Wednesday, October 02, 2019

6 Pertuduhan, Artis Zarina Zainuddin Didenda RM17,500


PELAKON, Zarina Zainuddin didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi. - Foto Aziah Azmee


PETALING JAYA: Pelakon Zarina Zainuddin didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki dan menjual kosmetik tidak bernotifikasi, Januari lalu.
Zarina selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah itu selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M Bharat.
Bagi pertuduhan pertama, Zarina, 48, sebagai pengarah Syarikat Addura Marketing Sdn Bhd didakwa menjual satu set kosmetik mengandungi sekotak Addura Black Soap, satu bekas Addura Day Cream (tujuh gram), satu bekas Addura Night Cream (tujuh mililiter ).
Bagi pertuduhan kedua, ibu kepada empat anak itu didakwa memiliki tiga set sama.
Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Zarina didakwa atas pertuduhan memiliki kosmetik yang tidak bernotifikasi masing-masing 68 kotak Addura Black Soap; 279 bekas Addura Day Cream; 89 bekas Addura Day Cream (tujuh gram); dan 205 bekas Addura Day Cream (10 mililiter).
Zarina didakwa melakukan semua kesalahan itu di Addura Marketing di Subang Jaya pada jam 11.45 pagi, 9 Januari lalu.
Bagi semua kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 18A (15) peraturan yang sama.
Jika sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan pertama atau maksimum RM100,000 bagi kesalahan kedua.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor, Ong Sally memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
“Ini bukan kesalahan pertamanya dan perbuatan ini tidak bertanggungjawab kerana boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna.
“Bagi melindungi keselamatan orang awam, mohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS,” katanya.
Zarina yang tidak diwakili peguam ketika membuat rayuan menitiskan air matanya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya.
“Syarikat itu sudah dihentikan operasinya dan saya hanya buat di rumah,” katanya.
Ketika dibacakan fakta kes dan ditunjukkan produk yang dirampas, Zarina dilihat menganggukkan kepala serta mengesahkan barangannya itu.
Sementara itu, Zarina ketika keluar dari kamar mahkamah dilihat menepis telefon bimbit milik seorang wartawan yang sedang merakam gambarnya sehingga terjatuh.
“Saya tak sukalah“, katanya kelihatan marah dengan tindakan wartawan merakam gambarnya.
 ZARINA Zainuddin menepis telefon bimbit wartawan yang bertugas di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. - Foto Aziah Azmee
Zarina kemudian beredar dengan menutup wajahnya menggunakan kertas dan dibawa oleh polis mahkamah bagi membayar denda itu. 


(BH)


Setinggan 'Kebal' Masih Ada Di S'ngor? Ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails