Sunday, February 10, 2019

Balak: Buat Perancangan Teliti Sebelum Lulus. -Razman Zakaria




GERIK: PAS Perak berharap kerajaan negeri membuat kajian dan perancangan teliti sebelum meluluskan kawasan untuk pembalakan supaya tidak merosakkan ekosistem, flora dan fauna atau menjejaskan kepentingan penduduk setempat.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, sebagai sebuah kerajaan baharu, sumber hasil negeri tentulah tidak hanya bergantung kepada pembalakan semata-mata.
Menurut beliau, sekiranya mahu juga mendapatkan hasil daripada sumber hutan, sebelum meluluskan satu-satu konsesi pembalakan itu, kerajaan perlu mengambil kira faktor seperti dinyatakan.
"Sebelum meluluskan satu-satu konsesi pembalakan itu, faktor-faktor membabitkan ekosistem, flora dan fauna, kepentingan penduduk setempat perlu diambil kira," katanya ketika membuat tinjauan di Kampung Tasik Cunex, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, di sini semalam.
Tinjauan dibuat berikutan bantahan penduduk kampung itu terhadap syarikat pembalakan yang mereka anggap sebagai telah menceroboh tanah adat atau kawasan rayau lalu mereka membina sekatan laluan lori balak.
Akibat sekatan tersebut, kerja-kerja penebangan serta pengangkutan keluar kayu-kayu balak tidak dapat dijalankan sejak beberapa hari lalu.
Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, hasil temubual dengan Pengerusi Jawatan Kuasa Kampung Tasik Cunex, Pam Yet, pembalakan di kawasan berkenaan akan mengganggu ekosistem, merosakkan kawasan tadahan air dan menjejaskan kawasan sumber rezeki penduduk.
Berikutan itu ujarnya, penduduk telah memprotes dengan membina sekatan supaya lori-lori balak tidak dapat mengeluarkan kayu yang telah banyak ditebang.
"Hasil tinjauan mendapati seluruh penduduk kampung itu tidak mahu dilakukan pembalakan di tanah adat yang merupakan kawasan rayau sumber rezeki mereka dan mereka juga tidak mahu menerima, walaupun ditawarkan wang ringgit," katanya.
Pam ketika ditemubual menjelaskan, pihaknya telah membuat laporan polis pada 2 Februari baru-baru ini, manakala surat bantahan telah dihantar ke pejabat kerajaan termasuk Jabatan Perhutanan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli. - HARAKAHDAILY 10/2/2019
IMG 20190210 WA0004
IMG 20190210 WA0001
IMG 20190210 WA0002
IMG 20190210 WA0000

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails