Wednesday, October 19, 2016

Pergerakan Anggota Daesh Malaysia Cuba Pulang Dipantau

Pergerakan Anggota Daesh Malaysia Cuba Pulang Dipantau - Polis
KUALA LUMPUR – Pergerakan kira-kira 59 rakyat Malaysia yang menyertai militan Daesh di luar negara dipantau susulan kemungkinan mereka cuba pulang selepas serangan tentera bersekutu di kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq, semalam.
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak akan membenarkan anggota militan Daesh ini sewenang-wenangnya keluar dan masuk ke negara ini.
“Kami sentiasa menjalankan pemantauan terhadap anggota militan Daesh tidak kira daripada Malaysia atau dari negara luar.
“Sekiranya mereka cuba masuk ke dalam negara, pihak polis akan dapat kesan dan tahan mereka dengan segera,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kemungkinan terdapat anggota kumpulan militan Daesh, termasuk dari Malaysia, cuba pulang ke negara asal selepas serangan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat terhadap kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq, bermula semalam.
Selain itu, Mohamad Fuzi berkata kerajaan juga baru-baru ini telah membatalkan kesemua pasport rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan Daesh.
“Tindakan ini menyebabkan peluang untuk mereka balik sukar dan jika mereka cuba berbuat demikian sudah semestinya mereka akan ditahan di negara lain,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan anggota militan ini cuba memasuki negara secara haram, beliau berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di seluruh negara untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku.
“Kita mempunyai maklumat risikan boleh dipercayai dan akan tahu sekiranya mereka cuba pulang menggunakan jalan haram,” katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata Malaysia memantau rapat serangan tentera bersekutu diketuai oleh Amerika Syarikat terhadap kubu kuat Daesh di Mosul.
Media melaporkan Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi mengumumkan serangan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat bagi menawan semula pusat pemerintahan Daesh di Mosul. – BERNAMA


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails