Mereka bingung dengan perkembangan itu tambahan pula Ramadan akan tiba tidak lama lagi, keadaan tersebut memaksa penghuni terbabit menumpang di rumah saudara-mara dan yang tidak tahu untuk pergi ke mana.
Menurut seorang penduduk, Mohd. Zin Mustafa, 47, mereka bersama-sama penduduk yang mendiami 11 buah rumah di blok A flat terbabit diarahkan keluar bermula pukul 9 hingga 12.30 tengah hari.
“Penguat kuasa memberikan masa kepada saya selama 10 minit untuk mengemas barang dan keluar dari rumah kami. Saya bersama-sama isteri serta empat anak lain tiada pilihan lain selain keluar dan duduk di bawah flat.
“Tidak seperti keluarga lain yang bertindak menumpang rumah saudara mara mereka. Kami hanya duduk di bawah flat kerana kami tiada saudara mara yang boleh untuk kami menumpang,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.
Mohd. Zin menambah, punca mereka diarahkan keluar selepas didapati gagal melunaskan bayaran sewa kira-kira RM100 kepada kerajaan negeri sejak 2015.
“Saya menghadapi kekangan kerana mempunyai masalah kesihatan iaitu gelinciran cakera (slip disc) dan tidak boleh bekerja manakala isteri turut sama sukar mencari pekerjaan kerana warga Indonesia.
“Selain itu, saya juga mempunyai empat anak berusia 15 hingga tujuh tahun. Dua daripada mereka mengalami penyakit sawan. Kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada Baitulmal sebanyak RM500 sebulan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Masih di bawah kerajaan PH. 

Mari kita lihat..
Kemiskinan Dari Sudut Islam.


Islam menyelaraskan kemiskinan kepada ukuran yang sama tanpa melihat sempadan negara dan waktu. Kemiskinan berlaku apabila keperluan primer tidak mencukupi secara menyeluruh. Dalam syariat, ada tiga perkara yang dikategorikan sebagai keperluan primer atau asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Firman Allah SWT:
ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ
Dan kewajiban ayah memberi makanan dan pakaian kepada Para ibu dengan cara ma’ruf. (al-Baqarah[2]: 233)
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ
Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu. (al-Thalaq [65]: 6)
Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda yang maksudnya:
“Ingatlah, bahawa hak mereka ke atas kalian adalah agar kalian berbuat baik kepada mereka dalam (memberi) pakaian dan makanan.”
Ketidakcukupan dalam tiga keperluan ini memasukkan seseorang itu ke dalam kelompok miskin. Jika kita perhatikan melalui konteks asnaf, paras kemiskinan ini boleh dikelompokkan kepada dua iaitu al-faqir dan miskin. Walaupun ulama berbeza pendapat berkenaan tahap kemiskinan dua kategori ini samada faqir lebih tegar ataupun miskin lebih tegar, standard minimumnya tetaplah pada ukuran primer tadi. 
Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitab al-Amwal fi Daulatil Khilafah (Sistem Kewangan Negara Khilafah), orang- orang faqir (fuqara‘) dijelaskan sebagai  orang-orang yang tidak memperoleh harta yang dapat mencukupi pemenuhan keperluan asasnya, seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. 
Manakala orang-orang miskin (masakin) dikira apabila tidak mempunyai apa- apa, tidak memiliki rumah, dan mereka tidak meminta- minta kepada manusia. Abu Hurairah r.a berkata bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِي يَطُوفُ عَلَى النَّاسِ تَرُدُّهُ اللُّقْمَةُ وَاللُّقْمَتَانِ ، وَالتَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ ، وَلَكِنْ الْمِسْكِينُ الَّذِي لَا يَجِدُ غِنًى يُغْنِيهِ ، وَلَا يُفْطَنُ بِهِ فَيُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ ، وَلَا يَقُومُ فَيَسْأَلُ النَّاسَ .
“Orang miskin itu bukanlah orang yang ke sana-sini meminta-minta kepada manusia sehingga memperoleh sesuap atau dua suap makanan, sebiji atau dua biji kurma, tetapi orang miskin yang sebenarnya adalah orang yang tidak memperolehi sesuatu untuk mencukupi keperluannya dan tidak diketahui orang yang dapat memberikan sedekah padanya, namun tetap tidak berdiri untuk meminta-minta (mengemis) kepada orang lain.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Jadi, dua kategori kelompok miskin ini adalah termasuk mereka yang perlukan bantuan untuk sara hidup, terutama keperluan asas sebagai individu dan hak asas mereka sebagai warganegara jika dalam Negara Khilafah.
Pertama: Mekanisma penjagaan nafkah golongan fakir miskin
Islam telah mewajibkan seseorang untuk berusaha memenuhi keperluan asasnya serta membantu mereka yang tidak dapat memenuhinya. Seseorang yang mampu dipertanggungjawabkan untuk memenuhi keperluan asasnya sendiri. Namun jika keperluan asasnya tidak dapat dipenuhi kerana ketiadaan ataupun ketidakcukupan pendapatan dan harta, maka syariah telah mewajibkan pihak lain untuk membantu. 
Aliran mekanisma bantuan terhadap golongan miskin tersebut adalah seperti berikut:
1. Peringkat permulaan, kerabat bertanggungjawab untuk memenuhi nafkah mereka yang tidak mampu. Kerabat ini mestilah mereka yang mempunyai hubungan waris kepada yang berstatus miskin tersebut. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:
ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ
Dan kewajiban ayah memberi makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga berkewajiban demikian.
Maksudnya, waris berkewajipan yang sama seperti seorang ayah, baik berkenaan nafkah mahupun tentang pakaian. Waris itu adalah orang yang berhak menuntut atau mendapatkan harta dalam hal faraid sekiranya seseorang meninggal. Ahli waris ini dapat dikenal pasti dalam pembahasan ilmu waris ataupun ilmu faraid.
2. Sekiranya kerabat atau waris tidak ada, ataupun tidak berkemampuan untuk menanggung nafkahnya, maka kewajipan tersebut berpindah kepada Baitul Mal, melalui bahagian agihan zakat. Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang bermaksud:
“Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan ‘kallan’, maka ia menjadi kewajipan kami .” (Muslim)
Kalla‘ adalah orang yang lemah, yang tidak mempunyai anak mahupun orang tua (sebatang kara). Juga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud “Sedekah (zakat) itu hanya diperuntukkan bagi fakir-miskin“.
3. Jika bahagian zakat daripada Baitul Mal tidak mencukupi untuk menampung golongan fakir miskin, negara perlu menanggung mereka melalui dana yang lain, sehinggalah harta Baitul Mal memang tidak cukup atau habis.
4. Jika di Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajipan tersebut akan beralih kepada seluruh umat Islam. Dalam hal ini Rasulullah ﷺ bersabda bahawa Allah SWT berfirman:
مَا آمَنَ بِيْ مَنْ بَاتَ شَبْعَانً وَ جَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَ هُوَ يَعْلَمْ بِهِ
“Tidaklah beriman kepada-Ku sesiapa sahaja yang tidur kekenyangan, sedangkan tetangga di sampingnya kelaparan, sementara dia mengetahuinya.” (al-Bazzar)
Allah SWT juga berfirman:
وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat meminta-minta. (al-Zariyat [51]:19)
Cukai dharibah (cukai sementara yang dikenakan pada lebihan harta) akan dikutip daripada orang kaya sebagai tanggungjawab terhadap golongan miskin itu tadi, menjadikan negara sebagai medium antara fakir miskin dan umat Islam.
Begitulah mekanisma yang perlu dilalui ketika melakukan pengurusan nafkah terhadap orang miskin bagi memenuhi keperluan mereka. Daripada tanggungjawab sendiri, kerabat hinggalah kepada negara dan masyarakat, semuanya mempunyai peranan masing-masing.
Kedua: Peranan negara dalam mentadbir urus golongan miskin
Sebelum ini telahpun disebutkan bagaimana nafkah golongan fakir dan miskin turut berada di bawah tanggungjawab negara. Dalam negara Islam, pengeluaran Baitul Mal terhadap golongan fakir miskin adalah amat dititik beratkan. Daripada lapan asnaf zakat, lima daripadanya iaitu golongan fakir, miskin, orang yang terputus bekalan dalam perjalanan (Ibnu sabil), jihad dan orang yang berhutang (gharimin) adalah golongan yang layak mendapat bantuan daripada sumber lain selain zakat sekiranya peruntukan zakat kehabisan. 
Sekiranya masih kurang, keutamaan akan diberikan kepada golongan fakir, miskin, ibnu sabil dan yang berjihad di jalan Allah. Cukai dharibah boleh dipungut bagi membiayai golongan ini kerana bebanannya telah disebutkan sebagai tanggungjawab kaum Muslimin secara umum. 
Jika dikhuatiri boleh terjadi malapetaka yang tidak diingini akibat ketiadaan dana, negara bahkan boleh berhutang semata-mata untuk memenuhi tanggungjawab terhadap empat golongan ini. Jika dilihat daripada sudut hak kewarganegaraan seperti pendidikan dan khidmat kesihatan, golongan ini juga tidak akan terpinggir daripada mendapatkannya secara percuma sebagaimana pihak lain. 
Hal ini pasti akan membantu meringankan beban yang pada hari ini perlu ditanggung individu warganegara. Melalui pendidikan, setiap orang akan sedar mengenai tanggungjawab nafkah masing-masing, tanggung jawab berinfak dan lain-lain. Dalam konteks pekerjaan, negara wajib menyediakan lapangan kerja supaya setiap orang boleh memenuhi nafkah masing-masing pada kadar yang diperlukan atau yang dikehendaki. 
Antara perkara lain yang boleh diperhatikan juga adalah pemberian harta milik negara kepada rakyat selain zakat, seperti pemberian tanah untuk diusahakan.
Dari sudut kekuasaan pula, negara boleh memaksa seseorang miskin yang mampu tetapi malas supaya bekerja. Hal ini dapat dilaksanakan dngan mewujudkan lapangan pekerjaan yang diusahakan negara. Negara juga boleh memaksa para kerabat yang mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menanggung nafkah golongan yang terbabit. 
Negara hanya mengambil alih tanggungjawab nafkah setelah tiada lagi kemampuan ahli waris ataupun mereka hidup sebatang kara. Inilah bentuk ri’ayah (urus tadbir) negara terhadap masyarakat yang tergolong pada kelompok yang dinyatakan sebagai fakir dan miskin. 
Penyelesaian Islam bukanlah sesuatu yang baru. Kisah zakat yang berlebihan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz cukup terkenal sebagai contoh keadaan taraf hidup pada zaman beliau rahimahullah. Tidak ada yang lebih baik dalam menyelesaikan isu kemiskinan kecuali Islam dan negara yang terbaik dalam menzahirkannya adalah Khilafah Islam.
Wallahu a’lam.