Menurut jurucakap Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam), Lembaga Tatatertib Majlis Peguam telah membatalkan pendaftaran mereka susulan dari prosiding lembaga setelah mendapat aduan dari anak guam mereka.
“Mereka tidak boleh lagi digelar sebagai ‘peguam’ dan kami tidak tahu identiti 21 orang tersebut.
“Hanya mereka yang mempunyai profesion undang-undang sahaja dibenarkan menerima wang dari dan untuk anakguam mereka sebagai ‘Stakeholder’ (pemegang kepentingan) yang perlu disimpan dalam akaun amanah dan wang tersebut hanya boleh dilepaskan untuk tujuan diterima sahaja,” katanya.
Majlis Peguam memberitahu, sebelum seseorang diterima masuk sebagai peguam, Majlis Peguam akan mengadakan kursus etika dan sebahagian dari kursus tersebut menyentuh tujuan dan peranan seseorang peguam dalam mengendalikan akaun amanah.
“Seseorang peguam perlu mempunyai jati diri dan integriti serta berlaku amanah dalam menjalankan kerjaya mereka.
“Pihak polis berhak menyiarkan identiti mereka untuk tujuan menjalankan siasatan sekiranya mereka tidak dapat dihubungi, sepertimana kes jenayah yang lain,” ujarnya.
Jelas jurucakap lagi, orang ramai perlu mengambil inisiatif melakukan sedikit siasatan mengenai latarbelakang dan kebolehan mana-mana peguam yang hendak dilantik untuk sebarang kes.
Terdahulu, sebanyak 21 peguam diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terlibat dalam 39 kes penipuan dan pecah amanah membabitkan kerugian RM30.4 juta.
Difahamkan, seorang daripada mereka yang diburu pernah menguruskan satu kes membabitkan urusan pembelian tanah kelapa sawit dengan seorang pemimpin kanan parti politik di Sabah pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad berkata, kesemua individu terbabit telah dikeluarkan daripada senarai pengamal undang-undang oleh Majlis Peguam. – UTUSAN ONLINE


Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..