Bukan tidak kuat berdepan cabaran, tetapi gadis manis ini sentiasa berusaha menjaga nama baik keluarga dalam mengha­rungi perjalanan karier seninya dan mengecap populariti.
Tetapi apakan daya, kontroversi yang terpalit pada adiknya, Aiman Tino baru-baru ini secara tidak langsung turut mengheret namanya menjadi bahan kritikan masyarakat.
Umpama cubit paha kanan, paha kiri terasa jua. Sebagai kakak, Fara turut merasai tempiasnya. Suka tidak suka dia terpaksa menelan pahit itu dan menjadikan perkara itu pengajaran.
“Alhamdulillah perkara itu pun sudah reda. Saya percaya apa yang terjadi itu pengajaran besar buat Aiman dan buatkan dia lebih berhati-hati.
“Sebagai kakak, saya ada menasihati dia tetapi terpulang­lah kepada dia sama ada mahu mendengar atau tidak. Ketika perkara itu masih panas, tekanan untuk saya tidaklah besar berbanding Aiman.
“Saya dan keluarga menghadapinya dengan sabar. Selepas beberapa lama, kami lihat Aiman pun semakin tenang,” katanya kepada Pancaindera.
Terdahulu, nama Aiman panas dengan penyebaran video lucah pemuda yang mirip penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu melakukan aksi kurang sopan di dalam sebuah bilik tular.
Penyanyi itu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya individu dalam video itu adalah dirinya.
JAGA BATAS
Tidak hanya Aiman, tahun lalu pemilik nama sebenar Nurfaraazira Yusri ini juga pernah terpalit dengan isu gara-gara perkongsian sekeping foto yang dikaburkan bahagian dada dalam media sosial.
Pengalaman dikecam warganet menjadikan dia lebih berhati-hati setiap kali memuat naik apa saja foto dalam Instagram miliknya.
Malah dia sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya agar menjaga pemakaian, tingkah laku dan tutur kata terutama setiap kali di depan khalayak.
“Ibu dan ayah saya memang sangat menitikberatkan soal pemakaian, tidak boleh mencolok mata, jaga kelakuan dan tutur kata apabila berada di khalayak.
“Bagi saya, ada baiknya juga apabila kita selalu diperhatikan masyarakat sebab itu yang buat saya sentiasa berwaspada dan tidak buat perkara yang bukan-bukan,” tuturnya
Pun begitu, Fara menegaskan yang dia bukanlah seorang yang suka membaca komen-komen negatif yang dilemparkan warganet.
Petuanya mudah, jangan mempedulikan komen tersebut! Namun sekiranya ada komen yang terlalu melampaui batas, dia akan menyekat pengikut berkenaan.
“Setakat ini tidak komen yang sampai buat saya rasa kecil hati lagi pun saya jenis tidak suka baca komen negatif. Kalau ada pun kritikan, orang lain yang menyampaikan kepada saya dan saya hanya mendengar dan abaikan saja.
“Tetapi kalau ada yang melampau memang saya akan sekat atau ‘sorok’ individu itu daripada akaun media sosial saya,” tambahnya.
KENA PELUK
Di sebalik kritikan, Fara bagaimanapun bersyukur kerana kerjaya nyanyiannya semakin berkembang dengan buah tangah baharu bertajuk Sukar Untukku.
Lebih menggembirakan, dia sekarang sudah boleh berdiri dengan nama sendiri berbanding dua tahun lalu kehadirannya dalam industri masih dibayangi Aiman.
“Saya rasa perjalanan kerjaya saya sederhana. Satu yang ketara, sekarang orang sudah mula mengenali dan panggil saya Fara Hazel. Kalau sebelum ini mereka panggil saya kakak Aiman,” katanya tertawa.
Paling tidak disangka, dia menerima sambutan hangat peminat ketika mengadakan jelajah di negeri Pantai Timur iaitu di Terengganu.
Fara berkata dia terkejut melihat gelagat sebilangan mereka yang bagaikan diserang histeria apabila dapat bertentang mata dengannya.
“Ketika saya menjelajah ke negeri Terengganu, ramai peminat di sana yang mengenali saya. Selain mereka minta mahu bergambar bersama, saya dipeluk.
“Malah ada yang datang dan menjerit di depan muka saya. Walaupun saya terkejut tetapi saya faham mereka teruja berjumpa dengan artis yang mereka minati.
“Ibu selalu berpesan kepada saya dan Aiman jangan sesekali sia-siakan peminat. Walaupun penat, kami kena hargai dan layan mereka sebaiknya sebab tanpa sokongan mereka kami tidak berada di sini,” ujarnya. (Utusan Online)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wajarkah perkara seperti ini berlaku dalam sebuah negara umat Islam yang Islam menjadi Agama bagi negara (Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan)? Perlukah diwujudkan bimbingan hiburan atau nyanyian berpandukan syariah seperti yang berlaku di negeri bawah tadbiran PAS?
Lihat lagi..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E Buku IH-120: Cara Fikir Salah Artis (2)

E Buku IH-120: Cara Fikir Salah Artis (2)