Tuesday, January 29, 2019

'Say No 2 Zina': Bukan Remaja Saja, Wanita Dewasa Pun!

Imej yang berkaitan



PERTUBUHAN Kebajikan Darul Wardah Selangor (DARWA) menyambut baik pelaksanaan Kempen ‘Say No 2 Zina’ yang dilancarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) baru-baru ini.
Pengerusinya, Hazlina Abd Razak berkata, pihaknya sebagai sebuah pertubuhan berkaitan kes hamil luar nikah menyokong penuh usaha pencegahan, kesedaran, advokasi, penguatkuasaan dan pemulihan bagi isu seumpama itu.
“Berdasarkan pengalaman, kes kehamilan luar nikah ini sering kali turut mempunyai kaitan dengan isu pengambilan arak dan dadah.


“Ia bukan saja berlaku kepada remaja malah wanita dewasa dan juga terdapat kes eksploitasi melalui kegiatan sindiket atau individu tertentu.
“Sebagai pertubuhan yang menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan, kami memerhati dan mengkaji setiap kes yang didaftarkan. Ada pelbagai faktor yang menjerumus mereka kepada zina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hazlina berkata, faktor itu antaranya kurang didikan agama, kelemahan hubungan keluarga, keadaan ekonomi rendah, pornografi dan media sosial.
“Kajian terkini oleh seorang Ahli Lembaga Pengarah DARWA, Prof Dr Nor Zuraida Zainal yang juga Setiausaha Agong Persatuan Psikiatri Asia mendapati pelatih kami mengalami rasa kekosongan dalam diri mereka.
“Secara konsisten selama 10 tahun, pelatih menyatakan hal sama iaitu kehilangan rasa bertuhan. Ia mengingatkan kita kepada asas Rukun Negara pertama iaitu kepercayaan kepada tuhan,” katanya.
Beliau berkata, DARWA komited menggerakkan program pencegahan dan kesedaran melalui modul Aku Teruna Terhebat (ATT), Bahagia Menjadi Gadis (BMG), Program Keibubapaan, Usrah Marhamah dan Daurah Nur.
“Program pemulihan kami mengikut modul tersusun yang diluluskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Kami percaya bahawa menerusi cadangan, kritikan, pendidikan, latihan, kesedaran, penguatkuasaan dan pemulihan, kita akan dapat membina masyarakat yang lebih baik,” katanya. (hmetro.com.my)

Video

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails