Sunday, January 27, 2019

C/Highlands: Amaran Rakyat Pada PH -Prof Madya Dr Azmi


PRK Cameron Highlands amaran rakyat tak puas hati corak pemerintahan PH
BANGI, 21 Jamadilawal 1440H, Ahad – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam adalah amaran awal bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan kekalahan, antaranya kredibiliti calon serta prestasi kerajaan yang merosot.
Katanya, tidak dinafikan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor memberi peluang mudah kepada pengundi untuk membuat keputusan.
“Tambahan pula Ramli tidak berkait dengan mana-mana parti komponen BN, sekali gus menjurus kepada sokongan padu daripada penyokong PAS.
“Jika diteliti mesti ada faktor lain juga dan besar kemungkinan ada kaitan dengan prestasi kerajaan PH di peringkat nasional,” katanya kepada ismaweb.net, hari ini.
Keputusan PRK semalam memihak kepada BN, apabila Ramli yang juga bekas pegawai kanan polis mewakili kaum Orang Asli memperolehi majoriti 3,238 undi.


Kemenangan itu sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (DAP), M Manogaran.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, senario PRK itu juga adalah terjemahan suara rakyat peringkat nasional, yang nyata tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan kerajaan hari ini.
“PH perlu cari kaedah nak tangani rasa tak puas hati rakyat. Mereka harus sedar, UMNO sekarang tampil berbeza berbanding sebelum PRU14. Mereka juga – demi kelestarian Islam dan bangsa Melayu – sudah jalin kerjasama penuh murni dengan PAS,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kemenangan di Cameron Highlands, berpotensi memberi impak terhadap PRK di Semenyih akan datang.
“Walaupun berbeza dari aspek demografi, namun momentum kemenangan BN pasti memberi kesan sehingga ke Semenyih, kerana jangka waktu agak pendek antara kedua-dua PRK,” katanya.
PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac depan, susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bakhtiar Mohd Nor yang juga anggota Bersatu meninggal dunia. (www.ismaweb.net)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails