Ahli Jawatankuasa Pas Cameron Highlands, Wan Mahadir Wan Mahmud berkata, demi taat kepada pemimpin dan demi penyatuan Islam mereka tetap melangkah mengundi BN dengan perasaan bercampur sedih dan terharu.
“Hendak cerita perasaan gembira, sedih sangat, tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata, satu yang luar biasa, pilihan raya unik dimana orang Pas boleh undi UMNO.
“Sehingga pagi semalam hendak keluar mengundi ramai yang menangis. Macam mana aku 60 tahun tidak pernah undi UMNO hari ini kena undi dacing? Emak saya sendiri sebelum keluar rumah menangis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, selepas lebih 60 tahun menentang UMNO memanglah begitu perit bagi sebahagian ahli Pas untuk menyokong parti tersebut dalam pilihan raya.
Justeru beliau berharap pengorbanan tersebut akan dapat memberikan satu kekuatan kepada Islam dan kerjasama berterusan dalam pilihan raya akan datang. - UTUSAN ONLINE