Saturday, February 02, 2019

‘Geng Ganja’ Jangan Cepat Melompat -Dr Suhazeli Abdullah.



PESANAN saya kepada ‘geng ganja’ supaya jangan cepat melompat gembira dengan laporan akhbar ini. (bharian.com.my/wanita/sihat/2019/01/524836/eksklusif-marijuana-bantu-rangsang-saraf-otak-mati)
Tolong baca satu persatu apakah isi yang ingin disampaikan oleh pangkaji daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
dr suhazeli

1. Kajian atas tikus itu melihat berlakunya rangsangan saraf otak yang sudah mati. Satu pernyataan yang agak keliru, kerana mekanisma penyakit alzheimer adalah kompleks dan bukannya berpunca daripada sel otak yang mati semata-mata. Walau bagaimanapun kajian ini telah membuka satu dimensi baru kepada para pengkaji untuk meneruskan fasa kajian lebuh lanjut ke atas manusia. Namun kita tidak boleh melompat membuat kesimpulan bahawa ganja boleh digunakan untuk merawat sel otak yang mati bagi pesakit alzheimer atau nyanyuk manusia buat masa ini. Jika penyakit nyanyuk tikus mungkin boleh, sebab kajian UPM itu dijalankan ke atas tikus.

2. Lihat dos yang digunakan. Sepertimana biasa kita selalu sebut "The Dose Make The Poison", di mana, apa sahaja ubatan yang diberikan kepada pesakit adalah dalam bentuk yang tersukat setelah menjalani kajian-demi kajian. Kajian-kajian itu dibuat bagi memastikan sesuatu bahan selamat dan sedikit kesan sampingan jika ada untuk kegunaan manusia secara umum. Kajian ganja yang diberitakan oleh pensyarah UPM itu juga menilai tahap dos yang tertentu. Prof Dr Mohamad Aris berkata, kanabis pada dos rendah boleh memberi kebaikan daripada sudut kesihatan tetapi mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil melebihi 2 mg/kg. Kajian ini dibuat atas haiwan bukannya manusia. Empat kumpulan tikus yang menerima suntikan tetrahidrokannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif yang diekstrak daripada kanabis pada dos serendah 0.5 miligram (mg), 1.0 mg, 1.5 mg dan 2.0 mg/kilogram (kg). Sekali lagi, kita tidak boleh melompat gembira bahawa ganja boleh diberi kepada manusia yang waras pemikirannya.

3. Beliau tidak pun menyimpulkan hasil kajian atas manusia. Cuma memberi andaian jika sekiranya terbukti boleh merangsang sel saraf baharu, ini bermakna kanabis boleh digunakan untuk merawat pesakit alzheimer atau nyanyuk yang berpunca daripada saraf otak mati?

4. Kajian ganja itu diberikan kepada tikus normal dengan andaian sel otak boleh terbina terhadap tikus yang mempunyai masalah nyanyuk dalam dos yang tersukat. Tidak semudah itu boleh dibuat konklusi untuk manusia, kajian lanjut atas manusia diperlukan. Cuma adakah berbaloi untuk dibuat kajian ke atas manusia di saat ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk mengambil nikmat khayalnya THC itu melebihi dos yang sepatutnya?

5. Apa yang dperhatikan atikel eksklusif ini mungkin sebenarnya terbit daripada agenda rentetan dari segelintir individu yang ingin menghalalkan ganja dalam negara kita. Mereka telah memetik keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Thailand dalam isu menghalalkan ganja perubatan pada awal tahun 2019.

Pegang konsep ini betul-betul; Cuba teliti kaedah membuat kajian sains perubatan, kajian ganja yang dilaporkan di atas sama tarafnya dengan kajian herba lain. Sama seperti kajian yang telah dibuat ke atas durian belanda, daun rerama dan beberapa herba lain lagi.
Terdapat sebahagian besar herba yang baharu sahaja memasuki fasa 1 (ujikaji piring pateri makmal dan haiwan), tetapi belum pun lulus di tahap yang seterusnya terutamanya kajian ke atas manusia dalam skala yang ramai. Tetapi dek kerana publisiti yang telah dibuat oleh media utama tanpa melihat kepada konsep sebenar kajian dalam perubatan, mereka sudah mendakwa bagai.
Malah terdapat di antara jurujual yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan hasil dari promosi di media massa dan media maya. Masyarakat yang tidak mengetahui konsep kajian itu terus dikelentong atas nama sains. – HARAKAHDAILY 1/2/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails