Tiga daripada individu ber­kenaan telah direman selama tiga hari di Mahkamah Seremban semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Ke­seksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tiga suspek berkenaan ma­sing-masing bekerja sebagai penjual kereta, pemandu lori dan peniaga ayam.
Sementara itu, dua lagi suspek masing-masing berusia lingku­ngan 20-an dan 40-an telah ditahan pagi semalam di dua lokasi berasingan kira-kira pukul 11.30 pagi.
Di Mahkamah Sesyen, perintah reman ke atas tiga suspek berusia 36 hingga 52 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman di sini selepas mereka dibawa oleh pihak polis kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketiga-tiga lelaki itu direman sehingga 17 April ini.
Mereka terlebih dulu dilihat tiba di pekarangan Mahkamah Seremban di sini pagi semalam dengan menaiki trak polis dan berpakaian lokap polis serta ta­ngan masing-masing bergari.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan semalam berkata, pihak polis akan mendapatkan perintah reman ke atas dua lagi suspek yang baru ditahan pagi semalam.
“Dua lelaki itu ditahan di Nilai dan Rantau kira-kira pukul 11.30 pagi dan polis akan mendapatkan perintah tahan reman ke atas mereka,” jelasnya.
Beliau turut menasihati orang awam yang mengalami insiden sama pada Sabtu lalu diminta tampil membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran.
“Berkemungkinan suspek juga melakukan tindakan sama ke atas pihak lain,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai insiden sekumpulan lelaki yang menahan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis ketika proses pengundian PRK Rantau sedang berjalan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.
Lima lelaki terbabit kemudian meminta anggota terbabit membuka but kereta peronda polis tersebut kerana mengesyaki kenderaan itu membawa kertas lebihan undi.
Anggota polis terlibat bersetuju membuka but kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan dan bagi memuaskan hati kumpulan orang awam tersebut.
Tindakan lima lelaki ber­kenaan bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang mahu tindakan diambil ke atas pelaku kerana menghalang anggota keselamatan menjalankan tugas.