Monday, October 17, 2016

RUU 355: Musuh Tidak Akan Berdiam -Tuan Ibrahim Tuan Man

MELAKA: Berdamai, berkompromi mahupun bekerjasama adalah tindakan yang diharuskan oleh syarak selagimana tidak merampas hak Allah dengan tmenghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal, sebab ini hak Allah SWT.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tumbangnya sistem Khilafah Islam menimbulkan bahaya iaitu tercabutnya akar umbi sistem Islam, lalu manusia menukar kepada sistem ciptaan mereka.

Katanya, manusia mencipta sistem kapitalis, sosialis, komunis, demokrasi dan lainnya dengan mencabut Tuhan dari sistem kehidupan antaranya pendidikan hingga segala dipelajari tidak ada Allah, lalu bangkitlah manusia dan pemerintah yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan.

“Bila berakhir sistem Khilafah Islam, berakhir sama sistem politik Islam, berakhirnya suatu sistem syumul, yang mengembalikan manusia kepada ketentuan Allah Taala dalam urusan tadbiran-Nya. Sebab itu paksi kepada seluruh perjuangan Islam ialah akidah. 

“Akidah menuntut kita beriman, bukan politik, bukan kerana nak menang pilihan raya, tetapi kerana tuntutan akidah. Bila mana akidah manusia selamat, yakinlah akan selamat sistem politik mereka, sistem ekonomi, sistem sosial dan sistem perundangan mereka.

“Maka paksi kepada perjuangan Islam ialah mengembalikan kekuatan akidah perjuangan kita. Sebab itu kita terima hukum Allah kerana kita beriman kepada al-Quranul karim,” jelasnya pada Himpunan Menyokong RUU Pindaan Akta 355 sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Balai Islam Pernu, malam tadi. 

Terangnya, memperkasakan akidah perjuangan adalah asas yang menjadi akar umbi dalam perjuangan Islam.
 
Menurutnya, dalam banyak-banyak perintah, menurunkan undang-undang peraturan tetapi akal manusia payah menerima lalu mengkritik dan mempertikai kerana menganggap hukum tuhan tidak sesuai, kolot dan ketinggalan zaman.

Katanya, musuh tidak akan berdiam dan PAS memahami bahawa usaha mengemukakan pindaan itu tidak mudah di mana ada yang bangkit menentang menjadikannya polemik dan seolah-olah negara berdepan bala bencana besar atau malapetaka.

“Kita boleh naik taraf Mahkamah Syariah supaya menepati apa yang dikehendaki oleh syarak. Kalau tidak berjaya sekalipun, kita lepas tanggungjawab depan Allah di akhirat. Tetapi perjuangan akan diteruskan dan kita tidak akan undur dari perjuangan Islam. Kerana kita penuh yakin, tidak ada suatu sistem bagi menyelamatkan manusia dunia, sama ada sistem ekonomi, sistem politik. 

“Nak basmi rasuah sebagai contoh, ada orang mengambil kesempatan dengan kelemahan undang-undang manusia, dia melakukan salah guna kuasa, melakukan penyelewengan yang tak boleh dihukum dengan undang-undang manusia, tetapi disana ada undang-undang Allah, yang tak hukum dunia, tapi Allah hukum akhirat, kalaupun tak dibalas dunia, kita akan dibalas di akhirat,” ujarnya penuh yakin.

Tambahnya, kerana itulah PAS berjuang kerana yakin bahawa perkara yang dibawa dan diperjuangkan berada di atas landasan disebut oleh Allah.
 
Menurut beliau lagi, terjadinya sedemikian kerana perkara itu berkait dengan Islam dan PAS menegaskan akan terus membawa RUU itu atas tanggungjawab dan kewajipan kepada Allah.

“Kadang-kadang tindakan kita dalam konteks politik kita rugi. Almarhum Tok Guru Nik Aziz bila laksana mengharamkan perjudian di Kelantan, bar, disko dan pusat-pusat maksiat dan hiburan yang melampau, dalam konteks politik kita rugi. Kaki judi tak undi kita, tauke judi tak undi kita. 

“Tetapi kita tegaskan bahawa, perjuangan kita bukan sekadar undi, perjuangan kita mencari reda Allah SWT. Bila Allah reda kepada kita, nescaya Allah akan mudahkan urusan kita insya- Allah, kerana tidak ada kuasa melainkan apa yang ditentu oleh Allah,” ujarnya penuh yakin.

Tambahnya lagi, hasil kemenangan PAS di Kelantan telah mengubah sistem ekonomi di Malaysia apabila wujudnya sistem perbankan Islam, sistem pajak gadai Islam serta wujudnya pelbagai program-program bersifat kebajikan rakyat.

Beliau turut menafikan tuduhan bahawa perjuangan PAS hanya untuk hukum hudud, tetapi hakikatnya mengisi kekosongan yang tidak ada parti yang memperjuangkan hukum Allah s.w.t.

“Siapa lagi kalau tidak kepada PAS untuk menegakkan hukum Allah SWT di muka bumi Allah? Almarhum Tok Guru Nik Aziz sering kali sebut satu kalimah, “bumi ini bumi Allah, langit ini langit Allah, kita makan rezeki Allah, kita pijak bumi Allah, kita bernaung di bawah rahmat Allah, (tapi) hukum Tuhan tak boleh berjalan di atas bumi Tuhan, siapa kita? 

“Siapa kita yang seolah-olah lebih hebat daripada Allah Taala? Apa yang berlaku? Hari ini dunia perlu kepada satu sistem membetulkan semula penyelewengan yang sedang berlaku di seluruh dunia,” ujarnya merujuk Islam sebagai penyelesaian. - HARAKAHDAILY 16/10/2016

7 comments:

Ab Rahman Yaacob said...

Cakap aje berdetum dentam... semuanya tidak akan lepas lari dari kalimah Islam dengan segala bentuk & keadaanNya, tapi hakikatNya kalimah bacaan al-Quran "al-Islam" itu sendiri pun belum mengerti... hanya takwilan semata-mata

Anonymous said...

Sokong ruu 355

Unknown said...

Sheikh kurang sihat

Unknown said...

Sheikh kurang sihat

Anonymous said...

SKETSA PAGI SEBELUM PARLIMEN BERSIDANG

Sebelum subuh pagi tadi, tok bersama2 jemaah walaun mengikuti guru tok solat hajat sebelum beliau berangkat sebagai mujahid dan murobbi ke Parlimen untuk berjuang. Guru tok mengimamkan solat hajat tersebut.

Selepas solat hajat dan solat subuh berjemaah, tok lihat mata guru tok merah2 mcm mata sotong tercucuk mata kail. Kelopak matanya bengkak2. Dahsyat murobbi tok, solat sampai menangis2 sedemikian rupa. Sambil menuju ke tangga masjid Rusila, tok menghampirinya dan bersalam, mencium2 tangannya sehingga ke siku, seraya berkata, " Wahai Ayatollah Tuan Guru Al Marangi, gerangan apakah sebabnya tuan guru menangis sehingga habis bengkak2 kelopak mata dan basah2 janggut sedemikian rupa ?

Guru tok berhenti seketika di anak tangga. Memandang sayu ke arah tok umpama beruk jinak. " Wahai Using, tidakkah anta tau, jap gi ambe nak pegi parlimeng? Parlimen dah setat hari ni. Lupakah kamu kite ade perjuangang maha besar di sane yg telah kite janji kang?".Soal guru tok.

" Ohhh...ic...ic...Ana terlupe, wahai Ayatollah. Akta 355, bukan? Jangan khawatir, kite dah bersolat hajat ramai2 tadi, kita dah mohon kpd Allah agar semua ahli parlimen akan sokong. Ayatollah Tuan Guru batuk saja, pasti berebut2 mereka angkat tangan menyokong. Yakinlah. Itulah doa kita seperti juga doa Ayatollah Tuan Guru.". Jawab tok meyakinkannnya.

Tiba2 guru tok berpaling ke arah tok dengan wajah mencuka.
" Kamu semue tadi solat hajat untuk mende? Mende yg kamu mintok dengang Tuhang tadi?". Jerkah guru tok.

Tok terkedu. " Errr...bukankah kita tadi solat hajat untuk memohon semua ahli parlimen dari Bn dan PH serta speaker, bintara, kerani2 dan pencuci2 tandas di parlimen menyokong Akta 355 yg akan Ayatollah bentangkan nanti?". Jawab tok sedikit kompius.

" Kepale otak mu, Using. Lain kali solat jangang main ikut je. Tanye dulu solat untuk mende, nak niat mende, nak mintok mende. Ini maing ikut je. Abih laaa....niat mung udah tak same dengang ambe...aduuyaiii". Kata guru tok sambil menghentak2kan kakinya.

Tok dan beberapa jemaah lain saling berpandangan. " Habis tu, Ayatollah niat apa tadi waktu solat hajat? Minta doa untuk apa?". Soal tok mohon kepastian.

" Ambe solat hajat tadi mintak Tuhang jangang beri Ahli2 Parlimeng Pakatang Harapang sokong Akta 355. Biar mereka berbaloh dang Dap akang bantah, dang Amanoh pulok akang ikut Dap tak sokong Akta 355. Amno pasti doh tak sokong, Kok sokong pung mungking ade sekor due je yang berlakong. Mca dang Gerakan dang Mic pung takkang sokong. Parti2 di Saboh dang Sarawak pung kompong tak sokong. Itu kite maklum doh. Bile mereka tak sokong, ini satu kebaikang untuk parti kite. Mudoh kite salohkang mereka nanti dang kite lepas tangang. Lagi mudoh kite nak maing isu kapir mengkapir lepas ni. Sebaliknya, kalau mereka sokong, mende lagi modal yang kite ade untuk berkempeng nanti? Takkang nak maing isu hudud pulok? Hudud ni dah kantoi, ramai doh tau puok2 kite beberapa kali kena kencing oleh amno...". Jawab guru tok panjang lebar.

Tok terdiam. " Ertinya, Ayatollah berharap Akta 355 ini akan ditolak di Parlimen? Dan...kita akan buat modal dalam kempen2 kita untuk menyatakan bukan salah kita, tapi mereka yang tak mahu kpd Islam? Dan...pastinya rakyat terutamanya umat2 Islam akan sokong kita?". Soal tok untuk kompom kan lagi.

" Tau pung. Jangang jadi tolol sangat. Sekarang ni masaaloh nye kamu dah solat hajat mintok mereka sokong. Ambe selaku Imang solat tadi pulok mintok mereka tak sokong...aduyaii..guane ni karang...natang beruk mu, Using. Tokleh harap sekepeng!!!". Kata guru tok bergegas masuk ke dalam kereta untuk berkejar ke Parlimen pagi ni.

Anonymous said...

Ini semua celotehulamak yg tak boleh diterima pakai. Yang paling penting adalah kemenangan. Nasihat aku pada orang Pas.. Pas bekerjasamalah dgn Pan....kalahkan dulu BN...dah menang nanti jangan risau la pasal dedak, bukan setakat 90 juta lahh...lagi banyak boleh diuruskan. Yang penting dapatkan dulu tampuk kuasa pemerintahan!!

Anonymous said...

Engko tu yang kurang sehat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails