Tuesday, September 18, 2018

Islam Memimpin -Presiden PAS



UCAPAN Dasar Presiden PAS Muktamar Ke-64 K/ Terengganu, 2018. “Islam Memimpin”
Mukadimah
الحمد هلل الذي أكرمنا بنعمة اإلسالم، وفضلنا على كثير من األمم


والصالة والسالم على سيدنا محمد، وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Sohibul Fadhilah Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, Mursyidul ‘Am PAS,
Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yaakob, Timbalan Mursyidul ‘Am PAS,
Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak,
Yang Berhormat Dato’ Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato’ Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat, DHPP, Ahli Dewan Harian dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, YAB Menteri Besar, YB Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan  Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Pengarah dan Jawatankuasa Panitia Muktamar, Pimpinan Tertinggi Parti Gagasan Sejahtera, Para Tetamu dan Dif Kehormat, Wakil Kedutaan Luar, Rakan-rakan NGO, Pengamal Media, Sidang Perwakilan dan  Pemerhati yang dikasihi sekalian.
Saya ucapkan 'Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum’, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu yang menghadiri Muktamar Tahunan PAS 2018 yang kembali bertandang ke Negeri Terengganu Darul Iman. Pantai teluk pesisir indah, tempat lalu perahu payang; Terengganu digelar Serambi Madinah, tempat lahir ramai pejuang. 
Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. yang telah mengurniakan pertolongan-Nya dalam PRU14, dengan pencapaian mengikut ilmu dan kebijksanaan-Nya, dikurniakan sekadar kemampuan dan kekuatan kita. Walaupun belum mencapai hasrat kita sepenuhnya, namun Allah Maha Penyayang dan bersifat Rahmat kepada yang menegakkan Agama-Nya. 
PAS telah menggerakkan seluruh ahli dan penyokong di semua peringkat, menyumbang harta dan tenaga dalam PRU ke-14. Alhamdulillah kita berjaya mempertahankan Kelantan dengan kemenangan lebih besar, memerintah semula Negeri Terengganu dengan majoriti dua pertiga, serta menempa kemajuan di Kedah dengan menjadi parti terbanyak kerusinya. PAS juga mencapai kemajuan di Pahang dan menjadi pembangkang yang efektif di beberapa negeri, menjadikan jumlah keseluruhan 90 kerusi Dun. Di peringkat Persekutuan, PAS telah berjaya menghantar sejumlah 18 Ahli Parlimen yang membolehkan kita menyampaikan mesej Islam di peringkat Nasional.
Para Perwakilan dan Tetamu yang dirahmati Allah,
PAS adalah parti yang terus hidup dan berkembang bersama Islam, mewarisi kesinambungan perjuangan Islam, yang tidak mati dengan kewafatan Rasulullah S.A.W. Kemunculannya adalah hasil gerakan islah dan tajdid oleh para pemimpin terdahulu, didoakan semuanya mendapat pahala yang berpanjangan. PAS terus berusaha menjadi kumpulan Islam yang dinyatakan ciri-cirinya oleh Allah di dalam al-Quran. Maka kita meneruskan pelaksanaannya yang diperjuangkan oleh Rasulullah S.A.W dan generasi awal, bermula dengan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat sehinggalah meng-Islamkan negara, menjalankan kewajipan secara lisan, tulisan dan setingginya dengan kuasa politik 
bernegara.


Firman Allah S.W.T:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang berdakwah kepada kebajikan, menjalan kewajipan amar makruf dan nahi munkar, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
(ali-'Imran: 104) 
●     Tema Muktamar: Islam Memimpin
Firman Allah S.W.T:
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (٥٥) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (٥٦)
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (55) Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.” (56)
(al-Maidah: 55-56)
Ayat ini menegaskan konsep wala' (kesetiaan dan taat) kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. secara mutlak, serta kepimpinan Islam yang bersyaratkan iman dan sentiasa 
mentaati Allah dalam ibadah serta amalan diri dan bermasyarakat, sehingga memimpin negara.


Demi mencapai tujuan penubuhan PAS meletakkan Islam di tempat tertinggi sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaannya, maka diwujudkan kepimpinan ilmuan Islam 
secara jamaie (kolektif) dengan pelantikan AJK PAS Pusat melalui Muktamar, dan perlantikan Ahli Majlis Syura Ulamak oleh kepimpinan yang dipilih dalam Muktamar.


Alhamdulillah PAS berjaya mempertahankan ciri-ciri Parti Islam 
secara amali yang tidak mampu diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam sejak zaman penjajah sehingga kini. PAS sentiasa 
melakukan penambah-baikan mengikut perkembangan semasa, walaupun pemimpinnya silih-berganti menghadapi cabaran mengikut perjalanan usia PAS sejak ditubuhkan. 


Tema “Islam Memimpin” diangkat pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-64 bagi menegaskan betapa pentingnya setiap pendukung PAS untuk terus menerajui agenda penyelesaian Islam bagi membentuk suasana politik baharu dan mencorak masa depan negara, melalui pendekatanBudaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). 
Kita menyaksikan hari ini kegagalan ideologi ciptaan manusia terhadap masalah negara dan rakyat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Keadaan yang sama turut dialami oleh negara umat Islam yang menumpang dasar selain Islam, kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya.
Kegagalan kerajaan yang memerintah di negara umat Islam selepas meneruskan dasar warisan penjajah menjadi bukti yang nyata untuk beralih kepada penyelesaian Islam yang syumul. Di sinilah pentingnya umat Islam memiliki pemimpin yang memenuhi sifat kepimpinan Islam, baik dari segi aqidah yang tulen, ilmu yang tinggi dan akhlak terpuji, serta berupaya untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama.
Dalam konteks kita di Malaysia, PRU14 telah berlangsung secara aman dan terkawal, serta menyaksikan keputusan yang unik. Kita menyaksikan perubahan kepimpinan di peringkat Persekutuan, pembentukan Kerajaan Negeri baharu yang dikuasai pelbagai parti, dan jumlah kerusi dalam Kerajaan PH yang tidak seimbang mengikut demografi kaum di Malaysia.
Apa yang penting kita menghormati keputusan rakyat dan bersama dengan semua pihak untuk membentuk budaya politik baharu dengan penuh hikmah, bagi membetulkan apa yang salah dan menambah baik apa yang betul. Dalam hal ini, PAS 
terus beristiqamah dengan petunjuk Allah dalam hubungannya 
dengan semua pihak berpandukan Firman-Nya: 


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
“Bekerjasamalah dalam melaksanakan perkara kebaikan dan 


taqwa, dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara dosa 

dan bermusuhan”.

(al-Ma’idah: 2) 
●     Muhasabah PRU14
Muktamar ke-64 pada tahun 2018 ini diadakan pada pertengahan bulan September, di luar kebiasaan Muktamar Tahunan PAS yang biasanya diadakan pada bulan Jun setiap tahun. Penangguhan ini adalah untuk memberi ruang yang seluasnya kepada persiapan dan gerak kerja menghadapi PRU14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018.
PAS dan rakan-rakan Gagasan Sejahtera turun ke gelanggang PRU14 di padang yang tidak sama rata berbanding Barisan Nasional yang menguasai segala kelebihan media, jentera dan kewangan (3M), serta bersaing dengan Pakatan Harapan yang menguasai media sosial tanpa batasan akhlak dan moral.
Dalam serba kekurangan ini, PAS telah menempa pencapaian yang baik, menyaksikan kerusi Dun PAS bertambah dan jumlah negeri yang dikuasai juga telah bertambah. PAS berjaya mempertahankan Kelantan, mengambil semula Terengganu, hampir menguasai Kedah dan menambah kerusi di Pahang.
Sokongan pengundi teras dan pengundi atas pagar kepada PAS juga bertambah, dilihat daripada peningkatan satu kali ganda keseluruhan undi yang diterima melebihi 2.04 juta, atau 18 peratus undi popular. Saya berkeyakinan bahawa angka ini akan 
terus meningkat, dan InsyaAllah PAS mempunyai potensi yang lebih cerah dalam PRU15.


PAS telah menjalankan kajian ‘post-mortem’ terhadap pencapaian dalam PRU14, dengan mengambil kira pandangan semua pihak, sama ada dalaman parti melibatkan jentera negeri dan kawasan, serta pandangan luar di kalangan ahli akademik, badan pemikir dan tokoh masyarakat.
Semua maklum balas dan pandangan yang diterima akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Post-Mortem, bagi mengemukakan syor dan tindakan yang perlu diambil bagi menghadapi PRU15 kelak, khususnya dalam perkara berikut: 
a.     Aspek kelemahan yang perlu diperbaiki, antaranya dalam penguasaan media sosial, penyampaian mesej kepada bukan Islam dan pengundi muda, serta pendaftaran pengundi;
b.     Aspek positif yang perlu dikekalkan dan ditingkatkan, antaranya penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera, kualiti calon dan tawaran manifesto yang boleh dilaksanakan.
Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh jentera dan calon PAS yang bekerja siang dan malam untuk memenangkan PAS dan Gagasan Sejahtera. Juga ucapan terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan dermawan yang memberikan kepercayaan kepada PAS dan Gagasan Sejahtera dalam PRU14 yang lalu. Semoga semuanya diterima sebagai amal soleh di sisi Allah S.W.T.
●     Cabaran mendatang 
PAS menghadapi cabaran kerana terus beristiqamah untuk menyelamatkan masyarakat dengan Islam, menghadapi penganut Islam yang tenggelam di dalam kejahilan beragama, dan kalangan bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan 
dan fitnah ‘Islamofobia’.


Masyarakat kini meletakkan masalah diri dan menjadikan isi perutnya sebagai keutamaan (Aulawiyyat). Petunjuk agama dan akal hanya sampingan, kerana cengkaman kejahilan agama, tertumpu keutamaan kepada kepentingan kebendaan seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan keselamatan jasad yang berkiblatkan hidup duniawi sahaja.
Maka tidak mudah bagi PAS bersama Islamnya secara terbuka, tanpa kepimpinan yang bercirikan Islam, kerana banyak cabaran dan halangan dalam perjuangannya. Kita menyaksikan betapa kalangan yang tidak berjati diri dalam PAS, tiba-tiba terjun melarikan diri kerana sukarnya beristiqamah bersama Islam secara terbuka dan nyata, lalu memilih jalan pintas yang disangkanya mudah sampai ke destinasinya.
Walaupun PAS berjaya memecah tembok kejahilan dengan penambahan ahli baru dalam kalangan penganut Islam dan juga kalangan bukan Islam bersama PAS, sehingga ditubuhkan sayap penting iaitu DHPP, namun belum mencukupi. Ini dibuktikan oleh keputusan PRU14, apabila parti sekular dan pragmatik mendapat sokongan majoriti bukan Islam, bersama pengundi baru yang tidak matang dan tidak celik politik Islamnya.
Lebih mencabar apabila suara-suara sumbang yang mencabar institusi agama, Istana, dan hak Bumiputera, serta gerakan yang memperjuangkan fahaman Liberal, mazhab yang menyeleweng, dan hubungan sejenis dilihat semakin berani menzahirkan diri dan bergerak bebas tanpa pengawalan.
Kesemua cabaran ini menuntut kepada kita untuk melipat-gandakan persediaan dan tindakan secara berstrategi, dan kita meletakkan keyakinan bahawa kemenangan yang dijanjikan Allah merupakan kurniaan kepada mereka yang ikhlas dan 
sabar dalam perjuangannya. Firman Allah S.W.T:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran, dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
(ali-'Imran: 200)
Memimpin Politik Matang dan Sejahtera  
Sidang Muktamirin yang dihormati,
Marilah kita menghayati firman Allah S.W.T: 
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٤) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (٣٥) وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٦)
 “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (meng-Esakan) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam. (33) Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yangmenaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36)”
(Fussilat: 33-36)
Allah S.W.T telah memberi petunjuk kepada umat Islam sejak generasi pertama yang ditugaskan untuk menyelamatkan manusia seramai-ramainya bersama Islam. Di antaranya melalui pendekatan Ta’awun(bertolong-menolong) dalam perkara baik dan taqwa (mentaati Allah), serta terus beristiqamah di atas dasar Islam dengan matlamatnya untuk menegakkan Islam.
Konsep ini juga dipanjangkan dalam hubungan masyarakat majmuk dalam satu negara, walaupun berbeza agama dan bangsa, di samping dilakukan juga dalam hubungan luar negara. Objektifnya adalah untuk memilih titik persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal (fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan, walaupun menunggu masa yang lama.
Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf (bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman, tanpa meninggalkan prinsip aqidah dan Syariat Islam. Tahaluf dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan maksiat atau mencetuskan permusuhan atau mengundang apa sahaja keburukan. Inilah sempadan kita agar tidak hanyut dan larut dalam suasana baharu. 
Berpandukan ijtihad semasa dalam hal ini, PAS konsisten untuk memilih pendekatan BPMS dengan semua pihak, iaitu dengan:
i.     Bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara; dan
ii.     Kesediaan untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.
Maka PAS tetap berterus terang bersama Islamnya. PAS tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya, dan PAS juga menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan. PAS tetap mengambil pendekatan Politik Damai dengan semua pihak termasuk musuh dan lawan, kerana inilah caranya untuk meramaikan ahli dan penyokong, serta menjadi rahsia ketahanan PAS yang tidak pernah diharamkan sejak penubuhannya, berbeza dengan pengalaman gerakan Islam di negara lain.
Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah, PAS wajib berijtihad berlandaskan hukum Islam dan menguasai feqah Politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’(setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan), dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran.
Di sana pastinya ada keperluan untuk PAS membuat keputusan Dasar dan Strategi politik yang penting, memerlukan kepada kebijaksanaan Ahli Majlis Syura Ulamak dan AJK PAS Pusat untuk menentukan sikap dan pendirian PAS dengan penuh hikmah, mengikut mandat dan kepentingan semasa agar tidak tergelincir daripada dasar, prinsip dan matlamat perjuangannya. 
●     Memimpin perubahan negara  
PAS menawarkan model bernegara yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai kerangka penyelesaian masalah negara yang membebankan rakyat dan kerajaan, berpandukan acuan Allah daripada petunjuk al-Quran.
Firman Allah S.W.T:


الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat (sembahyang), serta memberi zakat (sumbangan harta atau ekonomi), dan mereka melaksanakan amar maaruf (berkebajikan), serta nahi mungkar (melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar). Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(al-Hajj: 41)
Ayat ini menunjukkan lima ciri utama dalam pembinaan sebuah negara sejahtera iaitu berkonsepkan ibadah kepada Allah (solat), ekonomi yang adil (zakat), negara berkebajikan (amar maaruf), kehaibatan undang-undang (nahi munkar), serta berwawasan dunia dan akhirat.
Perkenalkan penyelesaian Islam
PAS telah berjaya menunjukkan secara amali, sebuah kerajaan yang bersih daripada segala salah laku di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sewaktu kita memimpin Kerajaan Negeri tersebut dengan kuasa yang terbatas.
Walaupun lawan kita mencari kesalahan yang kecil sebesar noktah paling halus untuk diperbesarkan, seperti kata perumpamaan, laksana biji halus diperbesarkan menjadi kubah yang besar, untuk dijadikan isu yang dipertonton kepada khalayak. Namun tidak dijumpai, lalu dicipta fitnah dan tuduhan yang tidak berasas. Alhamdulillah, Allah melindungi kita.
Dalam hal ini, Kelantan dan Terengganu perlu menjadi model ‘Negeri Idaman’ sebagai contoh sebuah pentadbiran yang adil dan berkebajikan, dan wajar menjalin kerjasama bagi memanfaatkan sumber dan kelebihan yang ada di negeri masing-masing. Matlamatnya adalah untuk menyerlahkan keadilan Islam secara praktikal, seterusnya menambah keyakinan rakyat terhadap kemampuan PAS untuk mentadbir kerajaan di peringkat Persekutuan.
Kita wajib melaksanakan manifesto kita, janji yang berpijak di bumi yang nyata, dengan mendahulukan keutamaan dan kemampuan. Kita jangan jadi kalangan yang pandai menabur semua janji jika berkuasa, termasuk janji yang tidak mampu ditunaikan, semata-mata untuk memancing undi rakyat. Dalam masa yang sama, kita perlu membuat persediaan dengan memanfaatkan tenaga pakar dan Teknokrat yang ada dalam PAS.
PAS berjaya secara bertulis menyediakan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), Dokumen Hijau dan cadangan polisi negara yang berkaitan, menunjukkan kita mempunyai kemampuan berfikir secara ilmu dan pengalaman, sebelum berkuasa memerintah. Sekurang-kurangnya kita mendapat pahala keazaman melakukan amal soleh, tanpa meninggalkan perjuangan walaupun jauh perjalanannya dan susah mendapat pengikut, namun yakin kepada janji yang benar daripada Allah S.W.T: 
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh (berdakwah dan berjihad) dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad S.A.W.), bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (para pemimpin negara) yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia (Allah) telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka (para pemimpin) yang berkuasa; dan Dia menjadikan Tamkin (kuasa berdaulat) kepada Agama yang diredhai-Nya (Islam) untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik).”
(an-Nur: 55)
Penghayatan konsep Federalisma
Agenda terpenting negara adalah melaksanakan konsep Federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan. Kenyataan YAB Perdana Menteri untuk mengembalikan semula royalti petroleum yang tidak diberi kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu, diucapkan terima kasih dan sangat positif kepada usaha untuk menghidupkan semangat Federalisma yang dilemahkan dahulu.
Diharapkan banyak lagi ruang yang patut diberi kepada Kerajaan Negeri khususnya dalam aspek peruntukan pembangunan, kemudahan prasarana dan peluang pelaburan yang seimbang, tanpa mengira perbezaan politik.
Kita juga perlu kepada keterbukaan untuk meminda Perlembagaan dan akta-akta peninggalan penjajah dahulu, seperti memperkasakan kedudukan Islam mengikut takrifnya yang sebenar, mengangkat hak Bumiputera dan Bahasa Kebangsaan, di samping mengukuhkan sistem tadbir urus dan keadilan sosial dalam negara.
Keadilan Undang-undang Syariah
Agenda mendaulatkan undang-undang Syariah dalam kerangka demokrasi berperlembagaan akan terus diperjuangkan oleh PAS. Usaha yang bermula dengan pelbagai siri penerangan sejak tahun 1950-an, diikuti dengan penggubalan enakmen berkaitan di Kelantan dan Terengganu pada tahun 1990-an, memakan masa lebih 40 tahun dan pemimpin yang bersilih ganti, membuktikan kesungguhan PAS untuk merealisasikan agenda ini dengan sabar dan berhikmah. 
Terdahulu, PAS melihat ada ruang yang boleh digunakan untuk mengangkat kuasa Mahkamah Syariah sebagai teras kepada pelaksanaan undang-undang. Maka PAS mengambil usaha untuk membawa Rang Undang-undang Pindaan Akta 355 (RUU 355) di Parlimen sejak 2016. Kini terletak di tangan kerajaan baharu untuk menentukan sikap terhadap RUU tersebut.
Di pihak PAS, Kerajaan Kelantan dan Terengganu sentiasa bersedia untuk berbincang dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan hasrat yang didukung sekalian umat Islam ini, di samping membuka pintu dialog kepada ahli akademik dan NGO untuk lebih memahami agenda besar yang dibawa oleh PAS ini.
Keadilan ekonomi Islam
Antara ciri terpenting yang menjadi rukun negara sejahtera adalah melaksanakan konsep ekonomi yang adil. Konsep ekonomi Islam yang memberi penekanan halal dan haram, mewajibkan zakat, menggalakkan perusahaan dan perkongsian keuntungan, di samping tegas menghapuskan riba’, penipuan dan rasuah yang semakin diterima dan dianggap sebagai prasyarat ekonomi moden.
Konsep zakat menjadi petunjuk dalam aspek percukaian yang diwajibkan ke atas mereka yang mampu sahaja. Tidak menyekat kekayaan seperti ideologi Sosialis dan Komunis, namun tidak terlalu bebas membolot kekayaan yang menjadi penyakit ideologi Liberal Kapitalis, sehingga membarahkan skandal pecah amanah dan amalan kronisma seperti 1MDB, PKFZ, PERWAJA, FOREX, BMF dan seumpamanya.
Kos sara hidup rakyat yang tidak mampu menghadapi tekanan inflasi, hendaklah ditangani bukan sekadar menukar GST kembali semula kepada SST, umpama menukar tangan kanan dengan tangan kiri untuk mencubit. Usaha perlu diambil untuk mengkaji model percukaian yang lebih adil kepada rakyat, peniaga dan kerajaan, bukannya dengan menggali lubang yang sama, yang telah terbukti gagal sebelum ini. 
Pembangunan insan
Kita sedang mengalami gejala sosial yang menimpa seluruh dunia, menandakan kelemahan sistem pendidikan kerana tidak membangunkan insan mengikut acuan fitrahnya dan kelemahan undang-undang mencegah kemungkaran. Tanggungjawab menangani gejala sosial yang hampir merebak di setiap lorong dan keluarga perlu ditangani dengan pendidikan Rabbani dan Insani, disokong oleh media yang bermoral serta undang-undang yang mendidik bukan sekadar menghukum.
Kualiti modal insan yang dibentuk oleh Islam berjaya menundukkan kuasa besar pada zamannya dan mencipta semula tamadun (Hadharah Islamiyyah), tanpa meninggalkan warisan ilmu dunia yang bermanfaat daripada seluruh pelosok dunia Timur dan Barat, dengan menterjemahkan ilmu ke dalam Bahasa Arab yang dirasmikan pada masa itu, tanpa menghapuskan bahasa kaum masing-masing yang menjadi tanda kebesaran Allah.
Firman Allah S.W.T:  
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.
(ar-Rum: 22)
Dalam aspek ini, institusi pendidikan yang dimiliki oleh PAS seperti TASTI, PASTI, SRITI, KUIZM, KUDQI, Darul Ulum serta pelbagai sekolah dan kolej yang dibangunkan oleh pimpinan dan ahli PAS, wajar menjadi model sistem pendidikan yang mengikut acuan Islam sepenuhnya.
Diplomasi antarabangsa
Di pentas antarabangsa, PAS menyarankan agar Kerajaan Malaysia lebih cermat dalam berhadapan dengan perang ekonomi di antara kuasa besar khususnya China dan Amerika, serta bijak mengambil peluang bagi membetulkan tanggapan yang salah terhadap Islam sehingga mencetuskan Islamofobia di Negara Barat.
Langkah pandang ke Timur yang pernah dilaksanakan dahulu perlu dilakukan pembaharuan terkini, khususnya meletakkan keutamaan kerjasama serantau dari kalangan Negara Asean, kerjasama Negara Islam (OIC) dan Negara Berkecuali (NAM) terlebih dahulu. Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia.
Terlebih penting kepada PAS adalah agenda pembebasan bumi Palestin, dan misi mewujudkan perdamaian di wilayah umat Islam yang bergolak seperti di Syria, Yaman, Myanmar, Selatan Thailand dan Filipina. Islam memberi penyelesaian dengan mendahulukan damai dan mengambil langkah diplomasi bagi merungkai konflik dari berlarutan.
Dalam hal ini, PAS akan terus memperjuangkan isu kemanusiaan yang bertali arus berlaku dalam dunia tanpa sempadan, tanpa mengira fahaman politik, agama dan etnik, di samping meneruskan usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan dan kebajikan di wilayah yang memerlukan, dengan kerjasama pelbagai agensi dan NGO.
Mendepani suasana ini memerlukan kesepaduan di kalangan umat Islam untuk mengharunginya, dan PAS mengingatkan agar kita tidak sesekali membuka peluang kepada campur tangan kuasa luar dalam menangani isu ummah dan serantau ini, yang akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar.
●     Memimpin sokongan rakyat
PAS menggalas perjuangan Islam yang besar dan luas, menghadapi kumpulan lain di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Semua umat manusia dalam masyarakat majmuk adalah saudara yang wajib diselamatkan bersama Islam.
Para ulamak membahagikan mereka semuanya dalam skop umat Nabi Muhammad S.A.W yang wajib dipimpin bersama Islam, terbahagi kepada ‘Ummah Ijabah’ yang telah menganut Islam dan ‘Ummah Dakwah’ yang tidak menganut Islam tetapi diajak bersama Islam.
PAS menerusi Lajnah Penerangan dan Lajnah Dakwah, mestilah digerakkan sepenuhnya untuk membawa mesej dakwah ke dalam masyarakat Islam secara berkesan untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan, dengan kefahaman Islam yang sebenar.
Untuk masyarakat bukan Islam pula, semua jentera parti mestilah mendekati dan memberikan penjelasan supaya rakan-rakan kita memahami mesej yang kita bawa, dan dalam masa yang sama kita juga memahami keperluan rakan-rakan kita. Untuk itu, DHPP adalah jambatan penting menghubungkan kita dalam masyarakat majmuk, dan menjalin hubungan dengan parti komponen Barisan Nasional untuk mendekati rakan-rakan daripada kaum lain.
Peranan media rasmi PAS seperti Harakah, Harakahdaily, HijauFM, dan pelbagai platform media sosial mestilah disokong oleh ahli di semua peringkat. Ini bagi memastikan usaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti dapat disampaikan dengan baik kepada rakyat, selain menjadi contoh dalam menangani budaya fitnah dan kerosakan yang menguasai media di luar sana.
Penumpuan khusus untuk mengukuhkan tapak PAS di Sabah dan Sarawak secara intensif perlu dilakukan, terutamanya dalam aspek dakwah yang subur, diikuti pemantapan tarbiyah bagi memperkukuh kefahaman ahli dan persediaan untuk berdepan dengan suasana politik baharu tanpa Barisan Nasional di Borneo, demi menjaga survivalkepimpinan Islam.
Di samping itu, permasalahan di kalangan rakyat desa dengan tahap pendapatan yang rendah, sama ada petani, peneroka Felda, penoreh getah, nelayan, peniaga kecil, kakitangan sokongan dan seumpamanya mesti terus didekati oleh PAS bagi membawa suara mereka ini, seterusnya mengangkat peranan segmen ini sebagai penyumbang utama ekonomi negara.
Kesemua isu yang melanda masyarakat peneroka dan rakyat desa ini, menuntut supaya PAS melipat gandakan usaha untuk membela dan membantu golongan ini, seterusnya menjadi penghubung dengan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib rakyat, seperti Felda, MARA dan PNB. PAS juga menyarankan agar dibangunkan industri hiliran dan kaedah pemasaran yang dapat membantu meningkatkan tahap ekonomi mereka.
Di samping itu, peluang pendidikan, khidmat kesihatan, dan peluang pekerjaan adalah perkara yang perlu diutamakan kepada generasi muda, dan juga rakyat awam yang terjejas di luar sana. PAS akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat, menerusi lajnah-lajnah dan dewan-dewan di semua peringkat.
●     Tindakan bersama (Sepuluh arahan)
Pertama, semua pihak dalam PAS Pusat, Dewan-dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema "Islam Memimpin”, seterusnya merangka perancangan melalui pendekatan BPMS dan kesediaan untuk bekerjasama atas perkara kebaikan di semua peringkat.
Kedua, pentarbiyahan pimpinan dan ahli adalah elemen asasi yang perlu diteruskan melalui aktiviti usrah, tamrin dan liqa' fikri mengikut marhalah yang telah ditetapkan. Penumpuan wajar diberikan untuk memberi penambahbaikan dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’ dan sistem pemantauan, di samping proses pembentukan fikrah di kalangan anak ahli PAS dan pelapis perjuangan.
Ketiga, pentadbiran organisasi di semua peringkat perlu terus diperkemaskan supaya lebih berkesan. Selain, sistem KPI dan perancangan strategik yang semakin diamalkan di peringkat Negeri dan Kawasan, beberapa aspek pengurusan organisasi wajar diberi nilai tambah, antaranya dalam kempen penambahan ahli, pengurusan sumber manusia, kualiti mesyuarat, serta pengurusan kewangan yang sistematik.
Keempat, Dewan Ulamak perlu bertindak pantas menjadi jurubicara untuk menjelaskan isu semasa dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, serta proaktif dalam menganjurkan seminar ‘ilmiyyah dalam memahami persoalan Maqasid dan Siyasah Syar’iyyah. Ulamak perlu menarik seramai mungkin cerdik pandai untuk bersama PAS, di samping keperluan untuk menguasai ilmu moden dan mengembangkan dimensi ilmu yang dikuasai.
Kelima, Dewan Muslimat perlu mendepani pelbagai isu masyarakat dan menyentuh hati nurani rakyat, melalui aktiviti kebajikan dan kekeluargaan. Dewan Muslimat berperanan besar dalam menentukan kuasa politik dan kejayaan membina kualiti insan dalam negara. Penganjuran aktiviti mesra-wanita dalam lapangan kemahiran, minat dan riadah boleh dijadikan wadah untuk mendekatkan PAS kepada golongan wanita.
Keenam, Dewan Pemuda mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam, dan bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan. Pendekatan dakwah yang kreatif, penguasaan media sosial dan penglibatan di lapangan anak muda mesti dimanfaatkan untuk membawa mesej Islam. Pemuda juga perlu mendepani isu nasional dan antarabangsa, serta mampu mengemukakan solusi terhadap permasalahan rakyat dan anak muda.
Ketujuh, DHPP wajar diperkemaskan dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya, dibangunkan bersama oleh Lajnah Tarbiah dan Lajnah Dakwah. DHPP di semua peringkat wajar menjadi jambatan yang menghubungkan PAS dengan Parti Politik dan NGO berasaskan kaum dan agama yang lain, bagi menarik sokongan pengundi bukan-Melayu yang boleh berubah dalam PRU15 kelak.
Kelapan, pimpinan dan ahli PAS yang memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan Jawatankuasa yang berkaitan perlu melaksanakan amanah dengan sempurna. Semua yang dilantik wajib menunjukkan adab, akhlak dan keilmuan yang tinggi ketika perbahasan dan menghormati penjawat awam, sehingga menjadi contoh ikutan pihak lain.
Kesembilan, kawasan dan cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas dan dipantau oleh pimpinan negeri. Program dalaman seperti aktiviti tarbiyah dan kepimpinan mestilah menjadi agenda yang penting dalam taqwim tahunan, di samping mempelbagaikan program kebajikan dan kemasyarakatan untuk menambah ahli dan menarik sokongan rakyat kepada PAS.
Kesepuluh, pimpinan dan ahli PAS secara keseluruhannya perlu menjaga hubungan dengan Allah, membina syakhsiah dengan Ta’lim dan Tarbiyah, membekalkan ilmu kepada akalnya secara bertafaqquh,menanamkan iman dan akhlak yang mulia kepada rohaninya, serta wajib melengkapkan diri dengan ilmu Fardu Ain dan ilmu Fardu Kifayah mengikut kemampuan.
●     Agenda pemetaan PRU15 (Roadmap PRU15)
PAS konsisten memilih pendekatan demokrasi secara berhikmah, melalui uslub ‘Muwajahah Silmiyyah’ bagi mencapai tujuan penubuhan PAS yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS (Fasal 5) iaitu:
Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah; dan
Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Asas dan matlamat penetapan Roadmap PRU15 adalah jelas, iaitu untuk membolehkan Islam Memimpin Perubahan dan Perpaduan Negara.
Keutamaan perlu diberikan kepada aspek penambahan ahli, pemerkasaan organisasi, pembinaan imej dan pembentukan kerjasama. Sistem pilihan raya juga perlu diperbaharui bagi memastikan kepimpinan Islam terjamin, dan hak agama lain terpelihara.
Justeru bermula pada hari ini, saya menyeru seluruh organisasi PAS untuk mengatur persiapan bagi menghadapi PRU15, yang boleh berlangsung lebih awal daripada tempoh lima tahun ini.
●     Penutup
Marilah sama-sama kita perteguhkan jamaah, perkukuhkan saf, perkemaskan fikrah, dan mantapkan keyakinan kita terhadap janji Allah S.W.T. kepada sesiapa yang berjuang di jalan-Nya, sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman Allah S.W.T:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللّهُ الَّذِينَ جَاهَدُواْ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.”
(ali-'Imran: 142)
Di kesempatan ini, ingin saya merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Dewan-dewan yang banyak membantu saya mengemudi jamaah yang kita sayangi ini, dalam suasana penuh ukhuwwah dan kesatuan fikrah yang jitu.
Juga sekalung tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Panitia Muktamar, tuan rumah Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, penaja budiman, para bentara Muktamar dan anggota AMAL, pasukan PDRM dan agensi kerajaan, rakan media serta semua pihak yang menjayakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 ini.
Mudah-mudahan segala amal soleh ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.
Saya rasmikan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 ini dengan menyebut sabda Rasulullah S.A.W:
سيروا على بركة الله


الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! ولله الحمد

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS - HARAKAHDAILY 15/9/2018



Komen Weblog Ibnu Hasyim: Islam sifatnya memimpin.  Menolak kepimpinan Islam, orang itu sudah tidak waras dari berfikir secara Islam.  Mereka berfikir secara bukan Islam atau copyright dari penjajah! Tidak beruntunglah mereka.

7 comments:

Anonymous said...

PAS mungkin tidak menolak kepimpinan Islam tapi yang pasti...

PAS merojakkan kepimpinan Islam.

ikan said...

Dua ekor anjing sedang bergaduh, tiba-tiba datang seekor serigala. kedua-dua ekor anjing berhenti bergaduh dan bertindak menyerang serigala tersebut kerana sedar serigala adalah musuh dia. dulu macai MCA sekarang anjing pulok. macam macam la analoginya. Anjing memang suka tulang... cif jebon periksa barisan askar negara, presdien pun nak periksa gak budak seragam tentera. jadi la. nanti naik kereta tak kebal buatan ahli pas sg kandis aritu ye..

Anonymous said...

ikan ternakan lebai kulup roket masih mabuk lalok menulis komen merepek dan merapu menyebar fitnah setelah ikan menyondol dedak cap roket !

Anonymous said...

cerita lama retorik hadi. islam memimpin bkn dipimpin. islam yg dimaksudkn hadi ialah pas dan dirinya sendiri. maksudnya pas dn hadi mesti diberi kuasa memerintah sebb kedua2nya adalah islam. islam telah dihakmilik kn oleh hadi dan pas.

begitulah kesesatan hadi dn pas.

yg lbh tepat merujuk pas dan hadi ialah.. islam mesti ditunggang bukan menunggang. 355 bila suka ditunggang bila tk perlu ditambat ke tiang atau disembelih saja.

jauhi pas dn hadi.tkde kebaikan apapun terhadap islam. bohong saja kerjanya guna islam dn 355.

Anonymous said...

Demi Allah ... sangat meruntun jiwa, gejolak rasa, memampan cita cita.. tersirna hala tuju yg indah dan murni

Mudah mudahan Allah sentiasa memberi petunjuk dan merahmati Tuan Guru dalam usahanya untuk menjayakan UgamaNYA dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara !!! walau karihal kafirun !!

Anonymous said...

Kalu la betul dia ni dirahmati dh lama kut jadi PM. Lebih 20 tahun jadi Presiden PAS, x ke mana hasilnya .

loan officer said...

Hi Viewers Dapatkan kad ATM Blank anda yang berfungsi di semua mesin ATM di seluruh dunia .. Kami telah memprogramkan kad ATM khusus yang boleh digunakan untuk mengesan mesin ATM, kad ATM boleh digunakan untuk menarik diri di ATM atau leret, di kedai-kedai dan POS. Kami menjual kad ini kepada semua pembeli yang berminat di seluruh dunia, kad ini mempunyai had pengeluaran setiap hari sebanyak $ 10,000 di ATM dan sehingga $ 50,000 had perbelanjaan di kedai bergantung pada jenis kad yang anda pesan, kami berada di sini untuk anda bila-bila masa, pada bila-bila masa. E-mel; (blankatm001@aol.com) Saya bersyukur kepada Mike kerana dia mengubah kisah saya secara tiba-tiba. Kad ini berfungsi di semua negara kecuali, hubungi dia sekarang (blankatm001@aol.com)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails