Wednesday, October 19, 2016

Salahguna Wang Anak Mangsa Nahas DUKE? Ini Jawab Mufti.

SUSULAN kecoh kisah seorang kakak dakwa adiknya ‘pecah amanah’ duit derma masyarakat terhadap dua anak mangsa nahas lebuh raya DUKE, Mufti Wilayah Persekutuan tampil membuat pencerahan.

Ia ekoran Yusnidah Hussain menyatakan Faizznur telah mendapat penjelasan daripada Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai hukum penggunaan wang berkenaan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi dirinya sendiri.
Menerusi laman Facebooknya, mufti berkenaan memuat naik status bagi menjelaskan perkara sebenar tentang keharusan menggunakan wang sumbangan untuk keperluan (maslahan) anak-anak yatim tersebut.
Ia sekali gus menjawab pertuduhan Yusnida tentang Faizznur yang mendakwa telah mendapatkan penjelasan daripada beliau mengenai status hukum wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi adiknya itu.
Menerusi status Facebook itu, Dr. Zulkifli menegaskan bahawa bapa saudara atau ibu saudara kepada anak mangsa hanyalah sebagai pemegang amanah atau Mutawallisahaja.
Wang yang diterima daripada sumbangan atau sedekah kepada anak mangsa tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka untuk kegunaan peribadi.
Malah wang berkenaan hendaklah diurus dengan penuh kejujuran dan rasa tanggungjwab oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskannya.
“Wang sumbangan atau sedekah kepada anak yatim perlu diuruskan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
“Itulah yang kami maksudkan. Bukannya wang itu sepenuhnya menjadi hak milik pemegang amanah dan boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Zulkifli berkata demikian bagi mengulas tindakan adik Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM6.2 Lebuhraya DUKE pada Mei tahun lalu.
Tambahnya, penjelasan terperinci akan dimaklumkan menerusi Bayan Linnas, yang disiarkan laman web rasmi pejabat mufti berkenaan pada masa terdekat.
“Buat masa sekarang, lebih baik kita semua menunggu keputusan daripada pihak berwajib,” kata Dr. Zulkifli.
Semalam, Yusnidah pada sidang media mendedahkan, anak-anak mangsa nahas DUKE hanya mendapat RM12,000 berbanding sumbangan orang ramai yang terkumpul kira-kira berjumlah RM300,000.
Jelas wanita itu, adik bongsunya Faizzur memberikan alasan wang sumbangan tersebut konon merupakan hak miliknya memandangkan ia dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.
“Alasan dia (Faizznur), merujuk kepada Mufti Wilayah katanya, duit yang diberi orang ramai adalah harta dan hak mereka sebab ada dalam akaun atas nama mereka sendiri, bukan untuk budak-budak ini.”
Sementara itu, media tempatan cuba untuk mendapatkan keterangan daripada Faizznur tentang kesahihan tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan tersebut.
Bagaimanapun, Faizznur telahpun memberikan kenyataan menerusi kiriman dalam akaun Facebook miliknya.
Dalam postingnya, dia mengatakan bahawa dia akan bawa tuduhan fitnah ini ke muka pengadilan kerana mahkamah merupakan platform yang akan memberi keadilan bagi menganalisis setiap permasalahan berdasarkan bukti-bukti yang sahih
Dia bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dinasihatkan peguam untuk menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
“Di dalam keadaan genting sekarang saya bersyukur kerana ada yang membuat tohmahan serta cacian kepada saya dan keluarga tanpa memberikan saya ruang untuk membela diri.
“Saya mohon rakyat Malaysia untuk memberikan ruang saya dan keluarga yang difitnah ini untuk membela diri di muka pengadilan,” kata Faizznur. 

Mufti Jawab Isu 'Benar' Guna Wang Anak Mangsa Nahas DUKE
KENYATAAN RASMI ISU ANAK MANGSA KEMALANGAN DUKE
1. Kami menerima laporan di media-media sosial berkenaan luahan kekecewaan Puan Yusnidah Hussain, kakak kepada almarhum Fairuz Nizam, yang menjelaskan bahawa dua anak saudaranya iaitu anak kepada adiknya, hanya mendapat RM12,000 berbanding sumbangan orang ramai yang terkumpul kira-kira RM300,000.
2. Jumlah wang kira-kira RM300,000 itu dilaporkan dimasukkan ke dalam akaun adik-adik kepada Puan Yusnidah Hussain. Pada sidang media baru-baru ini, Puan Yusnidah Hussain memaklumkan bahawa wang tersebut tidak sampai ke tangan anak-anak yatim ini untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian.
3. Antara alasan yang dinyatakan oleh adik-adik kepada Puan Yusnidah Hussain adalah mereka telah merujuk kami, selaku Mufti Wilayah Persekutuan dan dikatakan bahawa kami menyatakan yang duit yang diberi orang ramai adalah harta dan hak mereka kerana ianya adalah akaun atas nama mereka sendiri, bukan anak-anak ini. [Rujukhttp://www.mynewshub.cc/…/adik-bongsu-mangsa-nahas-duke-di…/]
4. Sebenarnya, memang kami ada menziarah keluarga ini sebagai tanda simpati beberapa hari selepas tragedi berkenaan. [Rujukhttps://goo.gl/QOUO3O]. Ada yang bertanyakan kepada kami tentang keharusan penggunaan wang sumbangan orang ramai untuk keperluan (maslahah) anak-anak yatim itu sendiri.
5. Kami dengan tegas menyatakan bahawa bapa saudara atau ibu saudara HANYA SEBAGAI PEMEGANG AMANAH (TRUSTEE/MUTAWALLI) di mana hak pengurusan (tasarruf) wang berkenaan adalah TERTAKLUK KEPADA KEPERLUAN (MASLAHAH) DAN SUMBANGAN/SEDEKAH kepada kedua anak yatim berkenaan, dan diuruskan dengan penuh KEJUJURAN dan rasa TANGGUNGJAWAB. Itulah yang kami maksudkan kepada pihak yang bertanya. Bukannya wang itu sepenuhnya menjadi hak milik pemegang amanah dan boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya.
6. Justeru, kami akan menjelaskan hal ini dengan lebih lanjut dalam Bayan Linnas, insyaAllah dalam masa terdekat. Buat masa sekarang, lebih baik kita semua menunggu keputusan daripada pihak berwajib. Wallahua'lam.
Akhukum fillah, 
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah! Mufti tangani masalah rakyat..

1 comment:

Anonymous said...

Yg paling baik masukkan terus wang sumbangan orang ramai itu ke dlm account ke dya betadik tu. Orang ramai bg sbb kasihan pada mereka..yatim piatu. Bukan utk kegunaan atau jd harta pak2 saudaranya. Pak2 saudara nya kena faham.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails