidup nelayan, subsidi minyak ikut enjin digunakan dan lain-lain lagi,” ujarnya penuh kecewa dan kesal.
Menurutnya, tindakan pihak berkuasa berkaitan bukannya ke arah mempermudah dan menggalakkan kegiatan perikanan dilakukan mereka, tetapi telah menjadi satu ‘gangguan’ yang menekan hidup. Jelasnya, langkah pihak tersebut memberi kesan kepada pendapatan dan sara hidup para nelayan serta keluarga mereka.
Azhar turut mempersoalkan mengenai kegiatan bot besar yang menangkap ikan di zon tidak sepatutnya sebagaimana lesen mereka seperti di Pulau Bunting dan Pulau Bidan tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Turut diluahkannya ialah mengenai jumlah bantuan yang dikurangkan sebanyak RM100 oleh Kerajaan PH berbanding BN dahulu.
Beliau juga meminta pihak kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya memperbanyakkan jeti pendaratan ikan kerana ketika ini hanya terdapat tempat untuk menambat bot-bot nelayan sahaja. Selain itu beliau juga berharap LKIM memainkan peranan lebih aktif agar kegiatan orang tengah yang mengaut untung dapat dikurangkan.
Selain itu cadangnya, Zon Konservasi juga mesti diaktifkan, selain menyokong cadangan untuk menghapuskan pukat tunda di Zon B serta meluaskan lagi kawasan lesen Zon A hingga 8 batu nautika menjadi kenyataan kelak.
Manakala nelayan dari Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah, Yusof Md Zin, 57 yang telah 20 tahun menjadi nelayan berharap agar pihak berkuasa membantu nelayan agar mudah mencari rezeki di laut.
Menurutnya, terdapat 90 peratus nelayan Melayu-Bumiputera dalam lesen A yang sangat perlu dipermudahkan mereka dalam kegiatan perikanan. Hal itu jelasnya berbeza dengan kemampuan nelayan lesen B yang dapat pergi melepasi 5 batu nautika sementara nelayan lesen C melebihi 18 batu nautika.
Kerana katanya, perkara sedang terjadi kini hakikatnya adalah sebuah penindasan terhadap nelayan pantai berpunca dari penguatkuasaan yang lemah dan bermasalah. Malah, beliau tidak sangsi untuk menyatakan pihak berkuasa berkaitan tidak amanah, sebaliknya berlaku keras merampas dan menenggelamkan bot nelayan sepertinya.
“Saya percaya wujud tangan ghaib yang tak amanah di jabatan (agensi penguatkuasa). Ikan-ikan ni membiak di kawasan api-api bakau. Tapi waktu malam, bot-bot besar ceroboh di situlah. Jadi ikan makin pupus.
“Apa salah Jabatan (Perikanan) ambil inisiatif bantu nelayan, sedangkan negara terpaksa import lagi ikan. Padahal, nelayan kita makin terhimpit kerana pemimpin tak tanggungjawab, ada mainan politik.
“Dulu (masalah) pukat jerut, sekarang banyak pukat tunda yang memberi risiko kepada sumber ikan. Saya juga syor Jabatan kena banyakkan tukun di perairan ni. Kalau tak, nelayan macam kami memang terjejas,” ceritanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails